BERDASARKAN pencapaian dalam inisiatif-inisiatif Agenda Bumiputera sebelum ini, pendekatan disusun dengan teliti bagi mencapai keberkesanannya. Usaha BEA akan dilakukan secara profesional, sehubungan itu, pelaksanaannya dibuat secara berstruktur dan direka untuk menampakkan komitmen yang serius, bersemangat dan tegas.

Ini penting kerana peluang, sumber dan tempoh masa yang dimiliki oleh GLIC dan G20 adalah terhad. Pertama, BEA perlu berada dalam senarai teratas agenda korporat, dipandu dan ditadbir di peringkat lembaga pengarah supaya diberikan perhatian dan bertujuan mengekalkan momentumnya untuk berjaya. Kedua, KPI dimasukkan dalam kad skor korporat yang sedia ada untuk menginstitusikan perubahan dan mengurus pencapaian dengan berkesan.

Oleh kerana Agenda Bumiputera ialah agenda nasional, kemajuan KPI akan dilaporkan kepada PCG dan MEB dalam forum-forum berkala yang bersesuaian.

Penglibatan secara efektif diperlukan untuk BEA mencapai kejayaan. Ia memerlukan sokongan semua pihak untuk menyediakan persepsi yang betul, memaklumkan fakta dan melaporkan kemajuan-kemajuan yang dicapai.

Maklum balas yang diterima dalam BEA akan menjadi petunjuk asas dan menyediakan keseimbangan yang diperlukan.

Pengurusan

Pelaksanaan Agenda Bumiputera diakui adalah mencabar dan bukan mudah. Cabaran utama dalam melaksanakan BEA termasuklah harapan yang tinggi daripada komuniti Bumiputera, ekosistem yang tidak cekap dan pengaruh daripada program-program sebelumnya.

Bagi mengurangkan cabaran ini beberapa intervensi diperlukan. Disebabkan oleh kerumitan dan skala usaha BEA ini, sokongan bersesuaian diperlukan dan halangan yang\ ada perlu diatasi untuk mendapatkan hasil dan keputusannya. Ini bermakna perlu ada tadbir urus, pelaporan dan penglibatan secara kerap dengan pihak-pihak berkaitan sebagai mekanisme untuk memastikan pengendaliannya berjalan dengan lebih baik.

BEA juga melibatkan pengurusan program yang berkesan. Skala dan kerumitan usaha BEA kerana melibatkan banyak syarikat akan memerlukan penyelarasan dan pengurusan program dilakukan secara berkesan.

Kejelasan dalam pencapaian, sasaran, tahap kejayaan, had masa perlu dipantau dan dilaporkan. Penglibatan secara berterusan dengan pelbagai pemegang kepentingan perlu digerakkan untuk memberikan kefahaman dan meraih sokongan lebih baik. Sebagai usaha menangani keraguan, GLIC dan G20 perlu menyampaikan hasil berkaitan yang dicapai kepada komuniti Bumiputera.

Pengawasan dan pelaporan kepada pelbagai pihak pentadbiran seperti PCG and MEB disegerakan supaya tindakan pembetulan boleh diambil sekiranya perlu.

Di samping itu, untuk mengukuhkan komuniti Bumiputera, GLIC dan G20 boleh membantu menyumbang kepada pengukuhan/ rasionalisasi program BEA dengan menyediakan sumber, kepakaran dan peluang. Kerajaan perlu menyokong dengan menambah baik keterangkuman dalam kalangan komuniti Bumiputera melalui program pengagihan bantuan dan pembangunan infrastruktur yang lebih baik.

Daripada segi dasar baharu dan sedia ada, kerajaan boleh menyumbang ke arah mewujudkan satu ekosistem yang responsif untuk BEA melalui pengenalan dasar baharu dan penguatkuasaan secara tegas terhadap dasar sedia ada.