Belajar budaya hidup di asrama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Belajar budaya hidup di asrama

Setiap tahun ada sahaja cerita budak asrama kena buli. Lebih menggemparkan seluruh negara apabila ada kes pukul dan belasah beramai-ramai oleh pelajar senior ke atas pe­lajar junior.

Kisah buli datang lagi pada sesi akhir persekolahan tahun ini. Biasanya kalangan kaum ibu amat tersentuh apabila membaca kisah buli di asrama ini. Mereka lebih terasa sedih apabila aksi belasah dan buli itu dapat disaksikan dalam bentuk video yang menjadi ‘viral’ dalam Internet dan telefon bimbit canggih melalui laman sosial. Dahulu tak siapa tahu.

Keadaan ini turut dirasai oleh isteri saya. Tapi mujur saya sudah ada pengalaman tinggal di asrama sejak berusia 12 tahun. Saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Selangor yang dihuni ‘pakwe dan makwe’ di Cheras, Kuala Lumpur. Saya juga pernah lebih setahun tinggal di asrama sekolah berasrama penuh yang dihuni ‘balak’ sahaja di Ipoh. Kemudian anak saya pula bersekolah asrama penuh untuk pelajar lelaki di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

Jadi saya dan anak saya, tidak terkejut dengan cerita buli dan belasah pelajar di asrama.

Buli bagi saya ada kesan positif dan negatif. Pada zaman saya di asrama sekitar pertengahan 1970-an, amalan raging atau buli sudah diharamkan oleh Kementerian Pendidikan. Kami pelajar tingkatan satu yang baru masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama penuh rasa amat bertuah.

Tetapi jangan ingat perbuatan buli tidak berlaku. Dari semasa ke semasa ada sahaja pelajar tingkatan satu dipanggil oleh abang senior ke dorm (bilik asrama) mereka. Mereka dipaksa mencari 10 nama pelajar senior daripada tingkatan lima. Jadi, daripada reaksi itu, pelajar junior akan sentiasa mengingati nama pelajar senior.

Dalam kesempatan yang dinamakan minggu orientasi juga ada yang ambil kesempatan. Tidak kurang junior diminta urut badan abang senior. Ada juga yang disuruh melakukan aksi lucah, untuk hiburan abang-abang itu. Tahap buli fizikal dilarang, ataupun mereka pun takut perbuatan itu diadukan kepada pihak sekolah.

Amalan buli ini akan berulang apabila pelajar junior pula menjadi senior. Percayalah, amalan ini juga dilakukan oleh pelajar perempuan.

Perkara negatif amalan buli ini ialah apabila berlaku pergaduhan. Semasa saya tingkatan tiga, kami pelajar lelaki beranggapan tiada musuh daripada kalangan senior. Tetapi ada yang berdendam. Dahulu semasa mereka masuk asrama, mereka dibuli dan didera. Jadi mengapa giliran kami masuk asrama, pihak sekolah mahu ‘memanjakan’ kami pula.

Beberapa rakan saya yang dianggap ‘loghat’ (berlagak) dipanggil ke bilik asrama pelajar ting­katan lima. Maka terjadilah aksi tinju tanpa balas. Semasa za­man sekolah dahulu mereka yang terlibat dengan buli dan dera itu tak memberitahu kami ten­tang kejadian itu. Selepas beberapa tahun meninggalkan se­kolah, baharu diceritakan. Me­mang pada zaman itu, pelajar tingkatan lima bermusuh dengan kami – pelajar tingkatan tiga.

Musuh kami rupa-rupanya bukan sahaja pelajar tingkatan lima – pelajar tingkatan empat pun memusuhi kami. Bila mereka naik ke tingkatan lima, pernah be­berapa rakan kami dipanggil oleh mereka. Kecoh pelajar tingkatan lima hendak ber­ga­duh dengan pelajar tingkatan empat. Pengalaman lalu me­nga­jar kami untuk bersatu mem­per­tahankan rakan, apatah lagi majoriti kami pelajar dari Se­langor – bukan macam senior yang datang dari negeri jiran ber­dekatan. Sebab semasa itu bilangan sekolah berasrama penuh di negeri lain tak banyak seperti sekarang.

Tetapi entah mengapa, apabila bertemu dalam majlis alumni sekolah, kami menjadi rapat terutama kalangan pemain ragbi sekolah. Kelab ragbi alumni sekolah menyatukan kami – pelajar sesi pertama (perintis) sehingga yang di bawahnya.

Apabilia kami menjadi pelajar tingkatan lima, maka giliran kami pula bergelar ‘taiko’ asrama dan sekolah. Baru saya tahu, rupa-rupanya mana-mana pelajar yang nampak ‘berlagak’ tak akan selamat. Pasti mereka akan dipanggil oleh rakan saya – entah apa-apa yang akan disuruhnya. Ada yang diminta basuhkan baju dan seluar satu baldi besar. Ada yang disuruh ke kantin sekolah membeli air dan makanan, yang jaraknya 100 meter dari asrama. Pelajar yang nampak lembut pun tak selamat, ada cara mereka kena buli.

Sekali lagi saya tegaskan, antara pelajar yang mendera dan kena dera – akhir menjadi sahabat – macam adik dengan abang.

Tetapi ada juga yang tak akan selamat daripada kena penumbuk beberapa rakan saya. Golongan yang kena belasah ini ialah mereka yang dituduh mencuri. Di asrama cara siasatannya lain. Selepas soal siasat pihak pengawas, pelajar senior akan ambil alih dengan cara ala-Gestapo. Maklumlah di asrama, benda yang selalu hilang ialah duit. Mengaku atau tidak, badan pasti lebam kena tumbuk dan ditendang. Maklumlah, duit kiriman ibu bapa dan wang biasiswa amat berharga. Walau disorok macam mana pun, pencuri dapat juga mencarinya.

Semasa zaman saya, 80 peratus pelajar terdiri daripada kalangan anak golongan miskin. Buktinya apabila cuti sekolah, hanya beberapa rakan akan dijemput dengan kereta oleh ibu bapa masing-masing. Yang lain berduyun-duyun menapak dengan beg pakaian keluar asrama menuju ke perhentian bas di Jalan Cheras menaiki bas Tong Fong nombor 123 yang terletak 2 km dari sekolah.

Kehidupan di asrama bagi saya membina jati diri dan berdikari. Dalam usia 12 tahun sudah berpisah dengan ibu bapa dan adik-beradik. Perasaan kasih sayang daripada ibu bapa bagaikan terputus kecuali musim cuti sekolah. Ibu bapa pula pasti rindukan anak-anak – macam mana makan dan minumnya, sihat atau tidak dan ada atau tidak duit belanja.

Sebab itu apabila kisah buli dan dera pelajar di asrama berlaku, memang ibu bapa akan cepat terasa risau dan bimbang tentang keselamatan anak masing-masing. Tetapi kebimbangan itu hanya seketika – apabila keputusan akademik diumumkan, ramai ibu bapa mahu anak mereka belajar di sekolah berasrama penuh.

Kepada ibu bapa, kadangkala anak-anak di asrama perlu dibiarkan belajar hidup berdikari, belajar bergaul. Pelajar daripada keluarga kaya akan belajar membantu rakan mereka yang kurang berada. Biarkan mereka hidup bagaikan adik-beradik yang perlu bantu membantu satu sama lain. Itu yang saya belajar budaya hidup di asrama.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/belajar-budaya-hidup-di-asrama-1.22457#sthash.5YnFNZ93.dpuf
0 Komentar untuk " Belajar budaya hidup di asrama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ