Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan secara cekap dan boleh dipercayai.
Setiap bulan, institusi berkenaan dianggarkan menerima purata caruman sebanyak RM5 bilion, yang mana RM3 bilion daripadanya dikeluarkan semula oleh ahlinya, manakala bakinya RM2 bilion akan dilaburkan sama ada di dalam dan juga di luar negara melalui beberapa instrumen kewangan diluluskan untuk menghasilkan pendapatan. Namun, ada yang melahirkan kebimbangan mengenai strategi institusi berkenaan melabur dalam ekuiti dan hartanah di luar negara. Bagi mengulas perkara ini, ikuti temu bual Penolong Pengarang Meja Ekonomi BH, Kamarulzaidi Kamis dan wartawan Meja Ekonomi BH, Sharizan Salian dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburannya, Mohamad Nasir Ab Latif.
Wartawan: Setakat 30 Jun 2014, aset pelaburan KWSP adalah RM612.41 bilion. Boleh jelaskan, daripada jumlah itu, berapakah jumlah dilaburkan di luar negara?
Mohamad Nasir : Setakat ini, pendedahan pelaburan KWSP dalam aset di luar negara adalah kira-kira 23 peratus. Daripada jumlah itu sebanyak 17 peratus dilaburkan dalam pasaran ekuiti global dan selebihnya adalah dalam pasaran bon (3 peratus) dan hartanah di luar negara (1 peratus). Pelaburan dalam pasaran ekuiti (global) adalah jumlah terbesar (dalam peruntukan pelaburan aset di luar negara) dan kami mempunyai kehadiran dalam kira-kira 30 pasaran ekuiti luar negara.
Setakat Jun lalu, KWSP telah menyuntik RM3.4 bilion kepada pengurus dana luaran yang mana AS$350 juta disalurkan dalam mandat ekuiti global dan AS$300 juta untuk mandat sukuk global.
S: Kenapa perlu KWSP melabur di luar negara?
J: Peraturan pertama dalam pelaburan adalah, "jangan meletakkan semua telur dalam satu bakul". Ia adalah strategi mempelbagaikan pelaburan. Sebahagian daripada strategi kepelbagaian KWSP adalah termasuk mengembangkan portfolio pelaburan luar negara dan penyumberan luar dana kepada pengurus dana luaran. Langkah ini membolehkan KWSP mengambil peluang pelaburan dalam pasaran negara maju dan baharu muncul serta menangani risiko yang mungkin berlaku jika hanya memberikan tumpuan dalam pasaran tunggal.
S: Namun, ada pihak berpendapat adalah lebih wajar untuk menumpukan kepada pelaburan dalam pasaran domestik kerana masih banyak peluang di negara ini, apa komen tuan?
J: Untuk melabur dalam pasaran tunggal iaitu Malaysia semata-semata, saya tidak berkata bahawa Malaysia adalah negara berisiko tinggi, namun langkah sebegitu adalah tidak wajar dari segi strategi pelaburan. Kita perlu mempelbagaikannya. Anda kata bahawa Malaysia menyediakan banyak peluang, jawapannya adalah benar, tetapi ketika ini kita tidak bercakap dalam juta (nilai caruman ahli), kita bercakap dalam bilion. Kami gembira dengan terdapatnya banyak projek besar (di dalam negara), tetapi ini tidak bermakna kami perlu melabur dalam setiap projek berkenaan. Kami perlu (meneliti) profil risiko. Contohnya, jika anda beri saya satu lagi (projek) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), kami tidak keberatan. Saya fikir, kami amat selesa dengan (pelaburan) lebuh raya bertol dan sifat jangka panjang pelaburan dalam projek sebegini, ia memberi aliran tunai yang menarik.
S: Bagaimana pula dengan pelaburan di pasaran domestik?
J: Ya, kami terus melabur. Seperti yang saya katakan tadi, sebanyak 23 peratus daripada jumlah dana dilaburkan di luar negara, sebaliknya lebih 70 peratus adalah (dilaburkan) di Malaysia. Berbilion ringgit pelaburan KWSP adalah di tanah air dan inilah pasaran teras kami. Perlu juga diketahui bahawa 70 peratus itu sentiasa berkembang kerana setiap tahun saiz aset KWSP meningkat kira-kira RM60 bilion. Malaysia adalah 'rumah' kita, tentunya lebih banyak pelaburan berpusat di sini, tetapi pada masa sama, kami perlu berhati-hati dan perlu melabur di luar dan ia bukan di satu pasaran sahaja, kami melabur dalam 30 pasaran antarabangsa.
S: Adakah saiz pasaran tempatan, misalnya pasaran ekuiti, adalah terlalu kecil dengan saiz dana dimiliki KWSP?
J: Ya, kalau semuanya di sini, kami akan berurusniaga sesama sendiri. Jika anda lihat syarikat di Amerika Syarikat (AS), ada banyak syarikat besar seperti General Electric (GE), Microsoft, Apple dan sebagainya. Modal pasaran syarikat sebegitu amat besar dan jika dilaburkan beberapa bilion pun, jumlah pegangannya tak sampai satu peratus. Itu sifat semula jadi pasaran berkenaan.
Jika dilihat pasaran negara maju, urus niaga saham syarikat di sana sudah mula didagangkan sejak abad ke-16. Sifat semula jadi syarikat juga berbeza, syarikat di Asia kebanyakannya dikuasai syarikat berasaskan keusahawanan, jadi seseorang individu itu akan memegang saham sehingga antara 30 peratus hingga 40 peratus, sementara itu, di pasaran negara maju, pemegang saham terbesar mungkin hanya memegang 5 peratus saham. Pasaran di sana lebih menjurus kepada institusi, jadi ia lebih baik dari segi kecairan.
Jadi, walaupun anda menguasai hanya 1 peratus pegangan, ia adalah mencukupi. Pengaruh anda dalam hak mengundi di syarikat berkenaan agak tinggi.
KWSP mempunyai pegangan saham dalam syarikat besar di AS seperti Microsoft, tetapi pegangannya masih kurang daripada 1 peratus.
Jadi, jika anda ada banyak dana, anda boleh memilih syarikat untuk dilaburkan. KWSP memiliki pegangan ekuiti dalam beberapa syarikat antarabangsa yang besar seperti Samsung Electronics dan Toyota. Di United Kingdom, KWSP juga ada melabur dalam beberapa syarikat mewah yang tersenarai dalam indeks FTSE100.
Pelaburan dalam syarikat begini menyediakan kecairan. Kami tidak menyatakan bahawa pelaburan di Malaysia tidak baik. Kami sudah mempunyai pegangan dalam lebih 100 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia seperti syarikat perladangan, perbankan dan banyak syarikat besar yang lain.
S: Bagaimana pula dengan pulangan daripada pelaburan di luar negara?
J: Sebagai perbandingan, pada separuh pertama tahun lalu, pelaburan dalam saham syarikat di luar negara menyumbang kita-kira 32 peratus pulangan ke atas keseluruhan ekuiti. Pada separuh pertama tahun ini, ia menyumbang kira-kira 42 peratus. Jadi sebenarnya, pelaburan dalam ekuiti asing menunjukkan prestasi lebih baik dari segi pulangan.
S: Dari segi pelaburan dalam instrumen berpendapatan tetap seperti sekuriti kerajaan dan bon, adakah KWSP melabur di luar negara?
J: Buat masa ini, kira-kira lebih 90 peratus (daripada peruntukan pelaburan dalam instrumen berpendapatan tetap) adalah di Malaysia iaitu dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), pinjaman kerajaan, pinjaman serta bon syarikat tempatan. Pada peringkat antarabangsa, kami mula melabur, tetapi belum secara besar-besaran dalam instrumen ini, kerana Malaysia lebih menarik berbanding pasaran di luar sana. Hasilnya adalah rendah, jadi tiada keperluan melabur secara besar-besaran dalam instrumen berpendapatan tetap di luar negara.
S: Adakah KWSP merancang untuk menambah pelaburan di luar negara?
J: Ya, buat masa ini peruntukannya adalah 26 peratus (daripada keseluruhan aset) dan kami baru melabur kira-kira 23 peratus. Kami masih ketinggalan dalam pelaburan dalam sub-kelas seperti hartanah. Dalam sub-kelas ini kami boleh melabur sehingga 4 peratus daripada keseluruhan aset, namun begitu setakat ini, pelaburannya adalah 1 peratus.
S: Secara keseluruhan, KWSP sudah melaporkan prestasi memberangsang pada separuh pertama tahun ini, bagaimana pula dengan jangkaan pada separuh kedua, bolehkan dividen pada tahun ini melebihi 6.35 peratus yang dicatat pada tahun lalu?
J: Kami berada dalam landasan kukuh mencapai sasaran membayar dividen yang baik bersandarkan kepada prestasi pelaburan untuk tempoh sembilan bulan tahun ini. Kami dalam kedudukan selesa dan menepati sasaran dalaman yang ditetapkan oleh kumpulan. Namun demikian, kami akan memantau rapi perkembangan yang akan berlaku untuk baki dua bulan akan datang susulan terdapatnya situasi ketidaktentuan dalam pasaran sekarang.
Polisi dividen KWSP ialah membayar sekurang-kurangnya dua peratus melebihi kadar inflasi dalam tempoh tiga tahun kepada pencarumnya. Pasaran saham global agak mencabar sejak kebelakangan ini selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi tahun depan, diikuti kejatuhan harga minyak dunia daripada AS$100 ke AS$80. Selain itu, perangkaan semasa dari Amerika Syarikat (AS) menyaksikan data jualan runcit yang kurang memberangsangkan, manakala perkembangan Eropah menyaksikan rantau yang dilihat baharu saja mencatatkan pemulihan, secara mengejut kembali merekodkan penurunan dalam ekonominya.
Justeru, ada kebimbangan dunia akan terjerumus kepada kemelesetan. Pasaran saham Malaysia tidak terlindung sepenuhnya dan terdedah kepada perkembangan yang berlaku di luar negara. Malah, pasaran jatuh sehingga 19 mata baru-baru ini, Berikutan itu, kami memantau semua perkembangan berkenaan dan berharap dalam tempoh dua bulan lagi pasaran dapat bertahan bagi membolehkan KWSP menjana keuntungan pada masa diperlukan.
Jika syarikat yang mana KWSP melabur di dalamnya terus membayar dividen, maka kami berada dalam keadaan baik, jika tidak kita perlu menunggu perkembangan selanjutnya. Segala-galanya bergantung kepada dua bulan akan datang. KWSP komited untuk terus mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan wang persaraan adalah wang orang ramai.
0 Komentar untuk " KWSP perluas pelaburan luar elak risiko pasaran tunggal "