Jana ekonomi sendiri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jana ekonomi sendiri

Masyarakat Islam di Kemboja digalakkan berdikari



SEKALI imbas, dunia Aishah, anak kecil berusia lima tahun itu tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain di Kampung Ambel yang terletak dalam daerah kecil Srey Santhor, Wilayah Kampung Cham iaitu kira-kira 400 kilometer (km) dari Phnom Penh, ibu negara Kemboja.

Rutin hariannya hampir sama, bermain dan berlari dalam persekitaran yang diselubungi debu, habuk serta bau-bauan yang kurang menyenangkan tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Namun, siapa sangka, di sebalik keceriaan anak bongsu daripada dua beradik itu menyambut ketibaan rombongan kami dari Malaysia menerusi Misi Prihatin Kemboja Siri ke-9 anjuran Al-I’tisam Relief Program (ARP) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, ada cerita duka yang tersembunyi.

Disebabkan kemiskinan, kedua ibu bapa Aishah berpisah sebelum membawa haluan masing-masing ke Thailand dan Malaysia, manakala kanak-kanak malang itu dan kakaknya kekal menetap di kampung itu bersama nenek mereka yang semakin uzur.

Menurut cerita daripada seorang penduduk kampung yang ditemui, sudah beberapa tahun Aishah dan kakaknya tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa mereka, bahkan tidak menerima sebarang perkhabaran mengenai untung nasib kedua orang tua mereka yang merantau ke negara orang.

Kisah Aishah itu bagaimanapun hanya cebisan kecil daripada cerita duka penduduk Kampung Ambel yang terpaksa berhijrah meninggalkan keluarga demi mencari sesuap nasi di bumi asing, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan yang mencengkam mereka sejak sekian lama.

Ada yang terpaksa meninggalkan anak dan isteri bertahun lamanya semata-mata kerana mahu mencari pekerjaan dan menyambung pengajian di luar negara khususnya Malaysia, malah ada juga yang mengambil keputusan untuk tidak kembali ke Kemboja selepas berjaya membina kehidupan baharu.

Bagi Pengarah Eksekutif ARP, Mohd. Shah Sapiei, demi mengelakkan lebih ramai penduduk berhijrah, pihaknya hadir ke Kemboja dengan satu misi penting iaitu membawa sinar harapan dan keceriaan, selain membantu meningkatkan kemahiran serta taraf ekonomi penduduk setempat agar mereka lebih berdikari, sekaligus berupaya menjana ekonomi keluarga masing-masing tanpa perlu berjauhan dengan ahli keluarga.

“Kalau boleh, dalam masa tiga hingga lima tahun dari sekarang, kita mahu melihat penduduk Kampung Ambel ini berjaya mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik daripada segi ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Sebagai saudara yang seagama, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu penduduk Islam di sini menjadi insan yang lebih baik dan apabila mereka berjaya kelak, kejayaan mereka pula akan dicontohi oleh umat Islam lain di Kemboja dan negara-negara lain,” katanya.

Pemudah cara

Sepanjang tempoh berkenaan juga, ramai daripada kalangan penduduk setempat yang ‘ringan tulang’ untuk bergotong-royong menyediakan juadah bagi dinikmati secara bersama termasuk menumbangkan seekor lembu sebelum dilapah dan dagingnya dimasak gulai.

Kesimpulannya, kehadiran ARP dan USIM kali ini dilihat sebagai motivasi dan pemudah cara kepada masyarakat Islam Kemboja, khususnya di Kampung Ambel ini untuk mengubah nasib mereka terutamanya dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Bagaimanapun, sesuai dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu yang mengubah nasib mereka sendiri.

Justeru, mereka perlu mengubah mentaliti mereka terlebih dahulu, sekali gus bersedia menerima sebarang perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Menurut seorang penduduk, Mohamad Zin Ali, 45, dia dapat mempelajari suatu perkara yang baharu terutamanya daripada segi cara untuk meningkatkan hasil tanaman tanpa mengeluarkan belanja lebih, khususnya untuk membeli baja.

“Selama ini saya hanya menanam jagung dan padi tanpa memikirkan bagaimana untuk menjadikan tanaman itu mengeluarkan hasil yang banyak.

“Malah, kadang-kadang, saya hanya tanam tanpa meletakkan baja dengan harapan hujan yang turun akan menjadi baja untuk tanaman itu hidup subur. Kalau tidak ada hujan, saya hanya berserah kepada nasib,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bagi Adam Amin, 40, pula, pengetahuan yang diperoleh hasil daripada latihan teori untuk menghasilkan baja kompos itu sangat berguna dalam membantunya bertani.

Dia yang juga bekerja sebagai pembuat roti berkata, dengan adanya baja kompos, EM dan plant booster, dia boleh menyusun jadual kerjanya dengan baik dan tidak perlu risau jika tanamannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

“Saya lihat cara ini memang sangat membantu dan pada masa yang sama dapat menjimatkan kami yang rata-ratanya tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk membeli baja yang pastinya mahal dan sukar untuk diperoleh.

“Malah, jika berjaya, saya ada terfikir untuk menjadikan baja kompos ini sebagai satu perniagaan pula,” katanya yang pernah bekerja di Malaysia selama enam tahun sebelum ini.

Sementara itu, golongan wanita khususnya gadis remaja pula diajar dengan pelbagai kemahiran menjahit termasuklah jahitan manik dan sebagainya bertujuan mengisi masa lapang selain menjadi sumber menjana kewangan mereka pada depan.

Pengajaran ilmu agama tidak dilupakan malah turut diselitkan sepanjang program tersebut dengan kehadiran peserta siri realiti televisyen, Imam Muda terbitan Astro Oasis, Amiril Md. Banin.

Ternyata, bukan sahaja golongan berumur, malah, kanak-kanak juga ramai yang teruja apabila diajak mengaji secara bersama walaupun ada yang masih tidak dapat membaca al-Quran dengan baik, sebaliknya hanya menghafal, khususnya yang melibatkan surah-surah lazim.

MESKIPUN baru bertapak sebagai NGO yang berdaftar, namun tegas Pengarah Eksekutif ARP, Mohd. Shah Sapiei, pihaknya telah lama bergiat aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan dalam dan luar negara termasuklah misi ‘Stand Up For Gaza’, Misi Bantuan Penduduk Mangsa Krisis Lahad Datu, Bantuan Warga Miskin Anak Kariah dan sebagainya, selain daripada misi ke Kemboja ini.

Untuk misi ke Kemboja kali ini katanya, ia akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan kemahiran penduduk Kampung Ambel, khususnya dalam aspek pertanian selain melengkapkan mereka dengan pelbagai ilmu kemahiran lain termasuk jahitan bagi golongan wanita dan sebagainya.

“Apa yang penting ialah, kita tidak mahu program yang kita buat ini dilihat umpama program touch and go sahaja, sebaliknya kita akan konsisten membantu mereka dalam usaha menjana ekonomi masing-masing.

“Dalam hal ini, saya harap ada golongan profesional yang sudi bersama kami membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka, sekali gus menjadikan mereka golongan yang berdikari dan tidak suka meminta-minta.

“Insya-Allah, pelan kita nak buat Kampung Ambel ini sebagai kampung contoh dan bila sudah berjaya formula itu, kita akan bawa ke tempat lain pula,” ujar beliau.

Bekerjasama dengan Kelab MyAgrosis dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjayakan misi kesembilan itu, tempoh selama enam hari di kampung itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti berkaitan.

Antaranya ialah mengajar penduduk kampung, khususnya yang bekerja sebagai petani tentang teori dan amali berkenaan cara membuat baja kompos daripada najis lembu, membuat mikroorganisma efektif (EM) serta plant booster iaitu teknik untuk menyubur dan memperbesarkan tanaman tanpa menggunakan bahan kimia kepada mereka yang berminat.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/jana-ekonomi-sendiri-1.23805#sthash.YSEKzVOs.dpuf
0 Komentar untuk " Jana ekonomi sendiri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ