ESOK bermulanya Perhimpunan Agung Umno 2014 dengan lebih 10,000 perwakilan dan pemerhati Umno akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga Sabtu.

Setiap tahun bukan sahaja ahli Umno, malah seluruh rakyat turut memberi penumpuan kepada perhimpunan terbesar orang Melayu-Islam ini.
Ini kerana apa sahaja yang dibahaskan mahupun diluluskan sebagai resolusi parti tentunya akan mencorakkan agenda negara secara keseluruhannya memandangkan Umno merupakan parti tunjang Barisan Nasional yang juga parti pemerintah ketika ini.
Medan perhimpunan agung juga adalah platform terbaik untuk seluruh warga pendukung dan pemimpin Umno melakukan introspeksi atau muhasabah diri dan parti tentang hala-tuju dan pendekatan yang perlu diperbaiki dan direncanakan dalam mengorak langkah ke hadapan.

Tradisi bermuhasabah seraya melakar perencanaan yang lebih kemas dengan mengambil kira segala kekangan dan kelemahan yang ada amat penting, apatah lagi dalam suasana rakyat yang masih dibelenggu dengan pelbagai polemik masa kini.

Polemik yang melanda umat ketika ini sememangnya begitu mencemaskan lantaran banyak sekali isu asas bersifat fundamental yang menjadi tiang seri negara termasuklah kedudukan Islam, Melayu dan institusi raja mula dipertikaikan.

Banyak pemerhati politik yang mengaitkan fenomena ini dengan prestasi Barisan Nasional yang merudum sejak Pilihan Raya Umum 2008. Mungkin ada benarnya telahan sebegini kerana dulu tidak pernah timbul isu-isu pertikaian mengenai kedudukan Islam dalam konteks perlembagaan mahupun kepentingan Melayu dalam sektor ekonomi, politik mahupun sosial.

Kesefahaman dan tolak ansur antara kaum yang digagaskan melalui kontrak sosial hingga terbentuknya Perlembagaan Persekutuan ketika negara hendak mencapai kemerdekaan dulu hakikatnya telah menjamin keharmonian dan kestabilan negara selama ini.

Namun, apabila kuasa Melayu-Islam tampak mula goyah, semakin ramai yang mula berani mencetuskan isu-isu yang amat mudah merangsang kemarahan dan sentimen kebencian antara kaum dan agama.

Ada kalanya juga Umno dilihat apologetik atau sedikit rasa bersalah untuk bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam. Sedangkan dalam Perlembagaan Umno fasal 3 amat jelas menzahirkan asas dan tujuan perjuangan Umno sebagai sebuah parti yang berjuang
mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Namun, senario mutakhir menyaksikan seolah-olah agenda memartabatkan bangsa Melayu mahupun Islam dalam lingkungan peruntukan Perlembagaan itu adalah satu yang cukup hina dan bersifat rasis.

Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan bangsa dan agama mereka sehingga kadangkala melangkaui Perlembagaan tidak pula dianggap rasis.

Jika dirujuk Kamus Oxford antarabangsa, rasis ialah satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminasi, menafikan hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding mereka.

Hakikatnya mereka yang sering memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera tidak pernah mendakwa Melayu itu lebih mulia berbanding bangsa lain. Mereka juga tidak sesekali mendesak agar kerajaan melakukan dasar diskriminasi hingga menafikan hak dan kepentingan bangsa lain sebagaimana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Islam agama negara, namun negara tidak pernah melakukan pendiskriminasian terhadap agama-agama lain. Malah Malaysia adalah satu-satunya negara yang bukan sahaja mengiktiraf kewujudan agama-agama lain, bahkan menjadikan perayaan pelbagai agama sebagai cuti umum sebagai menzahirkan penghormatan rakyat kepada kepelbagaian agama secara kolektif.

Sebab itulah kelompok ekstremis, rasis dan cauvinis sebenar dalam konteks hari ini adalah mereka yang berkecenderungan untuk mencabar pelbagai peruntukan Perlembagaan yang menerasi keharmonian kaum dan agama selama ini.

Keresahan majoriti rakyat terhadap suasana kestabilan dan keamanan yang kini bagaikan sedang direntap hebatlah yang akhirnya mendesak agar Umno selaku parti tunjang kerajaan melakukan tindakan tegas termasuklah mengekalkan Akta Hasutan. Bahkan ada juga suara yang ingin mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Moga-moga Perhimpunan Agung Umno kali ini menjadi medan terbaik melonjakkan kembali Umno ke hadapan sebagai benteng rakyat majoriti yang hakikatnya lebih mendambakan suasana aman dan harmoni dalam negara dikekal dan dipertahankan.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)