TAHUN 2015 bakal menguji Malaysia apabila mula bertugas sebagai Pengerusi ASEAN. Dengan tiga tonggak utama - Politik dan Keselamatan, Ekonomi serta Sosiobudaya - ASEAN perlu menjadi badan yang lebih kukuh untuk ia dapat berfungsi dengan lebih baik dan menjadi pertubuhan serantau yang disegani.
Sebagai Pengerusi, Malaysia melihat pelbagai usaha perlu dilakukan ke arah itu terutama dalam menjayakan Komuniti ASEAN yang akan diumumkan pada hujung tahun depan. Wartawan BH, Azran Jaffar menemui Ketua Pengarah ASEAN Kementerian Luar Negeri, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, bagi melihat persediaan Malaysia terhadap tugas ini dan tumpuan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
Ketua Pengarah ASEAN Kementerian Luar Negeri, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Wartawan: Bagaimana Datuk melihat kesediaan Malaysia menduduki kerusi Pengerusi ASEAN pada tahun 2015?
Muhammad Shahrul Ikram: Dari segi persediaan, kita sudah mulakan sejak tahun lalu. Melalui keputusan jemaah menteri, kita sudah menubuhkan Jawatan-kuasa Pemandu Kebangsaan (National Steering Committee) untuk Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2015. Ada dua aspek besar yang kita lihat, iaitu logistik meliputi kemudahan mesyuarat dan perkara berkaitan melalui penubuhan Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA). Satu lagi adalah dari segi substantif dan Wisma Putra menubuhkan Jawatankuasa Substantif. Wisma Putra bertindak sebagai agensi peneraju. Kita juga mengadakan Kolokium Kebangsaan mengenai Kepengerusian ASEAN 2015 oleh Malaysia pada 8 hingga 10 April 2014 membabitkan bukan sahaja anggota kerajaan, tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
Sebagai Pengerusi, Malaysia melihat pelbagai usaha perlu dilakukan ke arah itu terutama dalam menjayakan Komuniti ASEAN yang akan diumumkan pada hujung tahun depan. Wartawan BH, Azran Jaffar menemui Ketua Pengarah ASEAN Kementerian Luar Negeri, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, bagi melihat persediaan Malaysia terhadap tugas ini dan tumpuan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
Ketua Pengarah ASEAN Kementerian Luar Negeri, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Muhammad Shahrul Ikram: Dari segi persediaan, kita sudah mulakan sejak tahun lalu. Melalui keputusan jemaah menteri, kita sudah menubuhkan Jawatan-kuasa Pemandu Kebangsaan (National Steering Committee) untuk Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2015. Ada dua aspek besar yang kita lihat, iaitu logistik meliputi kemudahan mesyuarat dan perkara berkaitan melalui penubuhan Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA). Satu lagi adalah dari segi substantif dan Wisma Putra menubuhkan Jawatankuasa Substantif. Wisma Putra bertindak sebagai agensi peneraju. Kita juga mengadakan Kolokium Kebangsaan mengenai Kepengerusian ASEAN 2015 oleh Malaysia pada 8 hingga 10 April 2014 membabitkan bukan sahaja anggota kerajaan, tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
Secara umum, tema Kepengerusian kita ialah 'ASEAN Berpaksikan Rakyat.' Walaupun nanti kita akan keluar tema yang spesifik, tetapi secara umumnya itulah tema kita. Sebelum itu kita juga mengadakan sesi perundingan dengan kumpulan kecil termasuk wakil akademik, NGO, kumpulan belia dan juga media. Justeru, dalam soal ini kita bersedia kerana kita membuat perancangan awal iaitu sejak tahun 2013. Bagaimanapun, banyak lagi perkara terperinci perlu kita lakukan sebelum mengambil alih secara rasmi tugas sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2015. Upacara penyerahan tugas ini akan dilakukan pada 13 November 2014 di Myanmar. Bagaimanapun, sehingga 31 Disember 2014, Myanmar masih Pengerusi. Sebagai Pengerusi banyak yang kita sudah rancang antaranya adalah empat mesyuarat besar. Pertama, pada peringkat permukiman (retreat) yang akan diadakan pada Januari. Selepas itu kita akan adakan Sidang Kemuncak pertama dan kemudian ada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN serta mesyuarat berkaitan termasuk mesyuarat ASEAN tambah dan Forum Serantau ASEAN dengan mesyuarat terbesar pada hujung tahun yang mana pada waktu itu kita akan umumkan penubuhan Komuniti ASEAN.
S: Bagaimana pula sokongan negara anggota ASEAN terhadap tugas ini?
J: Kita melihat sokongan yang padu. Dari satu segi, tugas ini adalah mengikut giliran dan kita sudah ditetapkan menjadi Pengerusi pada tahun 2015, walaupun mengikut sejarah kalau sesebuah negara itu ada masalah yang menyebabkan mereka tidak boleh menjadi Pengerusi, ia akan diserahkan kepada negara lain. Setakat ini kita bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN. Jadi tidak timbul soal sokongan.
S: Apa kelebihan kita peroleh sebagai Pengerusi ASEAN?
J: Dari segi kelebihan, kalau kita ada sesuatu isu yang kita rasa penting untuk ASEAN secara langsung dan Malaysia secara tidak langsung, kita boleh menjadi peneraju. Kita perlu faham bahawa ASEAN membuat keputusan secara muafakat. Ini bermakna, walaupun kita ada idea yang besar, tetapi tidak mendapat sokongan, bermakna keputusan tidak akan dicapai. Kedua, sebagai Pengerusi secara tidak langsung kita boleh meningkatkan profil negara dalam isu semasa dan juga isu antarabangsa.
S: Apakah tumpuan Malaysia apabila bertindak sebagai Pengerusi?
J: Tahun 2015 adalah sangat penting dan signifikan kerana pada hujung tahun, negara anggota ASEAN bersetuju menubuhkan Komuniti ASEAN. Ini satu perkara yang amat bersejarah. Melihat penubuhan ASEAN sejak tahun 1967, ada beberapa pencapaian yang kita kecapi dan Komuniti ASEAN adalah perkara penting dan sangat bermakna bagi ASEAN yang akan dicapai pada akhir tahun 2015. Dari segi tumpuan, jika melihat kepada Komuniti ASEAN, ada urutannya.
Sebelum ini, ASEAN ada melancarkan ASEAN Roadmap 2009-2015 yang mana terdapat beberapa tindakan yang akan diambil. Melihat kepada tonggak ASEAN, banyak perkara untuk ASEAN perlu lakukan. Secara am, lebih 80 peratus perkara bagi tiga tonggak berkenaan di dalam ASEAN Roadmap dilaksanakan.
Sebagai Pengerusi pada tahun 2015, Malaysia perlu menerajui tindakan ini yang mana jika tidak dapat pencapaian seratus peratus, mungkin 97 atau 98 peratus. Apa pun kita perlu ingat bahawa usaha menjayakan ASEAN Roadmap sedang berlangsung. Kedua, apabila tamat ASEAN Roadmap kita perlu fikirkan pula apa ASEAN perlu lakukan seterusnya. Untuk itu sebagai Pengerusi ASEAN, tugas kita adalah menerajui tugas ini. Malaysia tidak boleh bekerja sendiri dan kita perlukan kerjasama rapat anggota ASEAN untuk tentukan hala tuju pertubuhan ini selepas tahun 2015. Perbincangan mengenai perkara ini masih berlangsung dalam kalangan pegawai kanan bagi melihat arah mana yang kita hendak tuju selepas tahun 2015.
Selain itu, tumpuan kita juga sejajar dengan tema am iaitu 'ASEAN Berpaksikan Rakyat' dan kita cuba membawa ASEAN lebih dekat dengan rakyat. Ia bermaksud apabila kita menjadi Pengerusi nanti, kita cuba aturkan mesyuarat dan melihat kepada perkara tertentu untuk dibincangkan seperti pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu, kita juga merancang mengadakan Persidangan Ketua-Ketua Perkhidmatan Awam. Ini semua dalam perancangan. Kita hendak membawa ASEAN yang lebih menumpukan kepada rakyat sejajar tema dipilih. Kita juga hendak memberi lebih peluang kepada pihak berkepentingan untuk memberi pendapat dan kita cuba luaskan peluang ini.
Perkara yang turut menjadi tumpuan adalah bagaimana kita hendak meningkatkan imej ASEAN dalam isu hubungan antarabangsa. Jika kita lihat mekanisme yang ada dalam ASEAN, selain negara anggota, kita juga ada Sidang Kemuncak Asia Timur. Ia satu platform penting kerana keanggotaan Sidang Kemuncak Asia Timur meliputi antaranya Amerika, Russia dan China... apa yang kita panggil sebagai pemain utama selain Australia, New Zealand dan India. Apa yang perlu, adalah kita melihat bagaimana kita dapat lebih aktif dalam isu antarabangsa.
Perkara kelima yang menjadi tumpuan kita adalah bagaimana hendak memperkukuhkan institusi ASEAN. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika bercakap pada kolokium mencadangkan tambahan peruntukan kepada Sekretariat ASEAN di Jakarta. Pada masa ini sekretariat itu menerima peruntukan tahunan AS$17 juta (RM54.4 juta) sahaja dengan tiap negara memberi sumbangan sama banyak. Justeru, pada pandangan, kita ASEAN sudah membesar dan kalau kita mahu menjadikan ASEAN institusi yang lebih berkesan kita rasa peruntukan kewangan perlu ditambah. Kita mahu menjadikan ASEAN pertubuhan yang mempunyai sumber mencukupi, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga kakitangan. Kita memerlukan mereka yang cekap dan terbaik jadi kita memerlukan kewangan mencukupi. Kita cuba melaksanakan cadangan dikemukakan dan setiap negara sudah berbincang mengenainya. Jadi sebagai Pengerusi kita menerajui cadangan ini untuk dijayakan.
S: Pada akhir tahun 2015 kita akan menubuhkan Komuniti ASEAN. Bagaimana Datuk melihat konsep ini, adakah ia sesuatu yang tidak ada sempadan geopolitik atau bagaimana?
J: Setakat ini jika kita hendak lihat Komuniti ASEAN yang tiada sempadan geopolitik... ASEAN sebagai sebuah negara yang besar, agak mustahil, walaupun akhirnya kita akan menuju ke arah itu. Sedikit latar belakang...sebelum ini kita hendak menubuhkan ASEAN Economic Community. Bagaimanapun, kita memikirkan tidak boleh terhad kepada komuniti ekonomi sahaja, tetapi komuniti lebih menyeluruh.
Komuniti ASEAN akan diumumkan pada tahun 2015, tetapi selepas itu kita lihat apa pula yang kita hendak lakukan selepas tahun 2015. Tujuannya supaya ASEAN lebih bersepadu dan secara idealnya kalau ada isu antarabangsa kita boleh bercakap dalam satu suara. Dari segi pasaran pula, Komuniti ASEAN bermakna ASEAN sebagai satu pangkalan pengeluaran. Saya secara peribadi tidak suka membandingkan ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU) kerana mereka sudah ada struktur yang menjadikan mereka seperti sebuah entiti. ASEAN masih pada peringkat antara kerajaan, tetapi kita cuba bergerak ke arah satu pertubuhan.
Memang ramai yang bertanya bagaimana Komuniti ASEAN memberikan keuntungan. Sebenarnya sudah banyak inisiatif yang kita lakukan, cuma kita tak uar-uarkan apa yang dicapai. Sebagai contoh pergerakan rakyat. Pada masa ini rakyat dari negara ASEAN mudah untuk bergerak ke negara ASEAN lain. Cuma Myanmar yang memerlukan visa, tetapi di negara lain kalau masuk, akan dapat Visa on Arrival yang sah untuk tiga bulan bagi lawatan sosial. Kedua, dari segi pergerakan barang dagangan, ia semakin mudah. Sebab itu kita nampak sesetengah barang yang ada di negara kita sudah ada di mana-mana, begitu juga sebaliknya. Ini yang orang tak perasan... benda yang membabitkan rakyat.
Kita juga sudah ada Polisi Langit Terbuka... dan ini apa yang kita katakan freer movement of people and goods. Kita juga sedang berusaha ke arah Mutual Recognition Agreement... ia sedang berlangsung. Bagi perjanjian ini, sebagai contoh, jurutera yang lulus dari institusi pengajian tinggi di Malaysia, bolehkan mereka bekerja sebagai jurutera, misal kata di Thailand atau Kemboja... juga dalam sektor perubatan seperti jururawat dan doktor. Melalui inisiatif ini, secara tak langsung orang ramai sudah menikmati usaha dilakukan ke arah penubuhan Komuniti ASEAN, cuma kita sendiri tak perasan kerana fikir ia berlaku secara automatik sedangkan ia dirancang. Kita sudah mengambil langkah mewujudkan Komuniti ASEAN dan perkara ini akan berterusan dan kita sudah mengenal pastinya awal yang bermakna ada garis tindakan... ada titik tolak untuk bertindak.
S: Dari segi pergerakan dalam kalangan negara ASEAN sendiri terdapat jurang ekonomi memungkinkan berlakunya kesalahan undang-undang seperti tinggal melebihi masa untuk berkerja di negara tertentu. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
J: Perkara ini kita tak boleh elak. Bagaimanapun, kita perlu melihat isu ini dengan gambaran yang lebih luas. Kita bercakap mengenai 620 juta rakyat dan ini adalah pasaran yang besar, terutama Malaysia antara negara perdagangan penting. Justeru, masalah sosial ini mungkin timbul dan ia memang akan ada dan perlu ditangani mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Penting juga untuk kita rapatkan jurang ekonomi. Sebenarnya ada projek yang disebut ASEAN Initiative untuk dapatkan dana dari rakan dialog bagi merapatkan jurang ekonomi antara negara ASEAN.
S: Antara isu yang sering diperkatakan dalam kalangan negara anggota ASEAN adalah berkaitan Laut China Selatan. Bagaimana Datuk melihat isu ini terutama apabila Malaysia menjadi Pengerusi nanti dan bagaimana perkara ini dapat ditangani?
J: Kita tidak menyangkal isu ini penting. Laut China Selatan seharusnya dilihat dari dua segi iaitu tuntutan bertindih dan kebebasan perairan berkenaan untuk kegunaan kapal. Sama ada isu bertindih atau kebebasan penggunaan perairan semua negara yang ada kepentingan. Kita sentiasa mengambil pendirian apa masalah pun, walau dalam apa konteks sekalipun, kita berpegang kepada penyelesaian melalui proses perundingan. Itu asasnya. Dalam soal kebebasan menggunakan perairan, ia mesti tertakluk kepada undang-undang antarabangsa. Memang ada pelbagai spekulasi mengenai kestabilan di perairan ini, tetapi kita kena faham juga kita sudah ada mekanisme untuk cuba selesaikan masalah ini. Sebagai contoh, dengan China ada mekanisme penyelesaiannya. ASEAN dan China sudah meningkatkan rundingan dalam mesyuarat diadakan. Kita sebagai Pengerusi cuba selesaikan masalah ini secara rundingan. Kita tidak mahu ada pihak mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan suasana. Bila kita jadi Pengerusi itulah pendekatan tindakan kita.
Negara anggota ASEAN komited terhadap semangat Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan. Sebagai Pengerusi pada tahun 2015, Malaysia akan menggalakkan semua pihak bekerjasama bagi mengelakkan ketegangan di perairan berkenaan. Insya-Allah jika semua negara yang mempunyai kepentingan terhadap isu Laut China Selatan menghormati pendirian dan mengambil pendekatan selesaikan masalah secara berdamai. Melalui rundingan berdasarkan undang-undang, perkara ini tidak akan jadi lebih buruk.
S: Kita juga melihat isu jerebu yang menjadi isu dalam kalangan negara ASEAN dengan Malaysia antara yang terjejas. Bagaimana nanti kita dapat menanganinya agar masalah ini dapat diselesaikan?
J: Usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan sememangnya diperkukuhkan melalui kerjasama peringkat ASEAN, serantau dan dua hala. Malaysia adalah negara anggota yang berperanan aktif dalam menggerakkan usaha pencegahan jerebu serantau melalui forum Rundingan Tahunan Malaysia - Indonesia membabitkan pemimpin kedua-dua negara selain forum membabitkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Apa yang dapat saya katakan, mekanisme ke arah mengatasi masalah ini, ada. Tahun 2002, sepuluh negara anggota ASEAN menandatangani Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Pada 16 September lalu, Indonesia mengumumkan pendekatan positif terhadap permasalahan ini. Selain itu, Malaysia dan Indonesia sedang bekerjasama merangka Perjanjian Persefahaman peringkat hubungan dua hala terhadap permasalahan ini yang membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman, kepakaran dan maklumat berhubung usaha menanganinya
0 Komentar untuk " Misi bawa ASEAN dekat dengan rakyat "