Ammar Wan Harun memfokuskan dakwahnya kepada golongan muda.
MELANGKAH keluar dari program realiti bukan pengakhir misi dakwah bagi Ammar Wan Harun, 30, namun bagi anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu, ia merupakan permulaan baginya untuk memperluaskan sebaran ajaran Islam.
Walaupun sedia maklum akan sibuk dengan pelbagai undangan ceramah, selain menganjurkan aktiviti sendiri, namun peserta Imam Muda musim ke-3 itu telah bersedia menyiapkan diri untuk menyerahkan masa dan tenaga kepada masyarakat bagi tujuan dakwah.
Apa yang penting baginya dapat berkongsi kebaikan dan ajaran agama Islam kepada semaksimum mungkin masyarakat demi melakukan segala perintah Allah SWT dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian negara melalui pembentukan rohani masyarakat.
Mengakui mempunyai kelebihan dalam aspek usia, bekas hafiz al-Quran dari Madrasah Miftahul Uloom, Masjid Jamek Sri Petaling itu menyasarkan untuk menyampaikan dakwah kepada golongan muda dengan menggunakan pendekatan tersendiri.
“Mula berdakwah sejak mengikuti kumpulan tabligh ketika masih belajar di madrasah, peluang menyertai program realiti ini dilihat sangat bersesuaian dalam mengembangkan lagi usaha yang saya lakukan untuk mengajak masyarakat mendekati Islam.
“Menggunakan kaedah santai dan terkini, saya lebih memfokuskan sebaran dakwah kepada golongan muda dan sebaya.
“Ini bagi melahirkan lebih ramai pelapis daripada generasi akan datang yang celik ilmu agama sebagai bakal pentadbir negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Turut mengakui satu kejutan, tamat sebagai pemenang tempat ketiga menerusi program Imam Muda musim ke-2 itu, Ammar mula membiasakan diri dalam kesibukan menyumbang khidmat kepada masyarakat.
“Tidak menafikan bergelar seorang pendakwah bukan tugas yang mudah serta mempunyai masa yang terhad, namun saya sedar bergiat dalam bidang ini perlu meletakkan prinsip iaitu diri ini bukan milik sendiri tetapi harus dikongsi bersama masyarakat.
“Tidak kira di mana dan sesibuk mana, sebagai seorang pendakwah perlu berusaha untuk memenuhi undangan. Memang pada mulanya bagaikan satu kejutan, tetapi dengan bantuan emak dan kini diganti oleh isteri ia dapat membantu meringankan tugasan untuk menyediakan bahan yang diperlukan dalam ceramah,” katanya.
Bagi menjayakan usaha dakwahnya kepada golongan sasar, Ammar banyak melakukan dakwah menerusi program bersama kanak-kanak termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, di samping menghadiri undangan ceramah di tempat lain.
Beliau turut menubuhkan pusat latihan dan perundingan, Al Azan Training & Consultancy dengan menawarkan khidmat latihan dan motivasi agama kepada pelajar.
“Berbeza dengan pusat perunding yang lain, kita mengambil pendekatan mengadakan program latihan dan khidmat rundingan ini secara berkala dalam tempoh tertentu. Ini membolehkan perkembangan pelajar dapat dipantau, sekali gus memperbaiki sikap mereka.
“Selain mempelajari asas agama, modul akhlak dan solat merupakan modul utama yang difokuskan kepada peserta dalam usaha membentuk jati diri mereka menjadi lebih baik, di samping mendekati dan memahami ajaran Islam.
“Malah, program yang kita lakukan ini mempunyai tiga tahap yang mana mempunyai tiga pecahan modul dalam setiap tahap. Manakala setiap modul akan diadakan pada sebulan sekali. Ini menjadikan latihan yang diberikan kepada pelajar adalah selama hampir sembilan bulan,” jelasnya.
Kaedah ini lebih berkesan kerana pakar perunding motivasi dapat mengikuti perkembangan peserta dengan menghubungi ibu bapa peserta tersebut.
“Uniknya, selepas tamat menjalani program tersebut, peserta akan dianugerahkan dengan sijil penyertaan dalam acara kemuncak iaitu majlis graduasi yang diadakan di lokasi terpilih selama tiga hari dua malam,” katanya yang aktif di sekitar Lembah Klang.
Tentang IM Ammar
Sering digelar pemalu dan pendiam
Suka makanan manis
Hafiz 30 juzuk al-Quran
Mengelak daripada membunuh serangga
Menyertai kumpulan tabligh sejak sebelum bergelar Imam Muda (IM)
0 Komentar untuk " Fokus orang muda "