SAYA tidak jumpa jawapan Sisters in Islam (SIS) selepas beberapa orang anak muda berpendidikan agama mengkritiknya pada 31 November lalu berkaitan tindakannya mencabar fatwa.

Yang saya temui ialah kenyataan SIS pada hari sama yang mengatakan ia memfailkan semakan kehakiman ke atas fatwa digazet di Selangor, mengisytiharkannya mengamalkan ‘liberalisme dan pluralisme agama’, maka oleh itu, terpesong daripada ajaran Islam.

Nampaknya, lebih banyak komen dan tindakan hanya boleh dijangkakan selepas keputusan mahkamah.

Apakah SIS akan terus bergerak dengan matlamat perjuangannya yang asal atau ia akan dinasihatkan pihak berkuasa mengubah pendekatan serta amalannya atau badan bukan kerajaan itu perlu dibatalkan? Wallahualam. Kita tunggu dan lihat.

Setakat ini, melalui Sinar Harian, saya baca kecaman beberapa orang terhadap tindakan SIS mencabar fatwa itu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalid Abdul Hadi, antara lain, menyifatkannya sebagai ‘satu bentuk pelampau agama’ yang mesti ditangani kerajaan agar tidak membarah dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Dr Fathul Baru Mat Jahaya pula berkata selama ini, masyarakat melihat SIS, sebagai gerakan liberal.

Beliau mengaitkan SIS, yang didaftarkan pada 1993, dengan isu aurat, poligami, pembahagian harta dan ideologi, antara lain.

Dekan Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid, Penasihat Gagasan Sukarelawan Anak Muda Islam Malaysia (Lawan) Mohd Amin Ismail dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani turut mengkritik SIS.

Kita tunggu keputusan mahkamah, jawapan serta tindakan SIS.

Sementara itu, saya ingin menarik perhatian mengenai tindakan Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Asheikh yang mengeluarkan fatwa baru-baru ini bahawa memberi dan menerima sijil cuti sakit (MC) palsu adalah satu dosa.

Saya sokong seratus peratus kenyataannya bahawa kedua pihak - doktor yang memberi dan pekerja yang menerimanya - berdosa.

Ia berdosa, katanya, kerana boleh menyebabkan kerugian kepada perniagaan sesuatu pihak, demikian mengikut laporan portal Arab News dari Jeddah.

Fatwa seperti ini sepatutnya bukan sekadar untuk sebuah negara, bahkan patutnya untuk seluruh dunia kerana sindrom jual dan beli MC ini memang menjadi amalan berleluasa.

Siapa tidak tahu memberi dan menerima MC palsu itu satu penipuan dan penipuan itu berdosa? Tetapi kerana ia menguntungkan, sesetengah pihak sanggup menghalalkan cara.

Saya tidak tahu apakah fatwa yang serupa ini pernah dikeluarkan di Malaysia, memandangkan kegiatan jual beli MC ini pernah dilaporkan berlaku dan mungkin sedang terus berlaku.

Kerja menipu, dalam apa bentuk sekali pun, memang salah dan berdosa.

Yang menjadi persoalan ialah apakah fatwa-fatwa yang sudah dikeluarkan selama ini dipatuhi dan apakah tindakan dan penguatkuasaan supaya fatwa-fatwa itu dipatuhi sudah memadai?

Jangkaan pembaca budiman mungkin sama sahaja dengan apa yang saya fikirkan.

Saya ke kantin sebuah kompleks jabatan agama baru-baru ini dan duduk betul-betul bertentangan dengan sebuah papan kenyataan besar yang bertulis: ‘Larangan Merokok. Merokok adalah haram. Oleh yang demikian adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa-apa jenis rokok (dan seterusnya).

Betul-betul di bawah papan kenyataan itu, sekumpulan orang menyedut dan menghembuskan asap rokok, seolah-olah papan kenyataan itu tidak wujud pun.

Betullah kata ustaz, untuk membuat orang mematuhi perintah ALLAH dan menjauhkan diri daripada apa sahaja bentuk dosa sebenarnya bukan fatwa, tetapi takwa.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, diriwayatkan oleh Bukhari:

“Orang mukmin itu akan melihat dosanya seperti gunung di atas kepalanya, dia takut kalau gunung itu akan menimpanya. Dan orang munafik melihat dosanya seperti seekor lalat yang menenggek di atas hidungnya lalu dihalaunya”. “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu... (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)... Surah Al-Hujurat : 13.