Negara-Ku mula jelajah ‘tebus semula’ Malaysia daripada ekstremisme - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Negara-Ku mula jelajah ‘tebus semula’ Malaysia daripada ekstremisme

Jelajah dengan membawa agenda menebus kembali Malaysia daripada gerakan ekstremisme akan bermula malam ini, kata Pengerusi Negara-Ku Zaid Kamaruddin. – 12 November, 2014.

Pergerakan Negara-Ku kini dijangka memulakan agenda "menebus kembali" Malaysia daripada gerakan ekstremisme bermula di Melaka malam ini, bagi mengembalikan keharmonian negara ini.

"Kembalikan Negaraku" mensasarkan untuk menjauhkan Malaysia daripada agenda perkauman dan keganasan, serta menyediakan platform untuk perdebatan sihat, termasuk isu kontroversi seperti keputusan mahkamah di Negeri Sembilan berkenaan transgender.

Pengerusi pertubuhan itu, Zaid Kamaruddin berkata mereka akan fokus kepada mempromosikan iklim Malaysia tanpa bersifat emosional.

Sasaran mereka adalah untuk membolehkan fakta dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dibincangkan.
Zaid berkata, jelajah itu bukan saja untuk mempromosikan pergerakan berkenaan, tetapi turut membina hubungan dengan masyarakat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan konsep 1Malaysia, namun ianya seakan-akan pudar sejak diperkenalkan pada 2009.

"Kami menyokong usaha mempromosikan penyatuan rakyat Malaysia, dan membolehkan mereka menyuarakan kehendak mereka," katanya.

Zaid berkata, tindakan itu "amat perlu" kerana Negara-Ku merasakan perlu untuk mereka berdepan retorik ekstremisme terhadap kaum, agama dan isu sosial selain memperkenalkan keamanan dan perpaduan kaum.

Menggunakan keputusan mahkamah di Negeri Sembilan itu sebagai contoh, Zaid berkata, terdapat kebimbangan pemahaman masyarakat terhadap perkara itu.

"Ketika membincangkan isu seperti ini, kita perlu melihat kerangka Perlembagaan dan berbeza pendapat dengan cara yang berhemah tanpa bersikap emosional," katanya.

Mahkamah Rayuan pada 7 November mengisytiharkan, peruntukan dalam enakmen undang-undang Islam Negeri Sembilan bercanggah dengan Perlembagaan apabila memperuntukkan lelaki yang berpakaian seperti wanita adalah kesalahan.

Tiga perayu dalam kes transgender itu menghadapi layanan memalukan dan ditahan beberapa kali kerana melanggar peruntukan dalam Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah negeri itu.

Pertubuhan Lawyer for Liberty semalam memberi amaran, reaksi kepada keputusan mahkamah itu turut menjurus kepada keganasan.

Antaranya termasuklah melabel kumpulan transgender sebagai "kanser" kepada masyarakat, "individu yang mencabar hukum Allah", termasuk menggesa jihad dilakukan kepada mereka.

Antara yang mengeluarkan kenyataan sedemikian termasuklah pemimpin terkenal dan berpengaruh, termasuk kumpulan sayap Ulama dari PAS.

Jelajah Negara-Ku akan meliputi tujuh negeri, dengan permulaannya dianjurkan di Pertubuhan Heng Ann, Melaka.

Antara ahli panel yang dijangka hadir termasuk, ahli politik Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang merupakan presiden Gerakan Anti-Perkauman dan Al-Mustaqeem M Radhi, koordinator Lingkaran Islam Tradisional selain Zaid.

Mujahid merupakan pemimpin yang sering dilihat tampil dalam dialog antara agama, menghadiri forum pelbagai kaum dan agama termasuk melawat gereja.

Selepas Melaka, jalajah berkenaan dijangka bakal berlangsung di Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur.

Zaid berkata, jelajah itu turut mensasarkan untuk membawa pulang intipati Malaysia sebagai negara yang dibentuk atas dasar kesaksamaan, sekularisme, jaminan hak asasi dan negara yang kaya.

Beliau berkata, tanpa perkara itu, Malaysia tidak akan lagi menjadi negara idaman semua.

"Jika kita terus kekal dengan sebahagian yang terus membangkitkan isu perkauman antara kita, ia indikasi ucapan kebencian dan ekstremisme terus diterima.

"Itu bukan mesej yang cuba disampaikan dan kita perlu menjelaskan mesej tersebut," kata Zaid.

Mereka merancang untuk ke negeri Pantai Timur tahun depan.

Negara-Ku dilancarkan empat bulan lalu, dengan sasaran membawa rakyat Malaysia berbilang kaum dan latar belakang bergerak bersama membantah gerakan negatif yang menghancurkan asas negara ini.

Mereka mensasarkan untuk membawa kembali asas pembentukan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara.

Pertubuhan itu disertai lebih 60 pertubuhan masyarakat dengan penasihatnya adalah bekas Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan bekas Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Simon Sipaun. – 12 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/negara-ku-mula-jelajah-tebus-semula-malaysia-daripada-ekstremisme#sthash.hdxa1vtX.dpuf
0 Komentar untuk " Negara-Ku mula jelajah ‘tebus semula’ Malaysia daripada ekstremisme "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ