SEMALAM penulis berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sesungguhnya program seperti ini amat besar maknanya tatkala masyarakat berhadapan dengan pelbagai bentuk pencemaran bahasa, sama ada melalui percakapan harian, perbualan melalui media-media sosial mahupun penulisan makalah-makalah picisan.

Lebih membimbangkan apabila kecelaruan bahasa tampak semakin mengakar dalam kalangan generasi muda yang lebih selesa menggunakan bahasa pasar dan istilah-istilah ringkas yang lompong makna dalam interaksi harian.

Lebih dahsyat lagi ada segelintir anggota masyarakat yang sanggup meremehkan bahasa kebangsaan lantaran begitu taksub dengan bahasa-bahasa asing yang dianggap lebih moden, lebih gah dan lebih bergaya.
Kecelaruan seperti ini lahir lantaran terhakisnya jati diri bangsa akibat masih membekam jiwa hamba yang terlalu mengagungkan bahasa penjajah walaupun sudah lebih 57 tahun meninggalkan kita.

Hakikat yang harus difahami, peranan bahasa sebagai alat komunikasi terpenting adalah suatu yang tidak perlu dibahaskan lagi. Jika ditelusuri lembaran sejarah, kita akan mendapati perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah memakan pengorbanan yang besar.

Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, kedudukan Bahasa Melayu mula terjamin dan menjadi wahana penting untuk memantapkan perpaduan dalam kalangan kaum. Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi ngeri itu, telah menggagas beberapa resolusi penting termasuklah penegasan semula perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
Penyata Razak dengan jelas dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar utama “dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa” demi perpaduan negara. Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, wujud Akta Pelajaran 1961.

Dalam bidang pendidikan, DPK telah dilaksanakan dengan berkesan secara berperingkat. Sekolah aliran Inggeris mula ditukar menjadi aliran kebangsaan. Dalam tahun 1970, darjah satu sekolah rendah aliran Inggeris menjadi darjah satu aliran kebangsaan.

Seterusnya penukaran ini berjalan hinggalah ke tahun 1982 apabila Tingkatan Enam Atas aliran Inggeris menjadi aliran kebangsaan. Usaha yang dijalankan melalui penegasan pendaulatan dan penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat daripada kepelbagaian aliran pendidikan.

Malah pelbagai aliran pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris di peringkat sekolah hinggalah ke peringkat tertinggi inilah yang antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum yang akhirnya meletus krisis terbesar antara kaum pada 13 Mei 1969.

Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting agar dalam upaya dan semangat yang bergelojak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sekali-kali cuba merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.

Berapa banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing sebagai bahasa utama dan pengantar dalam kerangka masyarakatnya tidaklah berada pada tahap yang membanggakan. Sebagai bukti, Filipina menggunakan bahasa Inggeris sebagai  pengantar sekolah rendah, menengah, maktab dan universiti tetapi Filipina tidak pula dianggap sebuah negara maju.

Sebaliknya Jepun, Korea, Perancis, Jerman yang menggunakan bahasa ibunda dan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, sudah dan terus maju dalam bidang sains dan teknologi.

Namun semangat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan tidaklah bermakna kita harus taksub dan beremosi sehingga menafikan kepentingan menguasai bahasa asing demi memperluaskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Malah realiti hari ini yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa dan bahasa utama era teknologi maklumat pastilah menagih masyarakat untuk menguasai bahasa itu.

Islam juga turut menekankan aspek keperluan mempelajari dan menguasai bahasa asing dalam meningkatkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan sekali gus sebagai alat dalam membina tamadun bangsa yang lebih kuat dan dinamik.

Hadis Rasulullah yang menganjurkan para sahabat dan umat Islam secara keseluruhannya untuk menuntut ilmu sehingga ke negara China adalah satu ungkapan simbolik yang penuh dengan seribu satu pengertian.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)