Buli di sekolah pasti ada jalan selesai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Buli di sekolah pasti ada jalan selesai

ALIMUDDIN MOHD DOM (TANSRIALIMUDDIN@YAHOO.COM)  |  13 November 2014 2:00 AM

 Sejak akhir-akhir ini video kejadian buli di sekolah tersebar luas melalui aplikasi WhatsApp dan laman web. Ia menjadi ‘viral’ sehingga turut dimuatkan dalam berita utama televisyen. Bukan setakat itu, isu buli turut dijadikan bahan panas perbincangan di forum-forum.

Sudah tentu video buli itu mendapat perhatian ramai terutama dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak yang tinggal di asrama. Mereka risau dan takut sekiranya anak mereka terlibat sama.

Rentetan daripada paparan itu, beberapa laporan polis dibuat. Hasilnya pelajar yang terlibat diberkas dan didakwa. Namun demikian, anehnya ada juga video buli yang tersebar luas ketika ini tidak diketahui di mana kejadian itu berlaku. Tiada laporan dibuat oleh mangsa kepada pihak sekolah atau polis. Akibatnya pengetua di beberapa buah sekolah bertindak menafikan apabila ada yang mengaitkan kejadian itu berlaku di sekolah mereka.

Boleh dikatakan semua sekolah melarang perbuatan buli. Larangan ini ada dalam buku undang-undang dan peraturan sekolah. Tertulis dengan jelas jika ada pelajar yang terbukti melakukannya maka hukuman berat akan dikenakan sehingga boleh dibuang sekolah.

Sementara itu, jika aduan dibuat terus kepada polis maka pelajar berkenaan boleh didakwa atas kesalahan jenayah dan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sesungguhnya perbuatan buli ini bukanlah perkara baharu dalam kalangan pelajar sekolah. Sekiranya kita bertanya dengan pelajar yang bersekolah dalam tahun 1960an dan 1970an mereka boleh menceritakan bagaimana kejadian itu turut berlaku di zaman itu. Malah kejadian buli juga berlaku di pusat pengajian tinggi. Tetapi perkataan buli itu ditukar kepada ‘raging.’ Untuk melunakkan lagi perbuatan itu kini ditukar pula kepada ‘orientasi.’

Banyak kajian dilakukan untuk mengenalpasti mengapa kejadian buli itu berlaku. Antaranya, faktor psikologi ketika memasuki fasa alam keremajaan. Kebiasaannya ketika usia ini mereka akan mencari-cari identiti sendiri. Ada pelajar yang menunjukkan bakat untuk menjadi pemimpin, ada yang aktif dalam sukan, ada yang berusaha mengungguli bidang akademik dan ada yang hanya menjadi pengikut. Yang menimbulkan masalah ialah keinginan menjadi juara dengan cara menunjukkan keegoan dan kekuatan secara negatif.

Faktor keakraban atau setia kawan dalam kalangan rakan sebaya juga boleh mempengaruhi perlakuan tersebut. Bagi mengelakkan akan dianggap tidak ‘sporting’ atau tidak ‘macho’ mereka terpaksa ikut sama terlibat apabila diajak dan didesak melakukan perbuatan itu.

Keruntuhan rumah tangga kerap dikaitkan boleh mempengaruhi perlakuan anak-anak. Mereka boleh bertukar menjadi orang sensitif, bersikap pendendam dan curiga terhadap orang lain. Jika ada perkara menyentuh emosinya dengan pantas boleh menyebabkannya bertukar menjadi bengis, kasar dan bertindak di luar batas kebiasaan.

Perbuatan membuli ini juga ada kaitan dengan faktor tidak puas hati atau mengambil tindakan sendiri. Misalnya apabila berlaku kehilangan wang, telefon bimbit, peralatan elektronik, pakaian atau lain-lain maka timbullah tuduh menuduh. Perkara itu tidak dibawa kepada pengetahuan pengurusan asrama atau sekolah kerana ingin menyelesaikannya sendiri. Bagi pihak pengurusan sekolah pula bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka memantau perlakuan pelajar sepanjang masa.

Namun demikian untuk mengatasi kejadian itu maka langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara terancang yang melibatkan semua warga sekolah. Program yang boleh merapatkan hubungan dan pergaulan sesama pelajar hendaklah digalakkan seperti gotong-royong, rekreasi, kesenian, permainan, pasukan beruniform dan kesukarelawan.

Sementara itu, dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dijalankan semua guru hendaklah mengambil kesempatan menerapkan nilai-nilai murni yang perlu dimiliki dan dihayati oleh pelajar.

Pengetua juga perlu bertegas terhadap pelajar yang degil atau berpotensi melakukan buli. Bimbingan dan nasihat perlu kerap diberikan. Hukuman rotan atau tindakan terakhir buang sekolah harus dikenakan terhadap perbuatan buli yang serius. Justeru, sokongan dan kerjasama ibu bapa sangat diperlukan. Ibu bapa hendaklah sentiasa menasihati dan mengingatkan anak-anak agar menjauhkan diri daripada terlibat dengan perbuatan buli itu.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad 
dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/buli-di-sekolah-pasti-ada-jalan-selesai-1.24058#sthash.cDwJSXAt.dpuf
0 Komentar untuk " Buli di sekolah pasti ada jalan selesai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ