Jangan membuka pekung di dada - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan membuka pekung di dada


KALAU kita ada pekung di dada pun, dalam keadaan memakai baju tiada orang yang dapat melihat pekung itu. Saya percaya, banyak orang yang berbaju cantik sedangkan terdapat bermacam-macam jenis penyakit kulit selain pekung sama ada panau, kurap, kerapu dan penyakit-penyakit lain yang tidak diketahui oleh orang lain ada di badannya. Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana kita perlu pandai menyembunyikan keaiban diri sendiri daripada diketahui oleh orang lain.

Budaya mendedahkan keaiban dan keburukan diri sendiri amat bertentangan dengan budaya Melayu, sebab itulah terciptanya peribahasa “membuka pekung di dada” yang bermaksud mendedahkan keburukan diri sendiri sehingga mengaibkan. Pekung ialah sejenis penyakit kulit yang teruk seakan-akan bisul yang sangat besar dan berbau busuk.

Beberapa peribahasa Melayu yang mempunyai maksud hampir sama dengan peribahasa ini ialah “meraih pekung ke dada” yang bermaksud mendedahkan keburukan diri atau sengaja mencari malu dan peribahasa “menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri” (mendedahkan keburukan ahli keluarga akan mengaibkan diri sendiri).

Kemajuan teknologi maklumat dari segi kemunculan laman sosial terutama Facebook dan WhatsApp telah menjadi ruang untuk penggunanya membuka pekung di dada. Budaya ini semakin bercambah dalam masyarakat dan seolah-olah pengguna laman-laman sosial ini tanpa ada batasan telah membuka keaiban sendiri tanpa segan silu. Bagi yang sengaja berkongsi kisah tentang kelemahan diri bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicari. Bukankah agak memalukan jika kisah tidak pergi solat Jumaat, tidak dapat berpuasa, dimarahi ketua di pejabat didedahkan untuk makluman orang lain?

“Bahasa  menunjukkan bangsa” merupakan peribahasa popular yang diungkapkan oleh pengguna bahasa Melayu, bermaksud budi bahasa menunjukkan peribadi seseorang. Apabila disebut berbudi bahasa, terdapat dua aspek yang terkandung di dalamnya iaitu tingkah laku dan pertuturan. Cara seseorang berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau meluahkan perasaan tanpa disedari telah membuka pekung di dadanya sendiri. Tidakkah kita terfikir, apakah persepsi orang lain apabila melihat kita menggunakan kata-kata kesat, kasar dan sumpah seranah apabila tidak berpuas hati terhadap seseorang atau sesuatu pihak? Orang lain akan menilai peribadi kita apabila membaca apa-apa sahaja yang kita tulis di laman sosial. Kita mungkin seronok apabila mendapati banyak orang yang menekan butang ‘suka’ dengan apa-apa yang kita kongsikan itu. Terfikirkah kita apakah tanggapan mereka terhadap kita walaupun mereka menekan butang ‘suka’ itu?

Beberapa contoh lagi sifat orang yang suka membuka pekung di dada ditunjukkan melalui penggunaan laman sosial seperti sifat riak dan takbur. Banyak orang yang menjadikan laman sosial sebagai tempat untuk menunjuk-nunjuk kehebatan diri dan sikap bangga akan kelebihan diri. Memang benar, apa-apa yang dikongsi itu sesuatu yang istimewa bagi  empunya diri tetapi orang lain dapat menilai sifat peribadinya sebagai seorang yang suka menunjuk-nunjuk kehebatan diri, takbur dan riak. Kegilaan masyarakat berselfie juga menyuburkan lagi budaya ini apabila seseorang itu dapat mengongsikan apa-apa sahaja gambar dirinya ketika melakukan sesuatu kebaikan. Kebaikan yang dilakukan itu bagus, cuma lihatlah keadaannya.

Budaya fitnah dan menyebar maklumat yang belum pasti sebenarnya seolah-olah sengaja membuka pekung di dada kerana orang lain dapat menilai sifat kita berdasarkan tulisan kita. Saya tidak pasti jenis penilaian orang lain terhadap kita apabila kita melakukan perkara tersebut tetapi yang pasti ialah penilaian yang buruk.

Kita bukan hanya disarankan supaya tidak membuka pekung di dada  sendiri tetapi juga terhadap orang lain. Hal ini dibuktikan dalam hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud: “Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya maka ALLAH akan menutup aibnya di akhirat”. Oleh itu, dalam kita menggunakan laman sosial, aspek-aspek hubungan sesama manusia harus dititikberatkan. Kita boleh menggunakan laman sosial tetapi untuk tujuan kebaikan dan bukan untuk menyakiti hati orang lain.

Sebenarnya laman-laman sosial dapat kita gunakan ke arah kebaikan seperti untuk menanyakan khabar, mengongsi maklumat, menyampaikan pesanan dan faedah lain. Kalau kita gunakan ke arah kebaikan maka baiklah yang kita dapat. Ambil sebiji bola getah, tendanglah secara perlahan ke arah dinding, nescaya bola itu melantun perlahan ke arah kita semula. Tendang lagi buat kali kedua dengan lebih kuat, nescaya bola itu melantun ke arah kita dengan lebih kuat. Apa-apa yang kita buat, kesan itulah yang kita akan dapat. Luahkanlah masalah kita kepada ibu bapa, saudara, rakan-rakan yang dapat dipercayai bukannya di alam maya kerana perbuatan itu mampu membuka pekung di dada kita.

*Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

0 Komentar untuk " Jangan membuka pekung di dada "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ