PADA 10 Oktober, 2014 saya ke Melaka atas undangan Haji Samian Senin, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Melaka, menyampaikan ceramah pada Kursus Asas Kewangan Islam anjuran DPIM Melaka dengan kerjasama Syarikat Takaful Ikhlas. Saya fokuskan ceramah kepada tajuk “Jihad Bisnes - Memperkasa usahawan Muslim”.

Kenapa Jihad Bisnes? Kerana bangsa Melayu sedar untuk menebus maruah bangsa dan martabat agama serta membangun semula tamadun, mereka wajib terlebih dahulu bina asas kekuatan ekonomi.

Dalam konteks ekonomi diterajui bisnes hari ini, kebangkitan semula umat Islam tidak dapat dijayakan tanpa mereka terlebih dahulu menguasai bisnes berkelangsungan menjana dan menghimpun harta kekayaan memperkasa ekonomi bangsa dan umat generasi demi generasi.

Jihad bisnes fisabilillah

Jelas sekali tamadun manusia hari ini diterajui ekonomi global yang semakin didominasi dan dicorakkan organisasi bisnes dan institusi korporat ciptaan Barat. Umumnya korporat dilihat bertindak rakus dan impaknya bukan sahaja melebarkan jurang kaya-miskin, malah menzalimi manusia merosakkan kehidupan. Gaya hidup manusia semakin materialistik, individualistik dan duniawi, hingga mengakibatkan ramai sanggup melupakan dan mengetepikan Tuhan sekali pun.

Tidak hairan jika impak merosakkan seperti ini membuatkan majoriti umat Islam menjauhi bisnes, hingga terdapat ramai yang membenci bisnes. Apa pun, umat Islam juga sedar tanpa menguasai harta kekayaan mustahil mereka dapat bangkit semula membina tamadun Islam.

Justeru, Jihad Bisnes fokus kepada menggalakkan bangsa Melayu memburu sembilan per sepuluh sumber rezeki bisnes dengan matlamat menjayakan Maqasid al Syariah. Ahli bisnes yang bercita-cita berjihad menerusi bisnes pasti bersungguh-sungguh menghimpun ilmu dan pengalaman bisnes memburu harta kekayaan berlandaskan “fisabilillah” untuk memelihara iman, menjaga nyawa dan kehidupan serta melindungi generasi depan, memupuk tamadun bertujuan mengembalikan kebesaran dan kemuliaan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. 

Tegasnya, orang yang berjihad menerusi bisnes, selain memperkayakan diri, akan menjadikan bisnes landasan memperkasa ekonomi umat Islam supaya tidak bergantung hidup selain kepada ALLAH SWT. Matlamat jangka panjangnya ialah menjadikan umat Islam “alyadul uliya” yang “tangannya di atas” - kaya dan berupaya memberi dan bukan lagi umat yang meminta-minta.

Lemah kerana lupa jati diri

Jihad Bisnes penting dijadikan landasan semua usaha berniaga kerana hari ini ramai Melayu dan umat Islam terjun berbisnes secara membabi buta, menciplak kaedah dan pendekatan bisnes semua orang lain tanpa menilai kesan negatif, impak songsang atau konflik nilai merosakkan.

Jika dibiar berleluasa, kontradiksi bisnes membabi-buta pasti merugi dan melemahkan lagi Melayu. Dalam ceramah, saya ibaratkan kaedah membabi-buta generasi baru peniaga dan usahawan Melayu seumpama “anak ketam” yang berlari mengikut cara makhluk bukan ketam di pantai.

Bayangkan senario anak ketam berlumba lari di pasiran pantai bersaing sengit dengan anak-anak siput, gamat dan lintah, umang-umang serta anak belangkas menuju kejayaan dan kemenangan.

Bayangkan pula antara jenis anak siput, gamat dan lintah akan terdapat anak siput babi dan lintah darat sesat di pantai-iaitu makhluk siput babi yang mudah menghalalkan segala cara dan lintah darat yang bergelumang dengan riba.

Juga, bayangkan umang-umang makhluk rakus-serakah memperibadikan ‘rumah’ dan harta milik orang lain; diikuti belangkas hedonistik, jantan-betina melekap ke sana-ke mari melayani hawa nafsu liar dan buas tanpa rasa segan silu.

Hakikatnya, setelah lebih dua abad Barat mendominasi ekonomi dunia, perlumbaan bisnes di pantai global hari ini adalah mengikut acuan, cara dan peraturan yang dirangka dan ditentukan makhluk bukan ketam.

Justeru, siput, lintah, umang-umang dan belangkas pasti menuntut anak ketam berlumba ikut cara mereka, iaitu berlari menghala ke hadapan mengikut fitrah mereka. Perhatikan: Anak ketam yang fitrah jati dirinya berlari jauh lebih pantas berbanding semua makhluk bukan ketam, akan tinggal terpaku, langsung dengan mudah ditewaskan anak-ana makhluk lain di pantai.

Inilah akibatnya apabila anak ketam lupakan jati diri. Anak ketam yang fitrah jiwanya sejak kecil dididik ibunya berlari mengikut fitrah kepantasan jati diri, sekali pun dengan cara mengiring, mudah sekali dikalahkan makhluk bukan ketam. Mereka akan terpaku kebingungan, tertekan konflik jiwa dan kontradiksi nilai jati diri, langsung dengan mudah ditewas dan dikesampingkan.

Persoalan besar yang perlu anak ketam tanyakan: Siapa kata cara ketam berjalan tidak betul? Tiba masanya warga ketam Melayu-Muslim mengenali semula fitrah jati diri mereka. Sama ada dalam perlumbaan kecil di pasiran pantai mahu pun dalam persaingan pasaran bisnes global mencorak tamadun; mereka wajib mencari sumber kekuatan warisan ibu pertiwi selain menggali ke akar-umbi menanam semula benih sumber semangat jihad memperkasa jati diri umat Islam.

Guna strategi “bunyanun marsus”

Mengakhiri ceramah di Melaka saya mengingatkan hakikat persaingan hari ini membabitkan organisasi bisnes berskala besar. Tanpa organisasi, mustahil mencapai kemenangan di pasaran global.   Malangnya bisnes Melayu dan umat Islam didominasi bisnes kecilan.  Sekali pun penting terus digalakkan, terutama untuk membangun bisnes generasi baru, namun mustahil ekonomi Melayu dan umat Islam diperkasa selagi tidak dibangunkan organisasi korporat bertaraf global.

Bisnes kecilan bermodal dan berkeupayaan kecil, justeru bergerak perlahan, sangat lambat berkembang dan mudah didominasi atau diketepikan pesaing. Pengetahuan dan pengalaman bisnes sempit serta jaringan terhad membuat bisnes kecilan mudah ditewaskan, justeru tidak dapat Melayu manfaatkan berpanjangan.

Sebaliknya, bisnes berorganisasi besar yang juga besar modal dan sumber, tinggi tahap kemahiran dan daya pengurusan, berupaya bergerak pantas dan laju, membolehkan mereka cepat merebut peluang dan kesempatan bisnes baru.

Justeru, Jihad Bisnes bangsa Melayu dan umat Islam wajib diiringi strategi membesarkan semua usaha bisnes sehingga dapat mencapai tahap korporat gergasi bersaing di pasaran global setaraf syarikat mutinasional MNC satu hari nanti. Apa pun, asasnya perlu didirikan bermula sekarang.

Dalam hal ini saya menyarankan ahli bisnes Melayu-Muslim yang ingin berjihad menerusi bisnes menggunakan strategi “bunyanun marsus”.  Strategi ini menepati maksud al-Quran, Surah As-Saf, ayat 4:  “Sesungguhnya ALLAH SWT amat menyukai orang yang berjihad pada jalannya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh.”

Dalam ceramah saya sampaikan satu lagi perumpamaan untuk renungan peserta, iaitu kisah perlumbaan antara “arnab dan kura-kura”.   Semua yang tahu cerita ini pasti teringat, sekalipun boleh berlari pantas, akhirnya kura-kura perlahan yang mencapai kemenangan kerana arnab leka dan tertidur.

Persoalannya, (andainya kura-kura diumpamakan Melayu dan umat Islam yang lambat dan jauh tertinggal dalam penguasaan ekonomi): Bolehkah kura-kura Melayu-Muslim menang dalam senario arnab bukan Melayu tidak leka dan tidak tidur seperti hakikatnya hari ini?

Kesimpulannya, saya tegaskan Melayu dan umat Islam masih boleh menang dengan dua syarat. Pertama, kura-kura Melayu tidak sekali-kali menanggalkan kulitnya berapa berat sekalipun kulit memperlahankan perjalanannya.

Melayu wajib berpegang teguh kepada petua: “Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit”, kerana tanpa kulitnya, kura-kura bukan lagi kura-kura; malahan cicak bukan dan tikus pun bukan! Juga Melayu yang lupa lalu membuang “warna kulit” jati dirinya, akhirnya akan kehilangan segala-galanya: iaitu Melayu bukan dan Muslim pun dia bukan!

Syarat kedua juga sangat penting dipenuhi, iaitu kemenangan bangsa dan umat dapat dicapai hanya jika kita ikut fitrah hayat kura-kura dan bukan arnab. Perhatikan, rata-rata arnab hidup hanya 10 hingga 15 tahun, berbanding dengan kura-kura, iaitu 150 hingga melebihi 200 tahun! Pengajarannya: Bina usaha bisnes berjangka panjang mengikut kaedah yang dapat menjamin kelangsungan dan kesinambungan usaha berstrategikan “Bunyanun marsus”.

Salah satu institusi bisnes Islamik yang dapat memenuhi prasyarat ini ialah organisasi Waqaf Korporat dan atas landasan inilah saya dan rakan seperjuangan DPIM tegas menyarankan GLC strategik seumpama JCorp, PKNS dan FGV ditransformasikan menjadi organisasi pelopor Waqaf Korporat negara.