Azwan harapan baru Pemuda Umno - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Azwan harapan baru Pemuda Umno

JAWATAN  Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno lazim sekadar window dressing lebih-lebih lagi bagi bosnya seorang tokoh politik sehebat Khairy Jamaluddin. Tambahan pula, tokoh yang dimaksudkan ini tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan.

Sudah menjadi kelaziman naib ketua secara automatik mempunyai platform dan juga setidak-tidaknya kalau bukan timbalan menteri, apa saja jawatan dalam kerajaan seperti pengerusi badan-badan berkanun.

Kerana itu jika sesiapa saja dalam organisasi politik kepartian seperti Khairul Azwan Harun atau Ketua Puteri Umno, yang tidak ada jawatan kerajaan, inilah dilema mereka. Sebagai contoh Nazri Aziz, adalah bekas Naib Ketua Pemuda, begitu juga Razali Ibrahim, sebelum dilantik menjadi timbalan menteri.

Hakikatnya tidak semua begitu dan tidak semua mereka bernasib baik. Namun, jawatan parti tidak bererti mempunyai jawatan dalam kerajaan. Allahyarham Pak Ghafar Baba yang berpuluh tahun memegang jawatan Naib Presiden Umno juga tidak dipertimbangkan sebarang jawatan dalam kerajaan.

Hanya apabila Musa Hitam memilih untuk berada di luar kerajaan dengan meletak jawatan TPM pada 1986, PM melantiknya, itu pun tak lama - Ghafar tak ubah macam spare tayar.

Dalam isu Azwan dan barangkali juga Ketua Puteri, bukan saja media terlepas pandang, rakan-rakan berjawatan juga sama. Sehingga minggu ini jika dikira harinya Azwan sudah lebih setahun menggalas tugas Naib Ketua Pemuda.

Jika tidak sibuk urusan rasmi, dia isi dengan program seperti bersarapan dengan para Pemuda Bahagian - suatu tugas dalam kerangka mendengar keluhan akar umbi. Ia sekali gus sebagai workshop utama membimbing serta memberi motivasi. Belum dikira turun padang.

Ketika PRK di Pengkalan Kubor, Azwan selaku pengarah pilihan raya Pemuda membukti bakat dan keupayaan sebenar. Kejayaan calon BN mengalahkan Pas di kubu mereka satu kemanisan. Dari lima PRK selepas PRU13, tiga dimenangi BN, satu tewas dan satu tak bertanding.

Ini dibantu strategi bagi mendepani  pengundi, khusus golongan muda. Berasaskan gerak kerjanya, Azwan berjaya menampilkan watak saling tak tumpah macam Khalid al Walid - berjaya menimbulkan gerun di pihak musuh melihat jentera Pemuda.

Berlainan dengan KJ, sebagai tokoh berprofil tinggi, yang dikira tak perlu lagi diperkenalkan. Jawatan Menteri Belia dan Sukan banyak kelebihan. Malah tak salah jika kita katakan populariti KJ kini berada di tahap nombor satu.

Di sinilah daya penarik KJ dalam konteks sukan. Selaku menteri, kenyataannya sering memperoleh perhatian media. Lebih-lebih lagi media elektronik sangat menggemari komen-komen menteri muda ini.

Agak malang, Azwan selaku orang kedua KJ pula muncul seperti wira tidak didendang. Ia kurang publisiti. Rakan-rakannya berpendapat, jika media elektronik lebih memihaknya, mungkin rakyat lebih memahami hala tuju Pemuda. Ia bukan sekadar sebagai pressure grup. Ini termasuklah program meremajakan Pemuda yang kini diberi keutamaan.

Dalam konteks ini mungkin ramai tidak sedar, golongan muda dalam Umno masih berasakan parti mengamalkan politik tembok besar. Mereka dengan tidak disedari dipinggirkan. Langsung diketepikan daripada menjawat jawatan-jawatan penting. Lihat saja berapa kerat jemaah menteri atau timbalannya terdiri daripada Pemuda.

Dalam konteks ini, kadangkala suara NGO jauh lebih relevan dan berimpak. Ini kerana pendedahan diberi media elektronik berbanding publisiti pada Pemuda. Peranan NGO kini dilihat samalah seperti peranan dimainkan Pemuda Umno. Justeru secara sinis ada yang bertanya “apa perlunya Pemuda jika Umno sudah ada NGO membantu mereka?”

Menjelang PRU14, tugas penting sudah menunggu. Di bahu Pemuda Umnolah tugas mengekalkan imej parti sebagai parti pro golongan muda dipertanggungjawabkan. Ingat dalam pilihan raya kali ini, lebih 40 peratus pengundi adalah golongan muda. Rasionalnya, dalam hal ini Pemuda memerlukan sentuhan magik.

Migrasi belia desa ke bandar-bandar membimbangkan. Dasar parti terhadap golongan muda juga begitu seperti diulas Muhyiddin Yassin ketika merasmikan perhimpunan agung tiga sayap Umno, kelmarin. Jika diterjemahkan cakap-cakap ini persepsinya ialah Umno sebagai sebuah parti bukan lagi youth friendly.

Benar, Azwan bukanlah keseorangan dalam mendepani isu-isu ini. Jentera Pemuda tidak pernah tidur atau bercuti. Lihat mereka mendepani media sosial yang rata-rata anti kerajaan. Masalahnya seperti disebut tadi ialah mengenai persepsi. Bagi menanganinya mereka memerlukan bukan saja sokongan pihak atasan lebih-lebih lagi pihak media. Tanpa sokongan media, suara mereka takkan ke mana.

Selain itu, Pemuda berdepan persepsi bahawa mereka sebagai satu ancaman kepada status quo. Maklumlah jika populariti KJ diambil kira, beliau bakal berada di tempat jauh lebih penting. Setidak-tidaknya sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih. Keadaan ini sudah pasti membimbangkan ramai pihak.

Bagi Azwan, Pemuda bukanlah satu ancaman kepada sesiapa. Jika ada pihak menganggap mereka ancaman kepada status quo dan ancaman pada golongan tertentu, maka ini bererti usaha meremajakan Umno gagal malah parti bakal binasa. Dengan lain erti, Pemuda adalah produk dari kilang sama dalam perjalanan menjadi dewasa. Jika tanpa diberi peluang, peranan mereka akan tumpul, malah di luar parti kelak bakal lahir ramai lagi puak anti-establishment. Ini tentu mengundang kemerosotan pengaruh Umno lebih-lebih lagi dalam pilihan raya akan datang. Inilah ancaman besar Umno bukan sayapnya sendiri.

0 Komentar untuk " Azwan harapan baru Pemuda Umno "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ