Mendepani cabaran politik Muslim - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mendepani cabaran politik Muslim

MOHD. IZANI MOHD. ZAIN  |  13 November 2014 2:00 AM

 Baru-baru ini, satu Forum Demokrat Islam Sedunia diadakan di ibu negara dan antara isu yang menarik perhatian penulis adalah pandangan salah seorang pembentang kertas kerja yang menegaskan bahawa parti politik Islam yang eksklusif tidak mempunyai masa depan.

Beliau juga mencadangkan agar kumpulan Islamis atau pendukung politik Islam lebih mesra dengan demokrasi dan menerima sistem itu sebagai satu budaya politik dan bukan satu cara untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Dalam erti kata lain, mereka perlu melihat demokrasi dari perspektif melangkaui pilihan raya.

Tidak dinafikan, persaingan untuk mendapatkan kuasa politik melalui proses demokrasi dalam konteks politik Muslim telah memunculkan dua kumpulan atau golongan. Antaranya, apa yang diperkenalkan oleh ahli akademik dari Amerika Syarikat, Vali Nasr iaitu Islamis dan Muslim Demokrat.

Menurut beliau, Islamis merujuk kepada gerakan Islam yang menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya dan bercita-cita menubuhkan negara Islam. Nasr mendakwa Islamis hanyalah menggunakan demokrasi sebagai alat untuk mencapai kuasa politik. Kumpulan kedua iaitu Muslim Demokrat pula dilihat secara lebih positif di mana kumpulan ini menyertai demokrasi untuk menubuhkan negara yang stabil dan mampu memenuhi keperluan rakyat tanpa terpengaruh dengan retorik negara Islam atau undang-undang Islam.

Islamis dan 
Muslim Demokrat

Di Malaysia, persaingan politik Muslim banyak tertumpu kepada dua parti politik yang bertunjangkan sokongan Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas. UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan pada 1946 hasil gerakan menentang Malayan Union yang bertujuan menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Walaupun perjuangan UMNO berteraskan kepada hal ehwal orang Melayu dan Islam di negara, UMNO juga adalah sebuah parti yang pragmatik apabila bekerjasama dengan parti-parti komponen lain dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN). Dalam konteks ini, UMNO dilihat sebagai kumpulan Muslim Demokrat yang mengambil pendekatan moderat dan pragmatik dalam kerangka demokrasi serta tidak terpengaruh dengan retorik negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam.

Kumpulan kedua iaitu Islamis merujuk kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Parti ini yang ditubuhkan pada 1951 mempunyai komitmen yang tinggi untuk menubuhkan sebuah negara Islam di mana syariat Islam menjadi akidah negara, perlembagaan dan perundangan negara, dan segala nizam (sistem) yang ada dalam negara. Meskipun mempunyai matlamat menegakkan negara Islam di Malaysia, Pas mahu memperjuangkannya mengikut kerangka demokrasi.

Mutakhir ini, landskap politik di Malaysia menjadi semakin terbuka dan dipengaruhi oleh wacana politik baharu telah mengangkat tema demokrasi, keadilan, kebebasan dan pemerintahan yang baik sebagai keutamaan berbanding ideologi negara Islam. Perkembangan ini telah mendesak kumpulan Islamis untuk mengubah pendekatan mereka dan menjadi lebih toleran dengan memahami realiti politik semasa. Mereka perlu berubah atau jika tidak, akan terpinggir dalam arus perdana persaingan politik negara.

Ini boleh dilihat dalam konteks Pas apabila parti itu mula mengubah pendekatan perjuangannya daripada untuk mengubah realiti kepada memahami realiti. Penggunaan istilah negara Islam tidak lagi digunapakai kerana ia menggerunkan masyarakat bukan Islam, sebaliknya memilih negara kebajikan yang lebih mesra dan cocok dengan keperluan semasa.

Sikap tolak ansur dan berlunak yang diambil oleh Pas memberi kesan yang besar kepada pencapaian dan identiti parti itu. Memang benar parti itu mendapat lebih banyak sokongan namun pada masa sama, identiti Pas sebagai sebuah parti yang membela kepentingan Islam semakin mula dipersoalkan.

Polemik Pasca
Islamisme

Kelahiran Muslim Demokrat dikatakan sesuai dengan konteks politik semasa kerana ia membawa dimensi baharu politik Islam yang tidak menyandarkan perjuangan Islam itu kepada retorik tetapi praktis.

Ini berbeza semasa dekad 80-an apabila dilihat sebagai era gelap politik Islam atau Islamisme yang bukan sahaja memperlihatkan ketidakmampuan parti Islam atau kumpulan Islamis mendapatkan kuasa politik melalui pilihan raya, tetapi kegagalan mereka mengemukakan model baharu masyarakat yang diinginkan. Prof. Olivier Roy seorang penasihat dasar negara Perancis berpandangan, perjuangan politik Islam pada ketika itu hanya memberi reaksi dan sanggahan terhadap kegagalan sistem Barat serta retorik untuk kembali kepada ajaran Islam melalui penubuhan negara Islam.

Alaf 21 telah menyaksikan perubahan landskap politik dunia termasuk dunia Islam apabila wujudnya kebangkitan rakyat menentang kepimpinan autokratik dan menuntut sebuah pemerintahan yang demokratik serta mengiktiraf hak asasi manusia. Wacana politik semakin berubah dan jauh meninggalkan retorik agama dan negara Islam. Tema yang lebih universal seperti demokrasi, keadilan, kebebasan dan pemerintahan yang baik semakin mendapat tempat kerana ia mengiktiraf hak asasi rakyat partisipasi politik dalam bernegara.

Perkembangan ini turut mempengaruhi kumpulan Islamis untuk lebih memahami realiti politik dan kepelbagaian sekaligus memaksa mereka berubah untuk kekal dalam persaingan politik. Rata-rata kumpulan Islamis sudah mulai meninggalkan wacana dan politik lama mereka dan berusaha memenuhi tuntutan semasa dan kehendak rakyat. Ini jauh berbeza dengan retorik negara Islam yang dilaung-laungkan sebelum ini yang dilihat sebagai berpendekatan atas bawah (top down) dan meletakkan negara sebagai punca kuasa.

Peralihan paradigma dan anjakan kepada pendekatan yang lebih toleran ini dilabel sebagai Pasca Islamisme. Dr. Asef Bayat yang mempelopori istilah ini percaya bahawa wacana dalam politik Muslim sudah berubah kepada keperluan universalisme dan bukan lagi terkongkong dengan retorik agama dan negara Islam. Asef berpendapat pasca Islamisme tidak melihat ideologi itu penting atau tidak diberikan penekanan dalam wacana politik Muslim masa kini.

Era keterbukaan dan pluralisme telah mendesak politik Muslim memberi tumpuan kepada pendekatan yang bersifat inklusif dan merentas massa. Ia sebenarnya amat baik kerana selari dengan realiti Islam sebagai agama yang universal dan rahmat untuk semua. Walau bagaimanapun, keterbukaan ini janganlah sampai kita mengambil sikap berlunak sehingga soal liberalisme serta pluralisme diterima dan menjadi akidah atau pegangan dalam setiap tindakan politik kita.

PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/mendepani-cabaran-politik-muslim-1.24061#sthash.KHx4gzoD.dpuf
0 Komentar untuk " Mendepani cabaran politik Muslim "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ