Cerita suka-duka di sebalik konvokesyen - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cerita suka-duka di sebalik konvokesyen

SEBAHAGIAN daripada graduan yang menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Ke-38 di Serdang, Selangor pada 2 November lalu. – Gambar HIASAN

SEKARANG musim konvoke­syen. Setelah beberapa univer­siti tempatan mengadakan maj­lis konvokesyen, kini tiba pula giliran Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulis sebagai salah seorang tenaga akademik universiti tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menjayakan majlis konvokesyen kali ke-27 UUM.
Majlis konvokesyen diadakan sa­ban tahun bagi meraikan para gra­duan yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Kejayaan graduan ini diberi pengiktirafan bukan sahaja oleh pihak pengurusan universiti dan para pensyarah mereka, namun apa yang lebih penting ialah ibu bapa mereka yang telah banyak berjasa.

Bukan mudah bergelar graduan. Bukan juga mudah untuk berjaya setelah berijazah. Banyak liku-liku perjalanan yang akan ditempuh. Setelah berjaya mengharungi pelbagai rintangan semasa bergelar mahasiswa, rintangan yang jauh lebih hebat sedang menanti para graduan. Harus diingat bahawa kejayaan yang dicipta hari ini tidaklah mudah.

Tolehlah semula ke belakang. Ada kalangan rakan-rakan anda yang sama-sama menjejakkan kaki ke menara gading tetapi tumpas di perjalanan untuk mendapatkan ijazah. Tidak semua rakan anda berjaya melangkah sejauh anda.

Di sebalik sebuah kejayaan pasti ada seribu satu cerita. Begitu jugalah ceritanya dengan penerima anugerah ijazah doktor kehormat konvokesyen UUM kali ini, iaitu Datuk Seri S Samy Vellu.

Semasa menyampaikan ucapan beliau ada menceritakan keperitan hidup beliau yang berasal daripada sebuah estet sehingga berjaya menjawat jawatan menteri Kabinet dan pemimpin kaum India di Malaysia.

Bukan mudah untuknya mencipta kejayaan. Bermula sebagai seorang pelajar biasa yang mempunyai kelebihan berbahasa Inggeris dengan baik, akhirnya selangkah demi selangkah beliau mencipta kejayaan. Pelbagai rintangan ditempuhi beliau boleh dijadikan pengajaran untuk para graduan dan mahasiswa di seluruh negara.

Begitu juga penulis dapat rasakan pengalaman graduan-graduan lain. Sungguh kita tidak dapat ba­yangkan dalam era moden sekarang, masih ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan.

Bukan berhadapan dengan masalah biasiswa atau pinjaman pendidikan namun jumlah yang diterima terpaksa dihantar untuk menampung perbelanjaan sekolah adik-adik dan keluarga di kampung. Ada graduan terpaksa menggunakan wang biasiswa untuk memperbaiki rumah keluarga mereka.

Sesuatu yang sukar dipercayai tetapi realitinya masih berlaku pada hari ini. Mereka sanggup bersusah payah demi keluarga. Anak-anak muda seperti inilah yang akan berjaya dan menjadi pemimpin bagi generasi akan datang.

Ada pula cerita graduan yang berkahwin semasa belajar dan berjaya mendapat anugerah tertinggi universiti.

Ini menunjukkan bahawa ber­kahwin pada usia muda bukan halangan yang boleh menyekat kejayaan seseorang. Kedua-dua gra­duan ini telah membuktikan kepada kita. Hendak seribu cara, tidak hendak seribu dalih.

Di samping cerita mengenai graduan, ada juga cakap-cakap daripada rakan-rakan penulis yang agak terkilan dengan sesetengah graduan. Bukan niat mereka untuk mengungkit mengenai jasa yang telah diberikan mereka untuk para graduan ini. Namun sebagai seorang insan, mereka merasakan bahawa para graduan perlu menzahirkan rasa terima kasih sesama manusia.

Setidak-tidaknya pada hari konvokesyen atau hari sebelum atau selepas konvokesyen, para graduan dapat memperuntukkan sedikit masa untuk bertemu dengan bekas-bekas pensyarah mereka.

Apalah salahnya jika para gra­duan ini berjumpa dengan bekas pensyarah ini untuk mengungkapkan ucapan terima kasih. Ucapan ini walaupun nampak remeh dan biasa namun memberi erti yang besar buat bekas-bekas pensyarah ini.

Dalam perjumpaan tersebut ba­walah ibu bapa bersama-sama anda. Mungkin di sebalik perjum­paan tersebut ada wasiat masa de­pan yang ingin disampaikan mereka. Para pensyarah juga ingin berkenalan dengan ibu bapa anda yang banyak menabur jasa.

Ada kalangan rakan memberitahu penulis bahawa pada tahun ini tiada seorang pun graduan datang berjumpa dengannya. Pada tahun-tahun sebelumnya ada juga beberapa orang graduan bertemunya semasa konvokesyen.

Namun, kebanyakan mereka adalah dari golongan pelajar yang mempunyai pencapaian sederhana. Pelajar-pelajar cemerlang seorang pun tidak kelihatan.

Dalam hal ini penulis berpendapat bahawa kedua-dua pihak, iaitu pensyarah dan para graduan perlu saling menunaikan hak masing-masing.

Sebagai contoh, para graduan perlu menghargai segala pengorbanan dan jasa para pensyarah.

Pensyarah juga perlu menunaikan hak para graduan. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran jangan ada berlakunya unsur-unsur yang tidak baik seperti mengamalkan ‘keboncengan gratis’ dalam akademik, melakukan sesuatu yang dilihat tidak adil kepada para pelajar dan sebagainya.

Justeru, adalah menjadi harapan agar cerita-cerita mengenai konvokesyen ini dapat dijadikan iktibar dan panduan untuk semua.

Tahniah kepada semua graduan, para pensyarah dan pengurusan universiti atas segala usaha untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/cerita-suka-duka-di-sebalik-konvokesyen-1.24378#sthash.jZSE1KCE.dpuf

Related Post

  • Peraturan penting untuk kecemerlangan TIDAK semua individu bersikap patuh arahan, namun boleh dikatakan semua kawasan menggariskan peraturan tertentu demi …
  • Jangan salah guna pinjaman TERDAPAT segelintir penuntut universiti telah menyalahgunakan pinjaman yang mereka dapat dengan membeli barangan yang…
  • Generasi baru Wataniah UMT PASUKAN Askar Wataniah (PAW) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditubuhkan pada 2005 dengan kekuatan awal 30 orang.…
  • Farizah terima mandat besar PERANAN pemimpin wanita semakin menyaingi lelaki. Perbezaan jantina bukan penghalang untuk wanita  masa kini dud…
  • PMG pencetus generasi kampus PADA 22 hingga 25 Januari lalu, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Isla…
0 Komentar untuk " Cerita suka-duka di sebalik konvokesyen "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ