TIDAK salah untuk mahasiswa berpolitik asalkan tanggungjawab asasi untuk cemerlang dalam pelajaran tidak sesekali disia-siakan.

Namun kecenderungan mahasiswa menjadi taksub membuta tuli apabila berparti merupakan satu fenomena yang perlu segera ditangani.

Sememangnya kedudukan mahasiswa itu lebih luhur dan murni sifatnya untuk dikotori dengan pelbagai daki-daki politik kepartian yang hakikatnya penuh dengan pencemaran dan kebobrokan.

Masakan tidak, sifat politik kepartian itu sendiri sememangnya memecah-belah. Parti atau istilah Arabnya ‘hizbun’ turut dizahirkan ALLAH: “Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada-Ku. Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah-belah menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).” (Al Mu’minun : 52- 53).

Ternyata perkataan hizbun atau ‘golongan’ atau ‘kelompok’ yang disebut ALLAH dalam konteks ayat ini lebih memberi konotasi negatif akan kecenderungan sifat kelompok yang bersifat taksub dan fanatik sehingga melihat diri mereka lebih kudus berbanding orang lain.

Sikap takabbur hingga kecenderungan merendah-rendahkan orang lain yang tidak bersama mereka inilah yang sering kali mendasari budaya dalam mana-mana organisasi politik kepartian.

Sifat politik kepartian yang subur dengan pelbagai budaya asing daripada Islam ini tentunya tidak cocok dengan perwatakan mahasiswa yang jauh lebih jernih dan kudus.

Seorang mahasiswa yang membesar dengan ilmu hakikatnya seperti seorang pendakwah yang sentiasa melihat mad’u (sasaran dakwah) dengan kaca mata jernih.

Setiap mad’u adalah wajib untuk didampingi dan didakwahi kerana matlamatnya hanya untuk mendaulatkan Islam demi keredaan ALLAH.

Berbeza dengan ahli politik yang sering kali diseliputi prasangka hingga lebih berkecenderungan melihat seteru sebagai musuh untuk dijatuhkan demi takhta dan kuasa.

Jarang sekali pemimpin parti bersedia mengiktiraf sumbangan mahupun kebaikan orang lain apatah lagi jika datangnya daripada pihak berlawanan.

Sedangkan mahasiswa mesti sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan yang bersedia menerima kebenaran, bahkan memperbetulkan kesalahan walau daripada pihak mana sekalipun.

FirmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa”. (Al-Maidah: 8)

Penentangan Islam terhadap sikap asabiyah yang membela atau menyokong puak atau parti secara membuta-tuli turut dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW: “Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah (kesepakatan kaum Muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”.

Al-Sindi dalam kitabnya Syarh Ibn Majah ketika menjelaskan maksud bendera kebutaan yang disebut Nabi SAW dengan istilah ‘rayah ‘immiyyah’ dalam hadis di atas ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui, sama ada benar atau batil.

Fenomena ‘rayah ‘immiyyah’ inilah antara yang begitu menggejala dalam budaya parti-parti politik masa kini. Ketaksuban pada parti menyebabkan apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin mahupun ahli-ahli parti akan sentiasa didukung dan dipertahankan walaupun jelas menyimpang daripada prinsip syarak.

Sebaliknya, pelbagai usaha akan dilakukan untuk menafikan kebaikan pihak parti lawan sehinggakan persepsi masyarakat juga sentiasa dicanai dengan nilai benci dan marah terhadap mereka yang bertentangan ideologi parti.

Sebab itulah bagi penulis sudah cukup rasanya umat terbelah dan terpecah kepada pelbagai kelompok parti.

Hakikatnya politik kepartian lebih membawa kepada keburukan terutamanya apabila perbezaan ideologi parti selalunya tidak diraikan secara hikmah.

Ini tidaklah bermakna penulis bersikap anti-parti atau berasakan parti perlu diharamkan kerana Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik mahupun berparti.

Cuma berparti dalam kerangka Islam tentunya tidak sama dengan pendekatan politik Barat acuan Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat mendapatkan pangkat dan kuasa.

Apa yang penting adalah penjernihan budaya politik dapat dilakukan dengan meletakkan prinsip agama dan nilai akhlak lebih tinggi daripada kepentingan diri dan parti.

Sebab itulah penulis berpandangan pentingnya mahasiswa untuk kekal ‘non-partisan’ dan berada pada kedudukan yang melangkaui sempadan dan geografi parti dan fahaman politik.

Moga-moga mahasiswa selaku pewaris negara masa depan dapat menjadi faktor terbangunnya generasi baharu yang dapat mempelopori idea politik baharu yang subur dengan nilai, akhlak dan ilmu.