LEMBAGA Pemasaran Pertanian dan Persekutuan (Fama) membantu usahawan muda membangunkan perniagaan dalam bidang pertanian dan kraftangan menerusi inisiatif Usahawan 1Malaysia (1Met) yang dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Rohizad Ridzwan berkata, sebagai salah sebuah agensi pelaksana program itu, Fama mengambil pendekatan proaktif menyediakan bimbingan gabungan pemasaran kreatif dan terkini untuk pembangunan usahawan muda.

Katanya, 1Met yang dilancarkan tahun lalu itu bertujuan mengembangkan perniagaan usahawan sehingga berjaya.

“Kami mengusulkan kepada usahawan muda 1Met ini menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) untuk produk pertanian seperti ‘rock melon’ termasuk yang segar dan produk proses serta kraftangan.

“Antara produk dijual usahawan itu termasuklah kacang bersalut, kerepek, madu lebah, bawang goreng, kek dan telekung,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohizad berkata, usahawan muda itu akan didedahkan dengan teknik mudah untuk mereka mempromosikan perniagaan secara online.

“Mereka akan diperkenalkan dengan pasaran e-dagang iaitu menerusi media sosial. Antara bimbingan yang diberikan termasuklah cara buat banner, grafik, video, ‘timeline cover’, blog, logo, cara berkempen di luar kotak dan membuat ‘QR Code’.

“Usahawan ini juga akan didedahkan dengan teknik gabungan untuk melariskan produk melalui ‘dropship’ atau ‘affiliate’, yang jarang didapati dalam mana-mana seminar keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, sejak Januari sehingga November tahun ini, seramai 1,800 usahawan sudah menerima bimbingan Fama menerusi 1Met.

Katanya, Fama juga menggalakkan usahawan 1Met bergabung di bawah satu portal dikenali sebagai 1MetBiz yang dikendalikan sendiri oleh mereka untuk memasarkan produk masing-masing.

“Daripada 1,800 usahawan itu, 33 orang telah membentuk gabungan di bawah 1MetBiz itu dan kita berharap lebih ramai lagi menyertainya.

“Kita ajar mereka berniaga di bawah satu portal kerana matlamat kami hendak bawa mereka dalam satu lagi portal perdagangan negara, dipanggil agrobazaar.com yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Selain pemasaran e-dagang, usahawan 1Met di bawah Fama juga berpeluang diberi ruang niaga dikendalikan agensi itu, antaranya pasar tani, karavan pasar tani, tapak karnival dan agrobazaar untuk mendedahkan mereka kepada tingkah laku pengguna secara realiti.