Mendalami 
sejarah Internet - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mendalami 
sejarah Internet

BUKU ini ditulis oleh Profesor John Naughton seorang ahli akademik dan wartawan. Beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kolej Wolfson, salah satu daripada 31 kolej yang terdapat di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK).

BUKU ini menggunakan bahasa Inggeris yang cukup mudah tanpa istilah yang bersifat terlalu teknikal.
Beliau juga seorang profesor yang mengajar subjek Pemahaman Awam Terhadap Teknologi di Universiti Terbuka dan kolumnis ruangan The Networker dalam akhbar hari Ahad UK, The Observer.

Latar belakang beliau sebagai seorang sejarawan teknologi membuatkannya tertarik dengan Internet yang disifatkannya ciptaan teragung pada abad ini menyamai penciptaan mesin cetak pada tahun 1455.

Walaupun Internet cukup berkuasa dan digunakan secara meluas, beliau bingung kerana sebahagian besar orang ramai jahil tentang teknologi berkenaan yang mula beroperasi pada 1983.

Ungkapan yang sering disebutnya: “Demokrasi memerlukan rakyat memahami segala perkara yang memberi kesan kepada mereka.

“Harga kebebasan yang diperoleh melalui demokrasi harus dibayar dengan cara sentiasa berjaga-jaga dan saya dapati tidak banyak kewaspadaan di pihak orang ramai pada masa ini terhadap semua bidang termasuk Internet.”

Sebagai respons terhadap kurangnya pemahaman orang ramai terhadap Internet, beliau telah menulis buku ini bagi membolehkan mereka mengetahui sedikit sebanyak tentang teknologi terbabit yang disampaikan dalam bahasa Inggeris yang cukup mudah tanpa istilah yang bersifat terlalu teknikal.

Buku ini menghuraikan fakta-fakta tentang Internet dalam sembilan bab. Angka sembilan itu adalah hasil ilham pakar psikologi dari Universiti Harvard, George Miller. Mengikut teori Miller, manusia hanya mampu mengingat tujuh idea secara serentak, tolak atau campur dua.

Sehubungan itu, Naugh­ton menjelaskan, beliau memutuskan untuk mempunyai sembilan bab sahaja dalam buku berkenaan bagi memudahkan pembaca mengingati sembilan perkara utama berkaitan Internet.

Tajuk buku itu memilih dua tokoh iaitu Johannes Gutenberg yang berasal dari Mainz, Jerman yang telah memperkenalkan teknologi mesin cetak dan Mark Zuckerberg yang mencipta Facebook pada 2004.

Laman sosial itu adalah aplikasi terbesar menggunakan kemudahan rangkaian Internet dengan 600 juta pengguna pada 2011.

Naughton percaya Internet khususnya Facebook akan memberikan kesan yang cukup mendalam terhadap cara manusia berfikir, berkomunikasi, politik dan kehidupan sosial masyarakat sama seperti kesan besar daripada pengenalan mesin cetak.

Antara kesan pengenalan mesin cetak sebelum ini adalah mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu, kaedah pengiklanan yang lebih canggih dan dinamik serta meningkatkan akses orang ramai kepada ilmu pengetahuan.

Naughton turut menulis tentang sejarah penciptaan Internet oleh dua jurutera, Vint Cerf dan Robert Kahn yang pada peringkat awalnya terlibat membina rangkaian komputer ARPAnet untuk Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).

Beliau juga menyenaraikan dua sifat Internet yang unik iaitu ia tidak mempunyai satu pusat kawalan khusus dan boleh menghantar apa sahaja bahan sama ada gambar, suara dan data dari satu titik ke satu titik lain tanpa masalah.

Penulis turut menyentuh mengenai persoalan adakah kemunculan laman sosial, portal berita dan blog yang menggunakan kemudahan Internet akan menyebabkan media tradi­sional seperti akhbar akan pupus?

Beliau berhujah, perkara itu tidak akan berlaku berdasarkan sejarah yang membuktikan stesen radio yang diperkenal pada 1920-an tetap wujud walaupun selepas kemunculan stesen televisyen pada 1950-an.

Media baharu dan media tradisional akan wujud secara seiring dan saling melengkapi antara satu sama lain. Bagaimanapun, untuk terus hidup pihak akhbar misalnya perlu berubah daripada menyajikan berita sahaja kepada medium yang memuatkan komen melibatkan sesuatu isu dan rencana yang bagus.

Pada bab terakhir, Naughton memetik tulisan dua saste­rawan Inggeris, George Orwell dan Aldous Huxley yang meramalkan masa depan dunia yang cukup menakutkan.

Menurut Orwell, pada masa depan, dunia akan diperintah oleh pemerintah zalim yang digelar ‘Big Brother’ manakala Huxley menggelar individu itu sebagai ‘The Director’.

Pemerintah berkenaan akan memerintah secara totalita­rian atau satu kumpulan elit sahaja yang mentadbir dan bukannya kerajaan yang bersifat demokratik dan bebas.

Pemerintah juga akan menggunakan teknologi paling canggih untuk mengawasi setiap pergerakan rakyat, menyekat kebebasan bersuara dan mengawal cara orang ramai berfikir.

Menurut Naughton, ramalan oleh dua sasterawan berkenaan turut dikongsi oleh cendekiawan dalam bidang undang-undang, Tim Wu yang mendedahkan, pengenalan sesuatu teknologi komunikasi baharu akan mengalami satu kitaran yang hampir sama.

Pada mulanya mudah diakses oleh sesiapa sahaja dan akhir­nya akan dikawal oleh satu entiti atau kartel.

Itulah yang berlaku pada perkhidmatan telefon di AS yang pada mulanya ditawarkan oleh pelbagai syarikat tetapi akhir­nya dimonopoli oleh AT&T sahaja. Dalam industri perfileman juga perkara sama berlaku apabila ia hanya dikuasai oleh kartel Hollywood.

Adakah Internet akan mengalami nasib sama ? Hanya masa yang akan menentukan.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/mendalami-8232-sejarah-internet-1.24376#sthash.uuxMkUqJ.dpuf

Related Post

0 Komentar untuk " Mendalami 
sejarah Internet "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ