Halangan-halangan itu datang dari dalam dan luar. Ada yang boleh dikawal dan diurus serta dibasmi. Ada yang datang dari sumber-sumber di luar kawalan kita, sungguh pun kita masih berupaya untuk menanganinya sebaik mungkin.
Apabila nilai-nilai dan sikap-sikap yang negatif dari segi konteks kebaikan diri, masyarakat dan negara dibiarkan bertapak, maka ia akan menjadi halangan dan sekatan kepada usaha kemajuan diri, pembangunan masyarakat dan negara. Dan akan mengecewakan kita dalam usaha mencapai matlamat dan hasrat yang diharapkan.
Sejarah menunjukkan bagaimana nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat dalam mana-mana era, secara langsung menentukan hala tuju masyarakat tersebut sama ada ke arah kemajuan dan keagungan atau sebaliknya, menuju ke lembah kehancuran.
Sikap dan nilai tersebut menentukan bentuk dan corak motivasi mereka, serta menjadi panduan kepada tindakan dan kelakuan dalam apa jua aspek. Ia menentukan apa yang mendorongkan pemimpin-pemimpin berbuat sesuatu dan memandu apa yang dilakukan oleh masyarakat amnya.
Sangat penting dikenal pasti dua kategori sikap dan nilai yang merupakan pendorong kepada individu-individu dan secara kolektifnya kepada masyarakat iaitu sikap dan nilai positif dan yang negatif.
Masyarakat yang bersikap positif pasti akan melihat aspek yang baik dalam kehidupan. Mereka akan belajar daripada apa yang berlaku pada masa lalu, yang elok dijadikan ikutan manakala yang tidak elok atau negatif dijadikan pengajaran untuk tidak diulangi.
Mereka juga akan faham tentang hidup dalam suasana bermasyarakat dan sedar akan peranan serta tanggungjawab mereka sebagai ahli-ahli masyarakat tersebut.
Ini bererti mereka akan menghormati hak-hak orang lain, sambil menganggap hak-hak mereka juga akan dihormati. Mereka akan sedia menerima perbezaan pendapat dan kepelbagaian, yang lumrah dalam masyarakat manusia, asalkan tiada sesiapa yang begitu egoistik dan dogmatis sehingga tidak langsung memberi ruang kepada sesiapa pun untuk berbeza.
Sikap dogmatis dan egoistik seperti itu hanya mengundang ketegangan dan perselisihan antara ahli masyarakat. Sikap tersebut boleh menular dalam apa juga aspek seperti fahaman agama, ukuran terhadap aspek-aspek moral dan fahaman peribadi terhadap perkara-perkara tertentu.
Pada asasnya mereka yang berfikiran sempit itu tidak mahu menerima hakikat bahawa, majoriti masyarakat tidak seperti mereka dan hanya mahukan hidup dalam suasana muhibah, tanpa konflik dan pergeseran.
Di negara seperti Malaysia, yang berlandaskan kepelbagaian dalam segala aspek utama iaitu agama, keturunan, budaya, adat resam, bahasa dan sedikit-sebanyak cara-cara pemikiran, tidak ada ada tempat dan ruang untuk mana-mana pihak bertegang leher menyuarakan dan memperjuangkan pendirian yang sempit, egoistik dan berpotensi mendatangkan reaksi-reaksi yang mengundang konflik dan perbalahan.
1 Malaysia tidak bererti segala-galanya mesti sama seperti dalam hanya satu acuan. Ia tidak bererti persamaan antara semua dalam setiap aspek. 1 Malaysia mesti diinterpretasikan sebagai Satu Negara, di mana terdapat kepelbagaian yang bersaling kait secara harmoni yang mencorakkan masyarakat dan negara secantik mungkin - perbezaan-perbezaan yang menyumbang kepada kekuatan negara dan sama memperkukuh perasaan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang keturunan.
Peranan setiap kumpulan masyarakat tanpa me­ngira jantina atau kelompok, merupakan elemen penting dalam Agenda Inklusif Negara. Penyelesaian terhadap apa-apa pergeseran dan perbalahan dilakukan secara muafakat dan sikap terbuka tanpa prejudis, pandang serong, mencetus atau mencari pecah belah.
Jangan sekali-kali dibiarkan agenda peribadi mana-mana pihak menular menjadi seolah-olah satu ‘perjuangan’ yang dirancang untuk diketengahkan melalui saluran seperti politik, NGO atau cara-cara lain terutama yang menyalah guna media seperti media sosial.
Usaha-usaha pihak seperti ini semata-mata untuk memupuk dalam kalangan masyarakat, pandangan, sikap, serta perlakuan tertentu yang secara langsung dan tidak langsung akan memberi sokongan kepada usaha-usaha dan matlamat peribadi mereka.
Dan negara tidak mampu adanya kepelbagaian vested interest atau kepentingan peribadi, yang hanya membawa perpecahan dan serpihan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat sewajarnya dapat mengenal pasti usaha-usaha seperti itu dan menolaknya sebelum ia menjadi satu lumrah.
Begitu juga sindrom ‘kepentingan peribadi’ tidak boleh dibenarkan menular ke dalam mana-mana strata masyarakat, sama ada politik, pentadbiran, perkhidmatan awam atau di mana jua yang kepentingan ramai dan kepentingan awam sewajarnya menjadi penentu setiap keputusan dan tindakan.
Dalam konteks 1Malaysia kita perlu dalam satu arah dan dengan satu motivasi, menggembleng usaha sebagai warga Malaysia, untuk membantu negara ke arah mencapai wawasan kita bersama.
Bersama-sama juga kita berwaspada terhadap apa jua gejala negatif yang berpotensi untuk menggelincirkan kita dari haluan ke arah kemajuan seterusnya.
TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.