Memahami keputusan mahkamah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memahami keputusan mahkamah

BARU- BARU ini, negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membenarkan rayuan tiga orang ‘maknyah’ yang mencabar perlembagaan (constitutionality) Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan.

Mahkamah rayuan, yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus, sebulat suara telah mendapati bahawa seksyen 66 enakmen tersebut sebagai tidak konsisten dengan Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, tidak mengikut Perlembagaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa mana-mana lelaki yang memakai pakaian wanita atau berlagak seperti wanita di tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tiga mak nyah tersebut adalah secara fizikalnya lelaki. Namun, mereka bukan lelaki biasa. Mereka menghidapi penyakit yang dikenali sebagai gender identity disorder (GID). Pesakit GID ini, walaupun lahir secara fizikal sebagai lelaki tetapi dari mental mereka berasakan diri sebagai wanita. Maka mereka menunjukkan sifat-sifat wanita seperti memakai pakaian wanita dan bersolek.

Untuk membuktikan sememangnya mempunyai penyakit tersebut, mereka telah mengemukakan laporan perubatan daripada tiga pakar yang berlainan. Menurut laporan-laporan yang dikemukakan, penyakit GID ini tidak boleh diubati dan tetap untuk sepanjang hayat. Laporan-laporan tersebut juga menunjukkan bahawa sifat kewanitaan mereka bertiga bukanlah sesuatu yang mereka pilih atau boleh ubah.

Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak menyangkal bukti perubatan yang dikemukakan. Mereka tidak mengemukakan bukti mereka sendiri untuk menyangkal bukti pakar pihak perayu-perayu.

Menurut prinsip asas undang-undang, keterangan yang tidak disangkal dianggap sebagai telah dibuktikan. Dalam erti kata lain, telah terbukti bahawa mereka menghidap GID.

Oleh yang demikian, ketiga-tiga mereka sering diganggu, ditahan, ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan yang bertindak mengikut seksyen 66 kerana mereka dikatakan berpakaian atau berlagak seperti wanita. Mereka mengalami kesusahan untuk keluar dari rumah mereka dan menjalankan kehidupan seperti biasa kerana undang-undang tersebut dikuatkuasakan.

Atas dasar ini, perayu-perayu mendakwa bahawa kebebasan asasi mereka yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan oleh seksyen 66 enakmen tersebut. Kebebasan mereka untuk meneruskan kehidupan (Perkara 5), kebebasan mereka untuk kesamarataan dan kesaksamaan (Perkara 8), kebebasan mereka untuk (Perkara 9) dan akhirnya kebebasan mereka untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat (Perkara 10(1)(a)) telah dilanggar oleh pihak berkuasa mengikut seksyen 66 tersebut.

Sekiranya terdapat pengecualian dalam seksyen 66 enakmen tersebut bagi mereka yang menghidap GID, ia mungkin boleh ‘diselamatkan’ dan seksyen itu tidak didapati unconstitutional. Malangnya, tidak ada pengecualian tersebut.

Walaupun negeri-negeri mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan agama Islam, termasuklah undang-undang jenayah syariah seperti seksyen 66 enakmen tersebut, undang-undang yang digubal harus konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Undang-undang syariah masih melalui proses penggubalan undang-undang yang sekular, iaitu melalui Dewan Undangan Negeri yang dianggotai oleh ahli Dun Muslim dan bukan Muslim.

Kes ini bukanlah untuk mencabar undang-undang Islam. Jika kita tolak ke tepi label ‘syariah’ pada enakmen tersebut, penilaian yang sama masih perlu dibuat ke atas undang-undang tersebut untuk menentukan keperlembagaannya.

Keputusan ini tidak bermakna hak LGBT kini diiktiraf oleh undang-undang. Ia tidak, seperti yang dimomok oleh sesetengah pihak, membuka pintu kepada perkahwinan sejenis, contohnya. Apa yang tiga orang mak nyah inginkan melalui proses undang-undang ini adalah untuk hidup sebagai manusia biasa, tanpa perlu diganggu dan dihukum setiap masa kerana penyakit yang mereka hidapi.


*Penulis seorang peguam. Beliau juga peguam pemerhati yang mewakili Majlis Peguam semasa prosiding kes ini di mahkamah rayuan.

Related Post

  • Kerakyatan dan Perlembagaan BARU-baru ini, kerajaan mengumumkan akan menarik balik pasport yang telah dikeluarkan kepada Ali Abd Jalil dan Alvin …
  • Magna Carta, asas kedaulatan PADA awal kurun ke-13, England diperintah oleh Raja John. Raja John adalah adik kepada King Richard I, yang juga dike…
  • Memahami Persekutuan Malaysia ANDA mungkin sekali sudah tahu bahawa Malaysia adalah sebuah persekutuan. Negara ini terdiri daripada negeri-negeri, …
  • Setahun dalam undang-undang KITA sudah tiba di penghujung tahun. Seperti tahun-tahun kebelakangan ini, 2014 tidak lekang dengan peristiwa yang me…
  • Memahami keputusan mahkamah BARU- BARU ini, negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membenarkan rayuan tiga orang ‘maknyah’ y…
0 Komentar untuk " Memahami keputusan mahkamah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ