SECARA keseluruhan, Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Inisiatif Pencetus Perubahan (GCI) dijangka akan memberi peluang perniagaan tambahan bernilai RM7 bilion dalam tahun 2014. KPI dan GCI juga akan mewujudkan 50 vendor baharu melalui VDP, sembilan konsortium atau syarikat-syarikat utama, tambahan RM700 juta dalam program Pengagihan Khusus (Carve-Out), menyediakan peruntukan perolehan bernilai RM2 bilion, peruntukan dana RM527 juta dan RM100 juta peruntukan untuk pembangunan keusahawanan.

Sebagai tambahan, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehgajian Siswazah (GEMS) akan diperluaskan dan bakal melatih 2,123 siswazah pada tahun 2014.

Sebanyak 1,166 biasiswa dianggarkan akan diberikan kepada pelajar Bumiputera pada tahun 2014, tambahan sebanyak 584 biasiswa berbanding pada tahun sebelumnya.

Selain inisiatif-inisiatif ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 bernilai RM10 bilion pada bulan April untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera. GLIC dan GLC akan menambah sebanyak empat buah sekolah sebagai sekolah angkat di bawah Program PINTAR dan mensasarkan 37 sekolah baharu iaitu Sekolah Amanah di bawah Yayasan AMIR.

KPI GLIC dan GLC juga menyediakan dana tambahan bernilai RM1.3 bilion untuk membiayai lot-lot komersial dan kediaman. GLC juga memperuntukkan RM100 juta kepada Bumiputera dalam perkhidmatan sektor digital sebagai satu usaha meningkatkan penyertaan, bakat dan keupayaan mereka.

GLIC dan G20 bekerjasama dengan pihak yang terpilih untuk memudahkan penyertaan sambil memastikan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif BEA. Urusetia akan memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan KPI dan GCI kepada PCG dan MEB.