Kembalikan 'pengucap dari lantai' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kembalikan 'pengucap dari lantai'

PADA 1983, satu perhimpunan agung UMNO berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Ketika itu memang ada perwakilan yang ditampilkan oleh negeri-negeri untuk berucap. Siapa yang akan berucap diputuskan oleh Ketua Perhubungan UMNO negeri (kini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO).

Tetapi waktu itu pengucap tidak ditetapkan apa topik yang akan dibawa. Namun lebih menariknya, dibenarkan seorang dari setiap negeri untuk bangun berucap secara spontan dan rambang (seperti mana ucapan penangguhan). Mereka ini dikenali sebagai pengucap dari lantai.

Tan Sri Dr. Rais Yatim, orang lama UMNO yang mengagihkan 67 peratus dari usia 72 tahunnya untuk bidang politik dan perjuangan mengimbas suasana perhimpunan agung parti pada awal 80-an.

“Masa itu menteri ditegur dalam setiap ucapan (perwakilan). Orang UMNO berani tegur menteri. Saya sendiri kecut perut untuk melawan hujah antaranya Syed Sahab dari Johor dan Datuk Taha dari Negeri Sembilan. Menjawab sesuatu isu diwajibkan kepada menteri berkenaan. Jawapan yang ditekankan mestilah memuaskan.

“Di situ boleh dilihat menteri mana yang berkebolehan dan menyerlahkan dasar-dasar di kementerian masing-masing,” kata Rais yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan kepada penulis menjelang Perhimpunan Agung UMNO selama lima hari bermula 25 November ini.

Rais yang telah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan memimpin 11 kementerian percaya jika pengucap yang dipilih oleh negeri dikombinasikan dengan pengucap dari lantai, maka apa yang dihajatkan untuk perhimpunan terbesar orang Melayu itu membahaskan isu atau perkara sensitif yang sering dipolemikkan akhir-akhir ini akan mencapai matlamat yang lebih berkesan.

Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, perkara sensitif berkenaan berkaitan agama, kaum dan institusi raja yang menjadi tiang seri negara ini dan hasil perbahasan dari perhimpunan itu akan dijadikan pendirian parti. Hishammuddin yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap serta Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO sempena perhimpunan itu turut mengesahkan bahawa isu untuk memansuhkan atau tidak Akta Hasutan 1948 akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan oleh perwakilan.

Rais seterusnya berkongsi bagaimana ketika beliau berada dalam pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain dan sebahagian era Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad (1985), mereka (perwakilan) dari lantai dibenarkan berucap dengan agihan mengurangkan gelak ketawa dan komedi serta melebihkan hujah-hujah bernas tentang bangsa, agama dan negara.

“Tak semestinya setiap kali (perhimpunan agung) mesti ada usul pendidikan, agama dan ekonomi dan kita bila berucap berterima kasih pada presiden secara khusus.

Terlampau banyak ‘komponen’ begitu, maka mereka yang dibenar berucap terhimpit dan tersudut. Ketua Perhubungan pula akan tentukan siapa boleh bercakap dan apa yang boleh dicakapkan. Ini boleh kita terima tetapi apa yang nak dicakapkan seolah-olah kita mengekang demokrasi sehinggakan kita tidak boleh langsung menegur pemimpin atau mengemukakan hal-hal di luar perkara biasa,” kata beliau.

Dalam konteks ini, Rais membangkitkan persoalan bahawa setakat ini sudah berapa usul yang dibuat oleh UMNO menjadi dasar. Apa jadi usul-usul setahun dua dulu?

Kata Rais: “Pada hemat orang ramai usul-usul itu tak jadi apa. Gelak ketawa itu habis hanya menjelang minum kopi. Ini agak sinis tapi sebenarnya harus kita cerakinkan sekarang usul-usul dibawa UMNO setakat mana telah menjadi dasar?

“Sekarang isu-isu tentang Bahasa Melayu yang bagi saya meruncing sebab Bahasa Melayu tidak lagi mendapat perhatian prima. Pemimpin tak boleh atau tidak lagi mahu bercakap Bahasa Melayu dengan gah. Di mana nak diletakkan identiti kita? Mungkin saya akan disanggah ‘oh! semua ini sudah muktamad sebab semua sudah menjadi dasar’.

“Betul! dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perkara 152 saya terima tetapi apabila sampai ke Perkara 160 siapa Melayu, saya harus tegaskan iaitu soal bahasa dan adat timbul. Tetapi kalau Melayu tidak pulang kepada adatnya, dia tidak Melayu lagi di bawah Perlembagaan.”

Rais menjelaskan, beliau bukan mahu berhujah sentimen sebaliknya mengajak menghayati kembali Perlembagaan dan kemudian Perlembagaan UMNO iaitu Perkara 3 (6) dan 3 (5) Bahasa Melayu dengan kebudayaan kebangsaan. Soal budaya Melayu, baginya telah tidak dapat perhatian UMNO sejak sekian lama.

“Soalnya mahu atau tidak mahu Melayu sayangi bahasanya. Kalau mahu, harus cari jalan supaya pemerkasaan bahasa Melayu itu sampai ke peringkat kepimpinan negara dan paras premier,” kata beliau.

Sememangnya kuasa UMNO bergantung kepada penerimaan dasar dan tampak penerimaan orang Melayu yang menjadi dasar menyeluruh. Itu nisbah penilaian. Justeru, penulis senada dengan Rais bahawa usul-usul yang diresolusikan dalam perhimpunan agung UMNO yang lepas, harus dicerakinkan. Apakah sudah menjadi dasar?

Difahamkan, sekarang ini pun ada bahagian-bahagian UMNO yang bermesyuarat hanya satu jam. Praktis seperti ini tidak akan menyumbang kepada usaha memperkasakan UMNO seperti mana diinginkan presiden parti.

Rakan-rakan Cina kita, suratkhabarnya laku. Bahasanya dipuja. Kita - bahasa Melayu - bagaimana? Sekarang pula sebahagian nasionalisme Melayu kelihatannya dibungkus oleh keterampilan modeniti, global dan keinggerisan. Dalam hal ini, mesti ada orang Melayu yang mengungkapkan ‘cukup-cukuplah untuk Inggeris, kini untuk Melayu pula’.

Setakat mana sayap-sayap UMNO menganjurkan program kemelayuan dan seninya. Mungkin akan ada berkata, ini tidak penting. Cerita pasal masa depan ekonomi sahaja lebih baik.

Harap jangan sesekali ada berfikiran sedemikian sebab perkara 160 itu sendiri menjelaskan siapa Melayu dan menyerlahkan keterampilan kita. Jangan nanti kita tinggal sangkar sahaja. Kombinasi perwakilan negeri dengan pengucap dari lantai pada Perhimpunan Agung UMNO nanti boleh menghujahkan isu ini.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kembalikan-pengucap-dari-lantai-1.22960#sthash.0CmNKha1.dpuf
0 Komentar untuk " Kembalikan 'pengucap dari lantai' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ