KAPITAN gunting tajam menyusuri rentang kain berwarna-warni dan bunyi mesin jahit serta sapaan ramah daripada peniaga di Pasar Rakyat, bangunan Medan Mara, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pastinya memberikan keselesaan kepada orang ramai yang menempah pakaian di situ.

Persekitarannya bersih dan orang ramai dapat melihat beberapa tukang jahit sedang kusyuk menjahit, menyulam dan meneliti rekaan serta potongan kain yang ditempah pelanggan.

Pemilik Jaya Creation, Razali Sakimi, 54, berkata, suasana tersebut tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu, namun dekorasi baharu disediakan Mara memberikan keselesaan kepada penyewa dan pengunjung ke kedai mereka.

“Pada 2007, Mara melakukan penambahbaikan di bahagian ini. Kelengkapan kabinet disediakan Mara bagi memudahkan peniaga  di sini untuk menggantung pakaian dan menyediakan pakaian ditempah dengan selesa,” katanya.

Dia yang sudah tiga dekad menjadi tukang jahit pakaian lelaki dan wanita, sentiasa menerima tempahan daripada orang ramai walaupun terpaksa bersaing hebat dengan penjahit lain.

Anak kelahiran Kulim itu berkata, walaupun banyak pusat membeli-belah baharu di sekitar ibu kota menyediakan dan menjual pakaian siap, dia masih menerima tempahan daripada pelanggan setia dan ada yang datang secara terus.

“Alhamdulillah, kami masih menerima tempahan terutamanya pada Sabtu dan Ahad. Ada di antara mereka lebih selesa menempah pakaian di sini kerana kualiti jahitan.

“Ada segelintir pelanggan yang datang merungut baju yang siap dibeli di beberapa kawasan tidak menepati cita rasa dan dimanipulasi. Jahitan tidak kemas, ketat dan tidak menjaga kualiti jahitan,” katanya.

Bagaimanapun, Razali berkata, wujudnya beberapa pusat membeli-belah dan pakaian siap di beberapa kawasan di sekitar ibu kota sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya dan Bumiputera lain terutamanya pada musim perayaan.

“Pada tahun ini, saya dapat tempahan kurang 40 peratus daripada tahun- tahun sebelum ini iaitu sebanyak 200 pasang baju kurung saja. Mereka pelanggan setia saya dan ada yang datang menempah pada saat-saat akhir.

“Kelebihan jahitan kami adalah saiz baju tepat dan sesuai dengan bentuk badan berbanding baju siap yang perlu dibaiki sebelum dipakai,” katanya.

Razali berkata, dia bersyukur kerana masih menerima tempahan pakaian secara bermusim untuk majlis perkahwinan dan majlis rasmi negara atau kerajaan.