NAZA-Brabus Motors Sdn Bhd melaburkan RM8 juta bagi pusat pameran dan Performance Centre Brabus yang baharu di Glenmarie, Shah Alam bagi memudahkan pelanggan mereka yang memiliki kenderaan berprestasi tinggi dan mewah seperti Brabus.

Naib Presiden Bahagian 4-Wheel Kumpulan Naza World, David Hector Ranaike berkata, pemilihan Glenmarie kerana berdasarkan Lembah Klang yang mempunyai pertumbuhan pesat sebagai sebuah pusat industri automotif dan memudahkan pelanggan jenama Brabus.

Katanya, sebanyak RM6 juta daripada keseluruhan jumlah pelaburan itu diperuntukkan untuk pusat pameran Brabus yang turut mempamerkan model seperti Brabus ML WideStar, Brabus iBusiness S class dan Brabus SLK manakala selebihnya adalah untuk Performance Centre Brabus.

“Pelanggan juga boleh melakukan penyesuaian dalaman dan luaran serta konfigurasi atas talian untuk kereta Brabus di pusat pameran itu. Syarikat menjangkakan  membuka dua pusat pameran dan Performance Centre Brabus di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Pembukaan tersebut bagi memberi kemudahan kepada pelanggan kami yang tinggal di kawasan Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia. Setakat ini, kami masih belum menentukan jumlah pelaburan bagi pembinaan kedua- dua pusat tersebut,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Pameran dan Performance Centre Brabus, semalam.

Beliau berkata, Performance Centre di Glenmarie terletak 500 meter dari pusat pameran Brabus untuk kemudahan tambahan.

“Ia mempunyai lapan ruang servis dan dikendalikan 10 kakitangan, yang mana lima daripadanya dilatih juruteknik Brabus. Performance Centre Brabus bertindak sebagai pusat penyelesaian sehenti untuk Mercedes-Benz dan pemilik Brabus yang menawarkan perkhidmatan seperti penukaran kit Brabus, penalaan enjin, peningkatan prestasi, penyenggaraan berjadual, pembaikan serta penggantian tayar dan penjajaran,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mengenakan hanya enam peratus berkuat kuasa pada 1 April 2014, David berkata, Naza juga pastinya akan menerima kesan daripada pelaksanaan sistem itu.

“GST akan beri kesan kepada seluruh industri. Mengenai kenaikan harga kereta di bawah syarikat kami, kami belum putuskan. Kami perlu melihat penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan GST.

“Masyarakat akan mengambil masa untuk menerima pelaksanaan GST dan saya yakin kami mempunyai pelanggan setia dan penambahan pelanggan baharu,” katanya.

Pembukaan pusat pameran itu dilancarkan oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin dan Pengurus Jualan Wilayah Brabus untuk Asia Pasifik dan Afrika, Christoph Dietze.

Pada pelancaran itu, Naza-Brabus Sdn Bhd mempamerkan Rocket Brabus CLS 730, contoh kenderaan berprestasi tinggi dan mewah Brabus. Ia dijual bermula pada harga RM1.3 juta.

Berdasarkan Mercedes-Benz CLS63 AMG, Rocket730 menawarkan pelbagai peningkatan  disahkan oleh Brabus GmbH, yang meningkatkan output 5.5 liter enjin bi-turbo kepada 730hp kekalahan dan 1,065Nm, mendorong kereta dari 0-100 km/j,  hanya 3.8 saat dengan kelajuan tertinggi yang diberi nilai dari 350km/j.