Pekerjaan yang boleh dilakukan mereka mungkin hanya sebagai buruh ataupun menjadi operator pengeluaran di kilang-kilang.
Bagaimanapun, hakikat itu hanya benar pada satu ketika dahulu sahaja kerana pada masa sekarang banyak peruntukan telah disalurkan kerajaan untuk mengadakan pelbagai program bagi membantu mereka mendapat pekerjaan lebih baik sekali gus boleh membantu keluarga menambah pendapatan.
Dalam erti kata lain, belia daripada keluarga miskin tidak harus merasa rendah diri apabila mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan kerana ini bukan bererti penamat kepada kehidupan mereka.
Misalnya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah diberikan peruntukan khusus untuk melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rak­yat (SPKR).
Antara program pembangunan modal insan untuk penduduk luar bandar yang dilaksanakan di bawah SPKR adalah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Pembangunan Minda Insan (PPMI), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dan Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP).
Daripada semua program terbabit, PLKK dianggap paling banyak memberi manfaat kepada golongan belia daripada keluarga miskin ter­babit. Sejak 2006, sebanyak RM114 juta telah disalurkan kerajaan untuk tujuan itu yang telah memberi manfaat kepada lebih 11,622 belia.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC), Rohaizat Ahmad berkata, anak syarikat Felcra Bhd. itu adalah antara yang terpilih sebagai badan pelaksana kepada PLKK.
Beliau berkata, menerusi PLKK, belia terbabit akan dibantu untuk mendapat kemahiran dan pekerjaan lebih baik sekali gus pendapatan yang diperoleh dapat disalurkan kepada keluarga masing-masing bagi mengurangkan isi rumah miskin di negara ini.
“FTC bertindak sebagai pemudah cara dan akan bekerjasama dengan pusat-pusat latihan bertauliah (PLB) yang dikendalikan oleh sektor swasta bagi memberikan latihan kemahiran kepada belia terbabit selama enam bulan.
“Keunikan latihan yang diuruskan oleh FTC dengan kerjasama PLB adalah ia bersifat praktikal yang membolehkan belia yang dilatih dapat diserapkan terus ke sektor pekerjaan.
“Para belia terbabit turut didedahkan dengan sifat-sifat terbaik untuk membolehkan mereka me­ningkat naik dalam kerjaya sehingga menjawat jawatan penyelia dan pengurus seperti berkemampuan bekerja dalam kumpulan.
“Karakter terbaik lain ialah integriti, bersedia untuk terus belajar, bertanggungjawab dan berkemampuan menyelesaikan masalah.
“Kita juga mendedahkan mereka dengan asas-asas bahasa Inggeris, membaca al-Quran, solat, dan sifat-sifat bagaimana untuk menjadi seorang usahawan berjaya dengan melibatkan diri dalam perniagaan yang mereka mempunyai kemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selepas bekerja, katanya, belia terbabit boleh memperoleh pendapatan sehingga RM3,800 sebulan dan seterusnya keluar dari status miskin tegar.
Jelasnya lagi, setelah tamat kursus belia terbabit akan terus dipantau oleh FTC bagi mengenal pasti jika mereka menghadapi masalah dalam kerjaya dan pihaknya juga akan membantu mereka meningkat naik dalam kerjaya masing-masing.
Menurut Rohaizat, latihan yang ditawarkan melibatkan lapan bidang utama iaitu hospitaliti dan pelancongan, perladangan dan program asas tani serta kesihatan dan kecantikan.
“Bidang-bidang lain adalah kejuruteraan dan pembuatan; jahitan, fesyen dan tekstil; pendidikan komuniti dan pembangunan sosial; kejuruteraan infrastruktur serta teknologi terkini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, terdapat banyak kursus yang ditawarkan dalam setiap bidang berkenaan seperti kemahiran jurukecantikan, jahitan, membaiki komputer, animasi 3D, juruhias dalaman, gunting rambut, pemandu pelancong dan membaiki telefon bimbit.
“Antara kursus yang kita anggap boleh memberikan impak tinggi adalah dalam industri minyak dan gas, penerbangan, pembinaan, pelabuhan dan kejuruteraan marin yang keperluan tenaga kerja di dalam sektor ini adalah amat diperlukan di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, kursus dalam industri minyak dan gas dengan kerjasama SapuraKencana Petroleum Bhd. melibatkan kerjaya pemasa­ngan perancah dan tukang kimpal. Pelatih yang tamat kursus akan ditempatkan di terminal minyak dan gas dikendalikan Petronas.
“Penerbangan pula dengan kerjasama Asia Pacific Flight Training (APFT) Bhd. melibatkan khidmat pelanggan, pengendalian bagasi dan marsyal udara manakala pembinaan dengan Gamuda Bhd. melibatkan kerjaya pemandu kren dan jentera pengorek tero­wong.
“Kursus berkaitan industri pe­labuhan membabitkan kerjasama de­ngan syarikat Westports Malaysia Sdn. Bhd. dan antara kemahiran yang diajar kepada belia adalah pemandu jentera berat dan kerani operasi.
“Kursus kejuruteraan marin pu­la melibatkan syarikat swasta se­perti A.M.E Teras Marin Services Sdn. Bhd. yang akan melatih belia berkaitan kerjaya sebagai seorang kelasi,” ujarnya.