TIDAK dapat dinafikan bahawa kerajaan secara berterusan telah memberikan tumpuan terhadap pendidikan rakyat. Perumusan peta mega pendidikan negara, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 (PPPM 2013–2025), sebagai contoh, merupakan satu daripada sekian banyak usaha diambil oleh kerajaan ke arah memperkasakan pendidikan negara.

Meskipun langkah-langkah serius seperti itu telah dimulakan oleh kerajaan, maklum balas berasaskan penelitian yang adil daripada kalangan orang-orang Islam, khususnya melibatkan Pendidikan Islam (PI) dan masa depan mereka, bukan sahaja masih diperlukan tetapi wajar diusahakan secara berterusan demi membantu pihak-pihak berwajib menambah baik apa-apa yang telah, sedang dan akan dijalankan.

Berbalik kepada PPPM 2013–2025, jika dokumen penting itu diamati, kelihatan sekurang-kurangnya 3 perkara pokok. Pertama, keseimbangan dan kesepaduan menyeluruh yang mencirikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dijadikan semangat yang memandu PPPM 2013–2025.

Kedua, kualiti mendapat tumpuan utama dalam PPPM 2013–2025. Ketiga, kegelisahan ketara perihal kemampuan modal insan kita dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagaimanakah STEM yang akan diusahakan agar lebih berorientasikan “kemahiran berfikir aras tinggi” (KBAT, atau akronim Inggerisnya HOTs - Higher-Order Thinking Skills) akan dapat berpadu secara harmonis dengan PI sekiranya PI tidak atau kurang dipupuk dengan penekanan sama?

Sesungguhnya, guru mempunyai peranan utama dalam pendidikan. Maka, kualiti guru menentukan kualiti pelajar. Hakikat ini suatu yang jelas dalam Agama Islam dan turut diakui dalam PPPM 2013–2025

Sebagaimana kualiti guru mempunyai dampak besar ke atas kualiti pelajar, begitu juga kualiti mahaguru (para pensyarah di pelbagai pusat dan institusi pengajian tinggi) memberi kesan terhadap kualiti para guru.
Di sinilah sebenarnya letak keutamaan pendidikan dan pengajian tinggi, termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG). Maka hasrat untuk meninggikan lagi syarat kelayakan guru (termasuk pemilihan guru pelatih daripada lulusan 30% terbaik) dan menambah baik profesion perguruan, sebagaimana yang dilakarkan dalam PPPM 2013–2025, adalah suatu yang bertepatan dengan penegasan Baginda Rasulullah SAW: “Bangsa manusia itu [laksana] bahan-bahan logam galian; yang terbaik dalam kalangan mereka dalam Jahiliyyah juga yang terbaik dalam Islam sekiranya mereka berkefahaman mantap dan mendalam.”

Langkah ini turut perlu melibatkan usaha menyaring guru-guru PI dan seterusnya merangkum proses pemupukan pelapis mahaguru pada peringkat pengajian tinggi, khasnya dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang sedang disemak semula.

Jelas sekali dalam PPPM 2013–2025, peningkatan mutu pelajar dan mutu guru melibatkan pemupukan KBAT. Namun, PPPM 2013–2025 tidak menyatakan secara jelas kedudukan dan peranan mata pelajaran PI dalam hubung kaitnya dengan pemupukan KBAT.

Kekaburan ini seharusnya diusahakan oleh para peneraju PI menjadi peluang bagi mengolah secara strategis peranan dan kedudukan PI berkaitan KBAT dalam ruang-lingkup PPPM 2013–2025.

Pengolahan ini bukan sahaja perlu berpaksikan pemupukan dan pengukuhan kefahaman para mahaguru dan guru tetapi juga menuntut para peneraju PI betul-betul memahami kerangka aqal-naqal sebagaimana yang telah dihuraikan dengan teliti, rapi dan tuntas oleh tokoh-tokoh ilmuwan utama Islam silam.

Namun, perlu diingatkan, sejauh yang berkait dengan tokoh-tokoh ilmuwan Islam itu, kerangka tersebut hanya dapat benar-benar difahami dalam konteks perbahasan ilmu aqidah (juga dikenali ilmu usuluddin atau al-fiqh al-akbar atau ilmu kalam) yang merupakan asas dan tunjang agama Islam.

Justeru, banyak pengajaran yang dapat ditimba daripada pengalaman langsung para ilmuwan Islam itu yang telah lebih dahulu berinteraksi dengan tokoh-tokoh terkemuka pelbagai agama dan tamadun awal itu sambil menerajui Dialog Peradaban Tahap Tinggi dan merintis penerokaan cabang-cabang ilmu baharu.

* Felow Utama/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), IKIM