Kata kerja transitif, ayat gramatis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kata kerja transitif, ayat gramatis

BERBICARA  tentang ilmu bahasa, tidak kiralah apa-apa bahasa sekali pun, terdapat sejenis golongan kata yang amat penting dan tidak boleh dikesampingkan sama sekali. Golongan kata yang dimaksudkan ialah golongan kata kerja. Cuba bayangkan jika berlakunya kes ketiadaan golongan kata kerja dalam tiap-tiap baris ayat yang dibina. Sudah pasti ayat-ayat tersebut tidak lengkap, tergantung dan tidak mempunyai maksud apa-apa, contohnya:

Mereka sedang ………. buku.
Kemalangan itu ………. oleh orang ramai.
Emak ………. nasi di dapur.
Cikgu sedang ……….

Empat ayat contoh di atas menunjukkan pentingnya golongan kata kerja yang bertindak sebagai inti dalam sesuatu binaan ayat yang sempurna.

Kata kerja merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kata yang menyatakan bentuk perbuatan atau perlakuan yang dilakukan sesuatu. Berdasarkan ciri dan penggunaannya, golongan kata kerja ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kata kerja aktif dan kata kerja pasif.

Jika kata kerja itu digunakan dalam ayat aktif, maka kata kerja tersebut ialah kata kerja aktif, begitulah pula sebaliknya. Bagi kata kerja aktif, kita boleh bahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

Kita abaikan dahulu perbincangan tentang kata kerja pasif, sebaliknya pada kesempatan ini kita tumpukan perbincangan tentang kata kerja aktif iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

Pada asasnya, kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti diikuti objek yang terdiri daripada kata atau frasa nama dalam sesuatu ayat.

Jika tanpa kata atau frasa nama sebagai objek selepas kata kerja transitif, maka ayat tersebut menjadi ayat yang tidak gramatis ataupun ayat yang tidak lengkap. Mari kita lihat ayat-ayat contoh yang menggunakan kata kerja transitif tetapi tanpa diikuti objek di bawah:

Encik Harun sedang menulis di dalam kelas.

Mereka telah melaksanakan dengan baik.

Ayah menghadiahkan  kepada saya.

Ayat i), ii), dan iii) di atas tidak sempurna atau tidak gramatis kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti objek (benda yang kena) yakni kata ataupun frasa nama. Sepatutnya setiap kata kerja transitif di atas diikuti dengan objek seperti:

Encik Harun sedang menulis esei di dalam kelas.

Mereka telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

Ayah menghadiahkan sebuah basikal kepada saya.

Esei, tugas dan sebuah basikal merupakan contoh objek yang mesti mengikuti setiap kata kerja transitif, yang menjadi prasyarat untuk membentuk ayat yang sempurna. Bagaimanakah pula dengan ayat-ayat yang menggunakan kata kerja transitif di bawah?

Hanafiah sedang menulis tentang latar belakang hidupnya.

Mereka melaksanakan banyak tugas dengan baik.

Ayah menghadiahkan banyak basikal kepada saya.

Ketiga-tiga ayat contoh di atas tidak gramatis kerana semua kata kerja transitifnya tidak diikuti objek. Sepatutnya selepas kata kerja transitif iaitu menulis, melaksanakan dan menghadiahkan diikuti dengan objek. Kata tentang dan banyak bukannya objek. Pembetulan bagi ayat-ayat di atas ialah:

Hanafiah sedang menulis latar belakang hidupnya. (latar belakang – objek)

Mereka banyak melaksanakan tugas dengan baik. (tugas – objek)

Ayah banyak menghadiahkan  basikal kepada saya. ( basikal – objek)

Para pengguna bahasa Melayu yang prihatin sewajarnya peka dan dapat membezakan jenis kata kerja tersebut sebelum menggunakannya dalam ayat. Sebagai panduan, kata kerja transitif mudah dikenali seperti kebiasaannya berimbuhan awalan meN- dengan akhiran –kan atau –i. Kata kerja transitif juga boleh menerima imbuhan awalan meN- tanpa akhiran. Satu kemestian ialah kata kerja transitif mestilah hadir bersama dengan objek selepasnya.

Contoh kata kerja transitif ialah menghadiahkan + seutas jam (objek), menghadiahi + adik (objek), melepasi + halangan (objek), melepaskan + diri (objek), membesarkan + anak-anak (objek), memukul + gendang (objek), menjaga + kedai (objek), menternak + ayam (objek), menghidangi + tetamu (objek), menghidangkan + makanan (objek) dan lain-lain.

Kesalahan penggunaan kata kerja transitif merupakan antara kesalahan penggunaan bahasa yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu. Walaupun kesalahan ini dianggap remeh oleh sesetengah pengguna bahasa Melayu, namun kita semua mesti berusaha untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul sentiasa diberi keutamaan.

Dirgahayu Bahasaku.

Related Post

  • Menginsafi hakikat kematian MASIH kuat terasa hiba di hati mengenangkan beberapa kematian yang melibatkan orang yang rapat dengan penulis sepanja…
  • Menggalas cabaran baru di PKPI ANTARA tugasan awal di Pusat Kajian Pondok Insaniah (PKPI) yang baru ditubuhkan bulan lalu dan dirasmikan oleh Perdan…
  • Tak mahu ketirisan dan penyelewengan ADA beberapa isu di negara ini tidak putus-putus menjadi polemik. Tak perlu dihuraikan satu persatu. Semua orang suda…
  • Bagaimana bina keyakinan rakyat APABILA berdakwah kepada rakyat multikultural, persoalan yang kerap ditonjolkan ialah adakah ulama Islam mampu mendid…
  • RUU Pencegahan Keganasan MINGGU lalu, kerajaan membentangkan di Dewan Rakyat dua Rang Undang-undang (RUU) baharu bersama-sama dengan lima RUU un…
0 Komentar untuk " Kata kerja transitif, ayat gramatis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ