Cara memartabatkan BM di SJK - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cara memartabatkan BM di SJK

SAYA ucapkan tahniah atas inisiatif MCA yang telah menubuhkan sebuah jawatan kuasa bertujuan membuat kajian, bagi memandaikan anak-anak SJKC menguasai bahasa kebangsaan. Jangan lupa masukkan pakar bahasa dan linguistik, terutama dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Begitu juga di UKM, tempat presiden MCA hari ini belajar suatu masa dahulu. Saya menawarkan diri, jika sudi. Begitu juga pakar lain seperti, Profesor Teo Kok Siong. Sebelum itu, izinkan saya membuat beberapa cadangan.

Pertama, tambahkan waktu Bahasa Melayu (BM) seperti mana yang telah diarahkan oleh kerajaan dan ditentang hebat oleh Dong Zong dan Jiao Zong (DJZ) serta MCA sendiri. Sejak dahulu, kerajaan cadangkan agar BM diajar 240 minit seminggu di SJKC.

Tetapi tidak pernah dipersetujui dan tidak dilaksanakan. Mereka hanya mahukan 180 minit. Atas alasan, jika ditambahkan waktu BM, maka mata pelajaran lain akan terjejas. Murid SJKC tidak dapat menguasai Bahasa Cina (BC) dengan baik.

Kedua, guru yang mengajar BM tidak perlu disyaratkan mesti mendapat kredit dalam BC peringkat SPM. Interaksi amat penting dalam menguasai BM. Jika pekerja Bangladesh boleh menguasai BM dalam masa yang singkat ketika berada di negara ini, kenapa tidak rakyat negara tercinta ini? BM adalah bahasa paling mudah di dunia berbanding bahasa lain.

Ketiga, beberapa subjek lain seperti sejarah juga hendaklah diajar dalam BM, bukan dalam bahasa ibunda (BC). SJKC tidak wajar beroperasi penuh kecinaan, dalam sebuah negara yang meletakkan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Cukuplah sekadar boleh bertutur dan berinteraksi dengan baik.

Subjek sejarah yang hanya menekankan sumbangan orang Cina sahaja seperti yang mahu diperkenalkan oleh MCA, tidak sepatutnya diadakan. Alasannya supaya orang Cina tidak lupa akar. Bentuk akar bagaimana yang hendak diingati?

Rakyat Sabah dan Sarawak, tidak pernah hilang akar dan jati diri kaum mereka meskipun mereka tidak ada sekolah berasaskan kaum. Saya amat bimbang, jika cadangan ini diluluskan, selepas ini semua kaum di Sabah dan Sarawak meminta pula supaya sejarah pemimpin kaum mereka yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah untuk ditonjolkan.

Apakah sumbangan pejuang seperti Mat Salleh, Rentap, Antanum, Sharif Masahor dan ramai lagi di Sabah dan Sarawak, tidak sehebat bekas pemimpin MCA? Keempat, selama ini, silibus BM di SJKC/T berbeza dengan silibus SK.

BM di SJKC/T dimudahkan sedikit kerana tidak mahu membebankan mereka. Itu pun masih ramai yang gagal. Jika ramai pun yang berjaya, kebanyakan menghafal, bukan dengan kefahaman yang sebenar. Bukti menunjukkan, ramai yang mendapat keputusan baik dalam BM ketika PMR dan SPM, tetapi bila tiba bab lisan atau komunikasi, berlaku sebaliknya.

Puncanya mungkin disebabkan ketika di sekolah rendah, silibus BM dimudahkan. Pertuturan BM dicampuradukkan dengan bahasa ibunda. Justeru, sudah sampai masanya silibus BM diseragamkan di semua sekolah. Tidak kira di SJKC atau SK. Jika MCA hendak memastikan anak-anak tidak lupa akar, kenapa tidak boleh bersusah sedikit dalam mengakar agenda negara.

Kelima, jika MCA benar-benar bersungguh-sungguh mahukan murid-murid SJKC pandai dalam BM, saya cadangkan agar menyokong terlebih dahulu inisiatif yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi untuk memandaikan murid-murid SJKC.

MCA perlu fokus dalam hal ini. Perjuangan MCA akan diingati dan dihargai jika perancangan ini berjaya. MCA tidak perlu membuang masa mencampuri hal ehwal agama Islam, seperti isu memakai tudung dalam kalangan pekerja wanita di Kelantan. Itu hak mereka.

Akhirnya, saya masih beranggapan bahawa sekolah satu aliran adalah yang terbaik untuk kita semua. Jika tidak dapat dilaksanakan, jadikan semua sekolah menjadi Sekolah Wawasan (SW) yang menempatkan semua pelajar dalam satu bumbung.

Untuk makluman, sehingga kini, kerajaan telah menempatkan hampir 40,000 guru terlatih di SJKC. Sebanyak RM2 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi-operasi mengurus di SJKC di seluruh negara. Dari hampir 2,000 SJKC, sebanyak 455 mempunyai kurang daripada 150 murid. Itu pun kerajaan terus bantu. Peliknya, arahan kerajaan masih diabaikan?

Related Post

  • Hussein Haniff filmmaker tulen? BILA menyebut dan berfikir tentang Allahyarham Hussein Haniff, aku pasti teringat tulisan Allahyarham Dr Anuar Nor Ar…
  • Kamu hanya seekor nyamuk! EMPAYAR Roma dan Parsi adalah kuasa terbesar ketika Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Jazirah Arab yang zahirnya hanya …
  • Mengenang perhimpunan Bersih PENGALAMAN di perhimpunan aman Bersih 4.0 baru-baru ini pada 29-30 Ogos 2015 boleh dikatakan amat menyeronokkan, mala…
  • Merdeka daripada hantu PERNAH jumpa hantu? Bagaimana wajahnya? Seorang sahabat Melayu yang kononnya telah terbuka tirai sehingga dia mampu m…
  • Merah, kuning mewarnai merdeka *HUJUNG bulan lalu - 29 dan 30 Ogos - Kuala Lumpur dikuningkan oleh Bersih 4.0 yang menyusup dari beberapa penjuru ba…
0 Komentar untuk " Cara memartabatkan BM di SJK "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ