SEMINGGU dua ini isu yang hangat diperdebatkan ialah isu kempen I Want to Touch a Dog. Daripada kempen yang penganjur jelaskan semata bertujuan menghilangkan atau mengurangkan ketakutan masyarakat Melayu, khususnya terhadap anjing muncul pula sisi terbaharu perdebatan hangat dengan pelbagai pandangan feqah berhubung perkara itu.

Walhal penganjur itu sendiri tidak pernah terlintas pun di sana ada pandangan dalam mazhab Maliki, misalnya, yang agak ringan ketika berinteraksi dengan anjing tiba-tiba ada sekelompok agamawan yang menyeru supaya kononnya “jangan fanatik mazhab”. Perdebatan berhubung dengan perkara ini sepertimana dirumuskan oleh saudara Amidi Abdul Manan, Presiden Abim dalam akhbar ini semalam, jelas sekali suatu 'usaha yang sia-sia'. Ia merupakan siaran ulang tayang perdebatan 90 tahun dahulu berhubung 'Jilatan Anjing' yang melibatkan Mufti Kelantan 1908-1916, Wan Musa Abdul Samad dan beberapa ulama lain pada zaman Sultan Ismail ibn Almarhum Sultan Muhammad IV.

Isunya ini sepatutnya sudah reda tetapi tiba-tiba ada pula yang  mempertikaikan kononnya kenapa dalam hal zakat fitrah, dan beberapa hal lain tidak diamalkan berdasarkan pendapat mazhab Shafie. Hujah  yang digunakan ini sudah pasti menimbulkan keraguan dan kesangsian  masyarakat awam terhadap mazhab yang menjadi pegangan mereka. Dalam  hal membayar zakat fitrah di Malaysia misalnya, membayar zakat adalah dengan beras, namun para ulama mazhab Shafiiyah sendiri juga  yang membenarkan untuk menggunakan pandangan mazhab Hanafi jika  ada keperluan dan hajat. Sama ada wujud keperluan atau tidak itu diputuskan oleh mufti dan pemerintah dan bukannya sesuka hati. Ini dimaktubkan dalam Seksyen 39 (2) Akta Pentadbiran Agama Wilayah Persekutuan (1984) “Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad mazhab Syafie akan membawa keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali”’ Begitu juga dalam hal menyentuh wanita bukan mahram ketika tawaf tidak membatalkan wuduk juga diambil berdasarkan hajat dan keperluan, serta kesulitan (masyaqah) dan bukan dibuat sewenang-wenangnya. Persoalannya apakah hajat dan keperluan untuk memeluk-cium anjing seperti yang dilakukan dalam kempen tersebut?

Kita berasa pelik apabila majlis-majlis lain yang dianjurkan begitu ditentang habis-habisan oleh kelompok agamawan tertentu tetapi majlis kempen menyentuh anjing dipuji kerana kononnya menghakiskan fanatik dan taksub kepada mazhab Shafie. Apabila dianjurkan majlis selawat dan qasidah, ada yang menuduh ia bidaah dan syirik dan tidak dibuat Baginda SAW. Apabila dianjurkan bacaan Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun, juga dituduh ia bidaah sesat kerana tidak dibuat oleh Baginda SAW. Tetapi apabila dianjurkan kempen sentuh anjing ia baik. Ajaib! Adakah kempen tersebut dibuat oleh Baginda SAW dan salafus soleh? Adakah pernah kita mendengar Baginda SAW atau sahabat menyentuh anjing?

Perlu dijelaskan, masyarakat Malaysia yang sensitif terhadap isu ini bukan kerana mereka fanatik mazhab, tetapi kita adalah pengikut mazhab Shafie. Sepertimana yang dijelaskan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, Malaysia adalah bermazhab Shafie. Itu bukan bermakna kita fanatik, jika ada keperluan untuk memilih pandangan mazhab lain dalam Ahlul Sunnah Wal Jamaah, pemerintah dan mufti yang akan memutuskannya dan bukannya orang awam.

Ayuh kita hentikan perdebatan ini dan lebih baik dikerah segala tenaga untuk perkara lain yang jauh lebih manfaat. Lebih baik dianjurkan kempen sentuh al-Quran, kempen gerakan solat Subuh, kempen jauhi zina dan pelbagai kempen lain. Kempen mengasihi dan mencintai binatang tidak salah kerana ajaran Islam juga menganjurkan sedemikian, cuma bukan sepertimana yang dianjurkan tempoh hari.