Dasar Najib dicabar lagi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dasar Najib dicabar lagi

TIDAK ada pemimpin di dunia yang tidak diuji dengan pelbagai cabaran. Pemimpin Malaysia juga tidak terkecuali. Perdana Menteri Najib Razak juga, macam mereka yang lain, diuji pelbagai isu dan cabaran. Kadangkala cabaran yang menimpanya boleh saja memendekkan tempoh perkhidmatannya.

Berbanding cabaran menimpa beberapa pemimpin kalangan negara-negara Arab dan benua Afrika, cabaran yang dilalui Najib setakat ini hanya tak lebih sebagai kudis sahaja. Ia belum menjadi kanser.

Hal serupa turut dilalui mantan PM terdahulu seperti Dr Mahathir Mohamad dan Pak Lah. Namun Dr Mahathir berjaya mengharungi setiap cabaran sehingga berjaya mengekalkan jawatan PM selama 23 tahun. Apa yang kita lihat Dr Mahathir tidak memberi peduli tentang imejnya. Lihat saja, hari ini, beliau masih memperaga sikap tanpa takut dalam kritikannya.

Tetapi sebaliknya bagi Pak Lah yang dikenali dengan jolokan Mr Nice Guy agak lain. Tujuh tahun memimpin negara, Mr Nice kini kembali sebagai rakyat kebanyakan. Hanya sekali-sekala memberi pendapat yang tidak diadun sensasi.

Cabaran dilalui Najib tidaklah seteruk mana jikalah tidak diambil kira kritikan terbuka dibuat Dr Mahathir sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Cabaran pembangkang diketuai Anwar Ibrahim langsung tidak membimbangkan. Khususnya orang Melayu, hujah Anwar dan puaknya mengenai kepimpinan dan dasar-dasar diambil Najib tak lebih bunyi  nyamuk di tepi telinga.

Dasar-dasar ekonomi Najib dan program transformasi pelbagai bidang  selain disambut baik, juga disokong sepenuhnya. BRIM dan konsep 1Malaysia, produk yang diperkenalkan adalah contoh terbaik. Banyak lagi  boleh disenaraikan. Ini termasuklah GST, yang berkuat kuasa tahun depan.

Bantahan rakyat tidak seberapa jika tidak diambil sikap pembangkang. Pembangkang menganjurkan bantahan menentang perlaksanaan GST semata-mata bagi mencapai satu lagi agenda politik yang sempit. Ironinya idea GST tidak dibantah Anwar masa menjadi Menteri Kewangan. Lain sikapnya pada ketika dia jadi mantan.

Kedudukan Najib pada masa kini tidaklah segenting tahun penghujung kepimpinan Pak Lah sebagai PM. Najib berdepan pilihan raya umum pada 2013, genap lima tahun penggal Parlimen. Tidak dilambat atau dipercepatkan. Malah prestasi BN agak menyedihkan berbanding Umno yang mencatat petanda positif.

Dari 221 kerusi Parlimen ditandingi BN, Umno bolot 88 berbanding 79 pada 2008. Selain itu kejayaan Umno merampas semula Kedah satu bonus. Kejayaan lebih manis buat Mukhriz Mahathir, walau bukan kalangan ketua bahagian, apabila dilantik Menteri Besar ke-7 menggantikan Allahyarham Azizan Abdul Razak.

Laluan Najib sejak selepas PRU13 kembali cerah. Tetapi anjurannya agar dikekalkan status quo bagi tiga naib presiden yang bertanding mempertahankan jawatan dalam perhimpunan agung lalu mencetus kontroversi. Lebih-lebih lagi apabila, Mukhriz yang bertanding sama turut berada di kedudukan ke empat di bawah Hishammuddin Hussein.

Sama ada ini faktor yang menyebabkan Dr Mahahtir tidak lagi selesa dengan Najib seperti menilai semula sokongannya pada kerajaan ia sangat menarik perhatian. Isu BRIM dikritik sakan dengan menganggapnya satu bentuk rasuah. Juga dalam senarai ini ialah isu 1MDB dan Khazanah Nasional. Getahnya turut terpalit pada Najib dan CEO Khazanah Azman Mokhtar.

Namun Najib agak praktikal dalam mendepani kritikan mantan PM itu. BRIM 4.0 bukan saja diteruskan malah diberi pakej baharu. Selain dinaikkan RM950 dari asal RM500 sahaja, bayarannya pula dibuat setahun dua kali. Maknanya Najib tidak peduli sanggahan Dr Mahathir.

Isu peribadi juga menarik perhatian, termasuk isu Rosmah Mansor. Ini gara-gara isu handbag berjenama, isu cincin berharga jutaan ringgit dan aneka lagi. Walau dinafi berulang kali, rakyat masih keliru. Langkah Rosmah enggan mengambil tindakan undang-undang bagi membersih nama dan imejnya mengundang persoalan.

Entah di mana silap strategi, Najib berdepan isu tokoh-tokoh berkedudukan dalam kerajaan dan parti. Setelah isu bekas MB Terengganu, Ahmad Said, kini Najib kembali digegar isu MB Pahang dan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar.

Isu kehilangan MH370 dan MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine, boleh menyebabkan imejnya tercalar namun berlaku sebaliknya. Imej Najib naik mendadak ibarat roket ke angkasa lepas. Teori konspirasi dan pelbagai lagi isu yang dikait kini kurang impaknya.

Malah di pentas antarabangsa imej Najib jauh lebih baik daripada Anwar. Kalau dahulu media Barat perlihat sikap anti Malaysia dan Najib kini ia sudah kendur. Hanya kalau dikritik pun tak lebih sebagai satu bentuk laporan berita bukan lagi satu agenda jahat.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan dan PRU14, kira-kira tiga tahun lagi, laluan politik Najib jauh lebih cerah. Dengan kedudukan Anwar tidak menentu gara-gara isu mahkamah dan juga Pas yang dikritik DAP kerana sikap Haji Hadi Awang dalam konteks menjadikan Wan Azizah MB Selangor, Najib sudah boleh tersenyum. Pendek kata di mata rakyat pembangkang tidak ada daya  sokongan untuk menjatuhkan Najib, sama ada melalui demonstrasi jalanan atau peti undi.

Begitu pun, dalam sebutan politik, Najib belum boleh menikmati kedudukan ‘buang tangga goyang kaki’. Sejarah Umno menunjukkan pemimpin parti jarang dapat dijatuhkan dari luar, tetapi sebaliknya dari dalam. Ia pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi. Dan Najib juga tidak terkecuali.

0 Komentar untuk " Dasar Najib dicabar lagi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ