Mengangkat bahasa Melayu menuntut iltizam politik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengangkat bahasa Melayu menuntut iltizam politik

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana menulis isu basi bahasa Melayu yang barangkali memualkan pembaca semua. Tetapi tangan ini terasa gatal untuk menulis. Ingat, bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Bahasa Melayu mendapat nama gugusan kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu.

Bahasa Melayu diperkatakan lagi. Tetapi hakikatnya isu ini tidak boleh menangguk hasil di muara politik. Yang bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa Melayu ialah ahli bahasa, ahli sejarah dan budayawan. Tetapi mereka tidak ada kuasa politik. Orang politik pula sebahagiannya tidak mempunyai iltizam mengangkat bahasa Melayu. Kalau bercakap pun sekadar melepaskan batok di tangga, bukan datang dari hati.

Tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu menuntut iltizam politik yang tinggi. Disebabkan tidak ada sikap itulah bahasa Melayu bukan tidak teranjak malah semakin terpinggir. Birokrat pun buat endah tidak endah. Saya tidak pasti adakah orang politik Melayu fikir tentang bahasa Melayu? Kalau fikir, apa tindakan mereka?

Di Perhimpunan Agung UMNO atau Muktamar Pas, isu bahasa Melayu tidak menarik untuk dibahaskan. Isu ini tidak berkeupayaan untuk meraih undi. Biarpun ada yang berpantun, bersajak dan bergurindam tetapi hasilnya lebih merosakkan daripada mengangkat ketinggian seni sastera itu. Untuk buat lawak bolehlah.

Bagi saya, isu bahasa Melayu bukanlah sekadar papan tanda, nama kediaman atau pusat beli-belah yang mewah. Ia lebih jauh daripada itu. Memanglah kesengajaan menafikan bahasa Melayu menyakitkan hati.Misalnya Greater KL yang boleh sahaja disebut Kuala Lumpur Raya dan UTC (Urban Tranformation Centre) sepatutnya PTB (Pusat Tranformasi Bandar). Baru-baru ini ada sebuah kementerian menganjurkan “Purple Walk 2014” bukan Larian Ungu dan 1M4U sepatutnya disebut “satu M empat U” bukannya “I am for you.” Bagaimanapun ini bukanlah sebab utama yang akan memupuskan bahasa Melayu.

Faktor utama ialah hujah basi bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Misalnya untuk meneroka bidang profesional, ilmu tidak ada dalam bahasa Melayu. Hujah mereka lagi rujukan semua dalam bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa ilmu. Jadi, untuk jalan mudah kuasailah bahasa Inggeris termasuk budayanya sekali kerana bidang profesional memerlukan perantara bahasa Inggeris.

Apabila mereka yang menolak bahasa Melayu berhujah begitu, saya pun tertanya-tanya apakah maknanya kemerdekaan kepada kita? Penjajahan Inggeris secara rasminya telah berakhir tahun 1957 sebenarnya belum memerdekakan kita. Di mana silap kita sekalipun selepas begitu lama mencapai kemerdekaan tetapi tidak ada iltizam yang tinggi untuk 'merdeka'?

Baiklah, kita anggap sahaja bahasa Inggeris itu bahasa ilmu yang mampu melahirkan golongan profesional di negara ini. Mereka mendapat pendidikan di luar negara yakni di negara yang menggunakan bahasa Inggeris iaitu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Mereka ini adalah bukti bahawa ilmu dalam bahasa Inggeris membuka laluan untuk menceburi bidang profesional.

Tetapi saya juga tertanya-tanya bagaimana pula golongan profesional di negara-negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris? Adakah mereka tidak berjaya mendapat ilmu tetapi jauh lebih hebat berbanding kita yang 'mengilmukan' bahasa Inggeris? Bagaimana pengaliran ilmu di China, Jepun, Korea Selatan, Perancis atau Rusia? Mundurkah mereka di sana? Jepun misalnya yang pernah lumpuh selepas tragedi bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Perang Dunia Kedua menolak bahasa Inggeris. Tetapi kalau tidak silap saya, Jepun lebih hebat berbanding kita dalam bidang teknologi. Tolong betulkan kalau saya silap.

Di Jepun, bahasa Jepun adalah bahasa ilmu. Bahasa Jepun digunakan untuk mengalirkan ilmu hingga Jepun menguasai dunia dalam bidang teknologi dan industri. Pelajar-pelajar kita yang menuntut di Jepun mesti mahir dalam bahasa Jepun kerana ilmunya dalam bahasa itu. Apakah lebihnya bahasa Jepun atau Korea dan apa kurangnya bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu?

Allahyarham Datuk Hassan Ahmad, bekas Duta Khas ke UNESCO pernah memberitahu saya, hanya dengan iltizam politik sahaja bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu seperti bahasa Jepun, Korea, Rusia atau Perancis. Tetapi ini tidak berlaku kerana sebahagian besar pemimpin politik masih dijajah dan mereka melihat hanya bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

“Buku-buku ilmu teknologi dalam bahasa Jepun diterjemah ke bahasa Inggeris. Termasuk juga ilmu dalam bahasa Korea, Perancis dan Rusia. Siapa kata bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu kalau hanya diterjemah daripada ilmu bahasa lain?” Tanya Hassan ketika berbual di pejabatnya di Yayasan Karyawan, Pusat Bandar Damansara. Hassan pengguna bahasa Melayu dan Inggeris yang baik.

Ada pula yang berkata, jangan bandingkan dengan Jepun. Kita lain, Jepun lain. Sebenarnya tidak ada bezanya kecuali mereka memiliki iltizam yang kuat terhadap bangsa, bahasa dan budaya tetapi kita tidak. Ternyata yang tidak berdaya bukan bahasa Melayu tetapi orang Melayu. Di Rusia, untuk pergi ke angkasa lepas semua kena belajar bahasa Rusia, bukan bahasa Inggeris. Tepatlah kata seorang rakan saya, Dr. Victor Porgadev dari Rusia, “Bahasa kami menjadi bahasa pertama di angkasa lepas. Angkasawan Yuri Gagarin menuturnya pada 12 April 1961.”

Tetapi untuk bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, maaf cakaplah saya belum nampak kesungguhan ke arah itu. Agaknya ketika kita merayakan ulang tahun ke-100 kemerdekaan nanti pun bahasa Melayu terus menjadi 'sampah' di negara sendiri. Sebabnya kita bukan seperti Jepun, Korea, Rusia atau Perancis yang telah merdeka. Malang bahasa Melayu kerana orang Melayu.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/mengangkat-bahasa-melayu-menuntut-iltizam-politik-1.22456#sthash.2lmtjGOp.dpuf
0 Komentar untuk " Mengangkat bahasa Melayu menuntut iltizam politik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ