MI Rebus Pak Din bersebelahan bangunan Mara berdepan dengan Menara Condong Teluk Intan antara mi rebus masih murah.

Dengan harga RM3 tanpa telur rebus dan RM3.50 bagi satu hidangan lengkap dengan telur rebus menjadi pilihan masyarakat setempat dan pelancong domestik, singgah untuk menikmati keenakan mi resipi turun temurun keluarga Pak Din itu.

Anak pengasas kedai mi itu, Abd Rahman Kamaruddin, 50, berkata, Mi Rebus Pak Din dibuka sejak 1962 dan sehingga 1969 harga satu hidangan mi rebus hanya 30 sen bagi mi tanpa telur rebus dan 40 jika ada telur rebus.

Katanya, namun pada 1970, harganya naik 50 sen bagi mi rebus kosong dan 70 sen dengan telur rebus.

“Harga tersebut kekal sehingga 1989 sehinggalah pada 1990, harganya naik 20 sen bagi setiap hidangan.

“Walaupun harga satu hidangan mi rebus naik dari tahun ke tahun sehingga tahun ini, bilangan pelanggan tidak berkurangan malahan bertambah dari semasa ke semasa disebabkan keenakan mi rebus kami,” katanya.

Lebih menarik kata Abd Rahman, masyarakat tempatan juga menggelar kedainya sebagai mi dinding atau mi sempit. Apapun, khabarnya keenakan sepiring Mi Rebus Pak Din boleh membuat pelanggan datang berulang kali.

Katanya, resipi mi rebus itu merupakan resipi turun temurun daripada arwah ayahnya.

“Mi Rebus Pak Din masih menjadi pilihan pelanggan di kawasan ini malahan orang luar yang datang ke Teluk Intan yang mendengar mengenai keenakan mi rebus kami, pasti akan datang ke kedai ini untuk mencubanya," ujar Abd Rahman.

Kepada penggemar mi rebus, jika ke Teluk Intan, jangan lepaskan peluang mencuba mi  resipi turun temurun yang sudah berusia 42 tahun ini. Selain terkenal enak, harganya juga agak murah.