Forum setuju rasionalisasi subsidi dan BR1M, tapi perlu penambahbaikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Forum setuju rasionalisasi subsidi dan BR1M, tapi perlu penambahbaikan

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bercakap semasa forum Rasionalisasi Subsidi di Anjung Amjal semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 8 Oktober, 2014.

Panel dalam forum "Rasionalisasi Subsidi: Membantu Rakyat atau Tidak" anjuran kumpulan Pro Mahasiswa Nasional Universiti Malaya (UM) berpendapat, langkah kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dengan diikuti program rasionalisasi subsidi yang diamalkan kerajaan adalah tepat dari segi dasarnya.

Mereka berpendapat dengan langkah itu, kerajaan dapat mensasarkan pemberian bantuan secara langsung kepada rakyat berpendapatan rendah, berbanding subsidi bahan api yang dinikmati semua golongan tanpa mengira taraf kedudukan sosial mereka.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berpendapat, langkah rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan dalam jangka masa panjang bagi mengelakkan rakyat merasa kesan langsung peningkatan harga barangan secara mengejut.



"Saya setuju cara subsidi diberikan perlu dirombak, tetapi ini tidak bermakna subsidi petrol perlu dimansuhkan secara langsung kerana ada pihak yang memerlukan subsidi," katanya yang merupakan salah seorang ahli panel dalam forum yang dianjurkan di Anjung Amjal, Kuala Lumpur malam tadi.
"Cara BR1M lebih baik. Memang BR1M boleh disalah guna untuk politik, betul... tetapi terus dapat diterima oleh penerima yang layak," katanya.

"BR1M dari segi dasar lebih baik daripada subsidi, adakah subsidi minyak adil bagi semua pihak? Tidak,” kata setiausaha publisiti DAP itu.

Beliau turut berkata, subsidi juga bukan masalah pertama yang perlu dikurangkan perbelanjaannya oleh kerajaan.

"Memang perlu kurangkan subsidi beransur-ansur dalam jangka panjang," katanya.

Beliau bagaimanapun melihat keperluan untuk pengangkutan awam dan tahap pentadbiran kerajaan yang lebih efisyen menangani ketirisan serta rasuah seharusnya diperbaiki sebelum rasionalisasi subsidi dilakukan.

"Kalau hendak naikkan harga petrol, perlu ada alternatif untuk rakyat.

"Kita perlu ada sistem pengangkutan awam yang efisyen untuk rakyat sebelum menaikkan harga minyak," katanya.


Bekas timbalan pengarah Bank Negara Malaysia Dr Rosli Yaakob berkata berbanding dengan cukai yang bersifat positif, subsidi bersifat negatif dan tidak membantu kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 8 Oktober, 2014.
Bekas timbalan pengarah Bank Negara Malaysia Dr Rosli Yaakob berkata berbanding dengan cukai yang bersifat positif, subsidi bersifat negatif dan tidak membantu kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 8 Oktober, 2014.
Seorang lagi ahli panel, Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia Dr Rosli Yaakob berkata, dari aspek ekonomi, subsidi adalah kebalikan kepada cukai yang bersifat negatif berbanding cukai yang bersifat positif.

Beliau menjelaskan, seperti juga BR1M, subsidi adalah bentuk bayaran pindahan sehala dan kerajaan tidak memperolehi timbal balik daripada perbelanjaan tersebut.

"Dalam sistem ekonomi negara, ini termasuk kepada perbelanjaan," kata pemimpin dari PAS.

Beliau bagaimanapun menyokong pengekalan subsidi namun berpendapat sistem subsidi dengan penstrukturan perlu diperkenalkan kerajaan.

"Kita perlu ada subsidi yang berstruktur, saya berpendirian subsidi yang ada patut dikekalkan kerana minyak ini hasil bumi yang rakyat perlu dapat manfaatnya.

"Minyak ini bahan penting dalam ekonomi," katanya.

Putrajaya membelanjakan sebahagian besar daripada belanjawan tahunan negara untuk menanggung subsidi.

Subsidi bahan api merupakan komponen subsidi terbesar dengan jumlahnya mencecah RM24.7 bilion, atau 12% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan pada 2012 dan RM24.8 bilion, 11.5% daripada perbelanjaan mengurus kerajaan pada 2013.

Kerajaan juga mengumumkan pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen bagi petrol RON 95 dan diesel, sekaligus menyaksikan peningkatan harga bahan api itu kepada RM2.30 dan RM2.20 masing-masing.

Harga pasaran bagi minyak petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga minyak diesel RM2.52 seliter.

Peningkatan harga itu turut mendorong pengguna laman sosial membanjiri laman sosial milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kenyataan "20 sen".

Sekumpulan individu yang membantah kenaikan harga minyak dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula pada April 2015 juga akan mengadakan protes di hadapan Parlimen hari ini.

"Kalau mahu dirasionalkan, sepatutnya, subsidi ini tidak perlu diwujudkan kerana ia dalam bentuk pemberian kepada rakyat," kata Rosli.

"Kita tahu kenapa kerajaan hendak beri BR1M, supaya rakyat boleh melihat 'kerajaan kita amat baik'. Itu matlamatnya," katanya, dan menambah ia dijadikan alat "membeli" undi oleh parti pemerintah.

Pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives Amin Ahmad berkata walaupun menyokong rasionalisasi subsidi, defisit fiskal bukan alasan yang tepat dari kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 8 Oktober, 2014.
Pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives Amin Ahmad berkata walaupun menyokong rasionalisasi subsidi, defisit fiskal bukan alasan yang tepat dari kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 8 Oktober, 2014.
Panel forum malam itu, Pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives Amin Ahmad turut menyokong tindakan rasionalisasi subsidi dan pasaran terbuka.

"Subsidi ini hanyalah elemen penting yang kecil dalam susunan ekonomi itu.

"Pemilihan untuk mengurangkan subsidi minyak ini saya terima," katanya.

Beliau berkata sekiranya harga minyak dibuka kepada harga pasaran, mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar lebih 9% harga minyak berbanding pengguna berpendapatan rendah.

Beliau bagaimanapun menganggap alasan kerajaan untuk menjustifikasikan kenaikan harga minyak tidak tepat apabila menggunakan alasan defisit fiskal.

"Masalah defisit fiskal tiada kaitan dengan orang ramai. Itu masalah kerajaan. Kelemahan pengurusan kerajaan.

"Tetapi kerajaan tiada iltizam politik untuk kurangkan perbelanjaan kerajaan," katanya.

Pua turut memberi cadangan penggunaan baucar pembelian minyak untuk rakyat Malaysia mula digunakan bagi mengelakkan ketirisan bahan api itu terus berlaku dan melindungi rakyat berpendapatan rendah.

"Beri baucar petrol untuk semua pemilik kenderaan, yang miskin akan terima lebih, dengan cara itu itu kita akan lihat ia progresif," katanya mencadangkan sistem pengagihan BR1M sebagai contoh.

"Baucar minyak lebih kurang sama dengan BR1M, tetapi hanya boleh digunakan di stesen minyak," katanya.

Malah, beliau juga bersetuju supaya Pakatan Rakyat (PR) meneruskan pemberian BR1M sekiranya mereka memerintah namun sistem pemberian wang tunai secara "one-off" itu memerlukan beberapa penambahbaikan.

"Saya lebih setuju kalau isu BR1M diperbaiki, ia lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan wang. Ia belum sempurna lagi, tetapi boleh diperbaiki.

Beliau berkata memboikot mana-mana syarikat pembekal minyak juga tidak akan berjaya menurunkan harga minyak di Malaysia kerana harga bahan bakar berkenaan dikawal kerajaan.

"Boikot tidak akan berjaya kerana kita tiada pasaran bebas, mereka di luar negara boleh berjaya kerana mereka ada kartel syarikat stesen minyak untuk menentukan harga minyak.

"Di Malaysia kuasa itu ada pada pihak kerajaan." – 8 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/forum-setuju-rasionalisasi-subsidi-dan-br1m-tapi-perlu-penambahbaikan#sthash.ktzvVs0y.dpuf
0 Komentar untuk " Forum setuju rasionalisasi subsidi dan BR1M, tapi perlu penambahbaikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ