KINI kita hidup dalam zaman media yang sangat luas jumlah dan pilihannya. TV sebagai media elektronik sudah bercambah, sehingga menimbulkan kesukaran dalam penontonannya. Ada kalanya kita berasakan seperti berada di New York dan London, kadang-kadang pula seperti di Mumbai dan Chenai, atau seperti di Hong Kong, Beijing, Seoul, Taipe dan Tokyo.

Tidak mengapa. Dalam buana global ini, Anchorage di Alaska dan Vladivostok di Rusia adalah terletak di dalam sebuah kampung buana, selaras dengan ungkapan bahasa Inggeris: The Global Village.

Sebenarnya, ungkapan ini dipopularkan oleh John Naisbitt, penulis buku ikonik Megatrends awal 1980-an. Dia menekankan kepada teknologi yang memungkinkan lompatan kemajuan dunia, terutama dalam informasi dan kewangan. TV global CNN dan ATM mula menjengah dan membuka langkah.

Sebelum wang Euro wujud untuk EU (European Union, kini mengandungi 28 negara dengan lebih 500 juta penduduk), wang Francs dipakai di Perancis, Guilders di Belanda, Mark di Jerman dan Lira di Itali, dan pelbagai lagi, Naisbitt memberi contoh kampung buana dalam penggunaan ATM untuk mengeluarkan wang Francs di Washington, D.C., dan berjaya dalam masa 16 saat.

Kita di Malaysia terpaksa menunggu beberapa tahun kemudian untuk tiba di takat itu. Kemudahan dalam transaksi kewangan, terutama dalam pertukaran wang asing, atau foreign exchange, banyak yang memudahkan kehidupan manusia untuk bergerak di dalam kampung  buana ini.

Selain dari itu, sehingga tahun-tahun 1990-an, penubuhan stesen radio dan TV merupakan sesuatu yang dipandang kritikal. Justeru penubuhannya oleh pihak-pihak bukan kerajaan boleh dianggap mustahil. Namun selepas Astro tertubuh, sedikit demi sedikit pintu terbuka luas.

Kepelbagaian saluran radio dan TV amat menyeronokkan. Kita mempunyai banyak pilihan. Tidak suka satu saluran, kita bertukar ke saluran lain. Tidak suka cerita berbahasa Inggeris, kita berpindah ke bahasa Melayu, Tamil, Hindi, Mandarin, Kantonis, Korea atau Jepun.

Namun percambahan media begitu sudah agak terpesong. Penonton-penonton dan penontonan mereka berlaku di atas garisan kaum. Program-program drama yang diimport untuk memenuhi permintaan garisan kaum itu boleh meluaskan lagi jurang antara kaum.

Sikap demokrasi liberal membuatkan kita memandang ke Amerika Syarikat dan Britain sebagai ikutan. Biar apa pun, kedua-duanya mencapai ‘nationhood’ melalui bahasa Inggeris. Media yang  menguatkannya telah menyumbang kepada kehidupan berdasarkan satu bahasa, satu bangsa dan satu negara.

Realiti hidup di Malaysia melalui pengalaman hidup satu bahasa seperti itu tidak mungkin berlaku. Amalan media TV sudah cukup lantang menyatakan hakikat itu. Untuk itu usaha yang bersungguh bagi mengintegrasikan media dalam satu dasar negara yang kukuh demi perpaduan rakyat majmuk adalah amat penting untuk mencapai tahap kenegaraan atau ‘nationhood’. Lain dari itu, prospek kita adalah kelam.

*Tan Sri Adam A. Kadir ialah mantan Presiden Senat.