MENGIKUT PROSIDING KELUARGA SARBAINI - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MENGIKUT PROSIDING KELUARGA SARBAINI

SALLEH BUANG  |  18 November 2014 1:31 AM

Hakim Datuk Kamaludin Md. Said meninggalkan lokasi kejadian Ahmad Sarbaini Mohamed ditemui mati tiga tahun lalu selepas membuat lawatan bersama isteri dan anak kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Cochrane, baru-baru ini. – BERNAMA

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kematian suaminya (Ahmad Sarbaini) disebabkan dibunuh secara salah oleh defendan. Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM8 juta daripada defendan.
Dari sudut undang-undang, sekiranya plaintif berjaya membuktikan ke tahap atas imbangan kebarangkalian mana-mana defendan pertama hingga defendan ketujuh bersalah menyebabkan kematian Ahmad Sarbaini, laluan terbuka bagi plaintif membuktikan defendan kelapan (SPRM) dan defendan kesembilan (kerajaan Malaysia) bersalah secara vicarious kepada plaintif.

Ahmad Sarbaini, 56, yang semasa hayatnya bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Jalan Cochrane Kuala Lumpur pada 6 April 2011. Beliau dikatakan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Lebih lima bulan kemudian, pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner memutuskan tidak terdapat unsur bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Ahmad Sarbaini. Malah Koroner Aizatul Akmal Maharani bersetuju dengan pendapat ahli patologi bahawa kecederaan dialami Sarbaini konsisten akibat kemalangan, iaitu terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM di Wilayah Persekutuan.

Dalam inkues itu (yang bermula pada 4 Julai dan berakhir 4 Ogos 2011), Mahkamah Koroner mende­ngar keterangan 34 saksi termasuk beberapa pegawai SPRM, dua ahli patologi forensik dan pegawai Kastam. Mengikut N. Surendran (peguam Masiah), Masiah dan keluarganya tidak pernah menerima salinan hasil­ inkues itu.

Masiah menunggu hampir tiga tahun sebelum memfailkan tuntutan ganti ruginya di Mahkamah terhadap sembilan defendan pada April lalu. Masiah terpaksa menunggu lima bulan lagi sebelum Mahkamah Tinggi mula mendengar tuntutannya itu pada 10 November lalu.

Ini bermakna sejak suaminya meninggal dunia dalam keadaan penuh ‘misteri’ itu, Masiah terpaksa menunggu tiga tahun tujuh bulan sebelum berpeluang ‘menun­tut­ ke­adil­an’ dalam satu prosiding terbuka di mahkamah. Dalam keterangannya di mah­ka­mah bila prosiding bermula, Masiah menyatakan dia memfailkan tuntut­an­ untuk mendapatkan keadilan ba­gi pihak suaminya dan seisi keluarga.

“Saya meneruskan tindakan saman terhadap SPRM untuk me­nuntut keadilan bagi pihak arwah Ahmad Sarbaini dan keluarga saya. SPRM juga perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi kepada arwah kerana beliau berada di tempat mereka ketika nyawanya diambil,” tegas Masiah, sambil menangis ketika memberi keterangannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Masiah menyatakan bahawa kematian suaminya ‘disebabkan dibunuh secara tidak sah’ oleh defendan. Masiah juga menyatakan defendan menyebabkan suaminya mengalami kecederaan yang serius, ekoran ‘serangan mental dan serangan sentuh’ terhadapnya. Atas segala salah laku defendan inilah plaintif me­nuntut ganti rugi RM8 juta.

Masiah memberitahu mahkamah bahawa dia sekeluarga kecewa kerana hingga hari prosiding ini bermula tidak seorang pun daripada SPRM yang datang menemuinya atau ahli keluarganya untuk meminta maaf atau menyatakan simpati atas kejadian yang menimpa suaminya.

Ketika menjawab soalan bagaimana perasaannya setelah dimaklumkan suaminya telah mening­gal dunia di pejabat SPRM, Masiah menyatakan dia amat terkejut dan kecewa kerana dia ‘orang yang terakhir’ mendapat maklumat tentang perkara itu.

“Pada hari kejadian, saya mene­rima panggilan daripada Pengarah SPRM, Mohamed Yusuff Akope bahawa suami saya ‘rebah’ ketika berada di SPRM. Saya hanya tahu suami jatuh bangunan melalui jiran dan kebetulan berita mengenainya turut dipaparkan di televisyen,” jelasnya.

Kata Masiah lagi, dia serta anak-anaknya terpaksa berdepan dengan ahli keluarga yang lain, sahabat handai dan masyarakat sekeliling yang beranggapan suaminya ‘berkemungkinan mengambil rasuah atau membunuh diri’.

Intipati kata-kata Masiah itu adalah bahawa selama ini (sejak tarikh kematian suaminya yang penuh misteri itu) dia dan lima orang anaknya terpaksa terus berdepan dengan persepsi negatif orang awam terhadap suaminya, selagi nama suaminya tidak ‘dibersihkan’. Masiah memfailkan prosiding ini demi mengembalikan maruah suaminya yang sudah tercemar.

Masiah juga menyatakan, semasa memberi keterangan di mahkamah, bahawa selama 28 tahun dia menjadi isteri Ahmad Sarbaini, suaminya itu selalu berpesan kepadanya jangan meminta-minta daripadanya benda atau barang yang di luar kemampuannya.

“Kita hidup secara sederhana saja, sesuai mengikut kemampuan kita. Suami saya kata kalau saya sayangkan dia, jangan minta apa yang dia tidak mampu. Saya ingat pesannya itu dan tidak pernah meminta apa-apa daripadanya,” kata Masiah kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said selaku hakim bicara.

Kata Masiah lagi, keluarganya tidak pernah pergi bercuti ke luar negara. “Kita tak punyai kereta mewah atau rumah besar. Anak-anak kita belajar di sekolah kerajaan,” kata ibu lima orang anak ini.

Pada sidang akhbar 10 November lalu, Surendran (peguam Masiah) menyatakan - “Tak masuk akal untuk percaya bahawa Ahmad Sarbaini, yang mempunyai kerjaya yang dihormati dan keluarga untuk dijaga sengaja memanjat tebing tingkap. Apabila kejadian itu berlaku, pihak berkuasa serta-merta keluarkan kenyataan yang beliau cuba membunuh diri.”

Surendran menambah rakaman CCTV di bangunan SPRM semasa kejadian itu ‘telah dipadam dan menimbulkan persoalan’. Bagi peguam itu, SPRM dan pegawai-pegawainya bertanggungjawab atas kematian suami anak guamnya kerana pegawai Kastam itu, ‘dibawa masuk oleh mereka untuk disoal siasat’.

Surendran turut menegaskan; “Tiada bukti Ahmad Sarbaini terlibat dalam sebarang salah laku rasuah.”

Kes Masiah dan anak lelakinya terhadap SPRM baru saja bermula. Perjalanan kes ini masih panjang dan kemungkinan besar ia tidak ber­akhir di Mahkamah Tinggi sahaja. Saya yakin kes ini akan terus diikuti oleh orang awam dengan penuh minat kerana bukan hanya ia sarat dengan pelbagai isu perundangan, tetapi juga kerana orang awam mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada suami Masiah pada 6 April 2011 lalu.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/mengikut-prosiding-keluarga-sarbaini-1.26027#sthash.SwvOSZ70.dpuf
0 Komentar untuk " MENGIKUT PROSIDING KELUARGA SARBAINI "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ