Negara maju disiplin tinggi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Negara maju disiplin tinggi

SESIAPA yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Jepun, pasti berhasrat ingin pergi lagi. Perkara sama  terjadi kepada penulis yang baru-baru ini berkesempatan ke Jepun.

Menarik sekali kerana pada waktu itu Jepun mengalami musim sejuk. Persekitaran penuh dengan salji. Penulis bertindak sebagai salah seorang wakil Malaysia ke Program For Young Muslim Intellectuals in Southeast Asia anjuran Japan Foundation.

Memandangkan tujuan utama untuk menghadiri program tersebut, jadi tidak banyak tempat-tempat pelancongan yang sempat penulis lawati. Namun kenangan yang tercipta,  tidak mampu lenyap begitu saja.

Pujian yang tidak terhingga pada rakyat Jepun yang begitu berdisiplin dan masih utuh dengan cara menghormati tetamu, tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Persekitaran bersih, masyarakat saling menghormati

Peserta program ini seramai enam orang, dua dari Malaysia dan empat Indonesia. Kami banyak melawat institusi pendidikan tinggi (IPT), kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sesi dialog bersama para profesor, aktivis masyarakat, mahasiswa, sami dan sebagainya.

Program ini berlangsung di beberapa tempat iaitu di Tokyo, Kyoto, Miyagi dan Iwate. Sesi penerangan dan perbincangan dijalankan di beberapa buah universiti seperti Sophia University, Waseda University, Ryukoku University, Tohoku University dan Iwate Prefectural University.

 Antara NGO yang kami lawati ialah Niwano Peace Foundation dan Ayus. Termasuk juga beberapa kuil yang berusia ratusan tahun seperti Kiyomizu Temple dan Nishi Hongwanji Temple.

Cuma, dalam ruangan ini saya ingin berkongsi secara santai pengalaman menarik sepanjang berada di Jepun. Saya mulakan dengan perkara yang ramai orang suka.

Makanan, sepanjang pemerhatian dan pengalaman saya, orang Jepun banyak makan makanan laut dan sayuran. Kebanyakan makanan disediakan cara ringkas dan menyihatkan.

Tidak banyak jenis bergoreng, berminyak, kari dan sebagainya. Makanannya juga disediakan dalam kuantiti sedikit sahaja.

Saya fikir, mungkin ini salah satu faktor kenapa orang Jepun kurang obesiti.

Saya tidak temui orang Jepun gemuk. Jepun merekodkan kadar kegemukan terendah dalam kalangan negara maju. Menarik juga cara restoran mempamerkan sampel makanan. Sampel makanan sangat real. Saiz yang sebenar, rupa, struktur dan juga warnanya begitu mengiurkan.

Sehingga saya sangkakan sampel makanan itu memang makanan sebenar. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Ia hanyalah plastik.

Jadi kalau anda datang Jepun, jangan terlepas peluang nikmati makanan Jepun seperti udon, salmon aburi, dorayaki, soba, sushi, okonomiyaki, takoyaki, taiyaki dan lain-lain lagi termasuk teh hijau. Cuma, ada sebahagian makanan dicampur dengan arak atau mirin. Disyorkan tanya dulu sebelum makan.

 Jika melawat Jepun, pasti anda suka dengan kebersihannya. Cuba masuk tandas awamnya. Percuma dan bersih. Tempat buangan sampah juga.Kawasan kuil dan tempat ibadat mereka tidak terkecuali. Kagum dengan disiplin orang Jepun menjaga kebersihan.

Semasa sedang menunggu untuk naik shinkanzen (bullet train), beberapa minit sebelum kereta api sampai, kelihatan beberapa pekerja siap sedia dengan plastik sampah. Mereka berdiri di sisi pintu kereta api.

Mana-mana penumpang yang ada sampah akan membawanya keluar dan dibuang ke dalam plastik tersebut.

Disiplin orang Jepun juga membuatkan saya kagum. Aspek penjagaan masa memang sudah terkenal. Sebelum ini hanya dengar-dengar, tapi apabila berada di Jepun, perkara ini benar-benar dirasai.

Contoh yang lain, apabila naik eskalator, semua orang akan berdiri di sebelah kiri. Sebelah kanan dibiarkan kosong bagi memberi laluan kepada mereka yang ingin bergerak cepat.

Begitu juga dengan disiplin mereka semasa melintas jalan. Menggunakan laluan yang dibenarkan sahaja dan  patuh kepada lampu isyarat. Saya amati suasana mereka melintas jalan di kawasan berhampiran Shinjuku Station. Menghiburkan!.

Budaya hormat menghormati juga boleh diberi pujian. Sesama mereka dan begitu juga kepada pelancong. Bila pergi ke Jepun, saya terasa memang Jepun mengalu-alukan kehadiran saya.

Bermula dari lapangan terbang, pemandu, pekerja hotel, pekerja restoran, pengangkut sampah, di stesen minyak, penjaga kedai semuanya adalah wajah Jepun. Senyuman mereka, ucapan hormat mereka, layanan mereka membuatkan saya begitu senang dan selesa.

Satu peristiwa berlaku kepada saya. Selepas sarapan pagi di Hotel Metropolitan Sendai, saya bergerak keluar dari kafeteria. Pelayan kafeteria tidak sedar saya keluar.

Kebiasaannya dia berdiri di tepi pintu untuk beri salam hormat dan ucapan terima kasih. Saya hampir sampai ke pintu lif. Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kasut seseorang sedang berlari.

Saya toleh ke belakang dan dapati gadis Jepun meluru ke arah saya. Dia adalah pelayan kafeteria tadi. Berulang-ulang kali memohon maaf kerana tidak sedar saya keluar.

Diucapkan terima kasih. Seterusnya beliau menekan lif dan menunggu sehingga saya masuk ke dalam lif. Sebelum pintu lif tertutup sekali lagi beliau tunduk memohon maaf dan ucapkan terima kasih.

Pengalaman ini begitu menarik dan sentiasa segar dalam ingatan.

Abd Razak Muthalib (Pembaca Sinar Harian dari Kuala Lumpur)

0 Komentar untuk " Negara maju disiplin tinggi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ