Harapan baru rakyat Selangor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Harapan baru rakyat Selangor

ANAK Selangor dan penduduk yang bermastautin di Selangor meletak harapan tinggi dengan pelantikan YAB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Menjadi harapan rakyat Selangor melihat komitmen menjunjung dan mempertahankan kesucian agama Islam, perpaduan ummah, pembangunan rakyat khususnya pendidikan dan perumahan serta kebajikan, memberi peluang kepada para usahawan dan profesional anak Selangor untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, peka kepada segala masalah dan isu yang dihadapi oleh rakyat melalui konsep turun padang dan melihat masalah rakyat.

Kerajaan negeri perlu membuktikan ketegasan dan keberanian untuk menjunjung kesucian agama Islam dan menjaga sensitiviti umatnya. Penganjuran pesta arak Oktoberfest misalnya, telah menjadi kemungkaran dan mencabar sensitiviti umat Islam.

Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya bagi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan. Maka kerajaan negeri Selangor perlu sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan, menjaga dan mempereloknya.

Kes demam denggi yang terus meningkat di Selangor wajar diberi perhatian serius. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam seperti dilaporkan Sinar Harian pada 4 Oktober 2014, kes demam denggi di Selangor sehingga 1 Oktober 2014 merupakan yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 38,029 kes.

Ini diikuti oleh Kelantan 13,096 kes, Putrajaya 5,535 kes, Johor 4,348 kes dan Perak 4,151 kes dan seterusnya diikuti negeri-negeri lain.

Kerjasama Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting kerana masing-masing mempunyai peranan dalam memerangi kes denggi. Isu denggi ini merupakan janji awal yang dibuat Menteri Besar semasa mengambil alih tugas dan ia perlu dilaksanakan dan dipantau serta-merta bagi mengawal dan menurunkan kes denggi di Selangor.

Masalah sampah yang menjadi isu utama di peringkat PBT juga perlu diselesaikan segera. Ia juga membabitkan sampah sisa pepejal dan sampah pukal. Kerajaan Selangor perlu menyediakan peruntukan yang secukupnya kepada pihak PBT yang kurang berkemampuan bagi menyelesaikan isu sampah ini.

Pentadbiran Selangor juga perlu mengadakan lebih banyak aktiviti untuk mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

Kerajaan Selangor perlu mempunyai komitmen yang tinggi dan menumpukan kepada program pembangunan rakyat termasuk perumahan. Bagi mencapai tujuan ini, rizab simpanan negeri berjumlah RM3.3 bilion boleh digunakan untuk manfaat rakyat.

Negeri Selangor menjadi tumpuan migrasi kerana pertumbuhan ekonomi yang pesat di mana terdapat banyak kawasan industri dan juga pusat-pusat pengajian tinggi. Oleh itu, keperluan membina lebih banyak rumah kediaman, terutama rumah mampu milik dan kos rendah dengan harga berpatutan merupakan keperluan yang patut dipenuhi.  

Pendidikan merupakan pemacu dalam pembentukan modal insan yang berinovatif dan berdaya saing yang menjadi pemangkin kepada Selangor maju.

Justeru, peruntukan lebih besar daripada rizab simpanan negeri berjumlah RM3.3 bilion boleh digunakan untuk penyediaan bahan pendidikan, peralatan dan kemudahan fizikal yang bersesuaian serta inovatif bermula dari pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta peringkat universiti.

Kerajaan Selangor juga perlu menubuhkan lebih banyak lagi kelas agama dan fardu ain di peringkat rendah dan menengah.

Ia bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan Islam dalam pembentukan diri pelajar tercapai.

Bersesuaian dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor bagi meningkatkan ekonomi rakyat, kerajaan Selangor perlu menambah dana peruntukan bagi membantu golongan miskin di luar bandar dan bandar menjalankan perniagaan. Ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh di semua daerah negeri Selangor.

Perlu menyediakan program-program latihan, bimbingan dan sebagainya kepada golongan ini untuk menjalankan perniagaan yang diminati dan sesuai dengan kebolehan dimiliki.

Peranan para profesional dan usahawan Bumiputera anak Selangor yang berjaya dalam berbagai bidang kemahiran wajar diberi keutamaan dan diberi peluang seluas-luasnya untuk sama-sama menyumbang dalam perancangan, pembangunan fizikal dan masyarakat di Selangor. Golongan ini merupakan pemangkin kepada pembangunan fizikal dan ekonomi Selangor sehingga menjadi negeri termaju di Malaysia kini.  
                                 
* Dr Muhammad Arif Mohd Hashim ialah Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 Komentar untuk " Harapan baru rakyat Selangor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ