PATUTLAH ada orang sanggup habiskan hingga 15 jam hampir setiap hari menghadap komputer.

Macam-macam laporan disebarkan, tidak kira yang fakta atau yang auta, boleh dibaca.

Lepas satu, satu lagi isu menarik, pelik, sensitif dan kontroversi, dimuatkan dalam laman sosial, media cetak serta media elektronik dan disebarkan secara meluas.

Terlalu banyak isu yang timbul dan disebarkan hari demi hari, tetapi dalam ruang yang terhad ini, saya mampu berkongsi dengan pembaca budiman mengenai beberapa kes sahaja.

Kisah orang Melayu Islam anjur program I Want to Touch a Dog pada 19 Oktober di Petaling Jaya, yang disertai oleh ramai orang Islam, masih heboh diperkatakan.

Penganjurnya bukan sekadar dikritik hebat melalui laman sosial, bahkan menerima hampir 2,000 ugutan bunuh.

Setelah tidak dapat dikesan beberapa hari mungkin kerana bimbang keselamatannya atau mengambil masa untuk mencari jawaban kepada umum mengenai logik dan manfaat penganjuran program itu, penganjurnya muncul pada sidang akhbar selama empat minit pada 25 Oktober lalu, untuk membaca kenyataan.

Seperti dilaporkan Sinar Harian, penganjurnya memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan penganjuran program berkenaan.

“Niat saya menganjurkan program ini kerana ALLAH SWT, bukan untuk memesongkan akidah, menukar hukum-hukum agama, mempersendakan ulama atau menggalakkan liberalisme,” katanya pada sidang media.

Program itu untuk atasi perasaan takut terhadap anjing dan batasan bersama anjing dalam konteks Islam.

Jika itu tidak cukup, pihak penganjur, menurut penjelasan penganjur, sudah bertemu, berbincang dan diberikan surat mengenai garis panduan pengendalian anjing menurut Islam oleh Jabatan Mufti Selangor dan segala pencerahan hukum-hukum pengendalian anjing diterangkan semasa program berkenaan.

Menurut peguamnya, penganjur juga bertemu dengan Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor untuk penerangan.

Satu lagi kontroversi terbaharu berhubung dengan binatang dan halal haramnya didakwa berlaku baru-baru ini dalam satu program di Kuala Kangsar, Perak, iaitu isu makan daging biawak.

Menurut cerita, isu itu timbul apabila ada pihak memuat naik status menyatakan ada yang merasai daging biawak yang disediakan di khemah dalam satu karnival.

Ada pengunjung menceritakan dia makan sedikit daging biawak yang diletakkan di situ selepas melihat yang lain, termasuk pelajar sekolah, memakan daging itu.

Ada juga pengunjung yang mengaku buat silap makan daging biawak kerana ingin merasa daging itu yang diletak dalam pinggan, apa lagi apabila dicabar rakan-rakan; sehingga dia ‘lupa yang mana halal, yang mana haram’.

Petugas di booth itu menafikan dakwaan orang Islam makan daging biawak yang disediakan di situ.

Pameran itu diadakan untuk memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai bagaimana anggota tentera meneruskan hidup dalam hutan dan daging biawak itu hanya dipamerkan dan boleh dimakan oleh pengunjung bukan Islam.
Menurut seorang wakil penganjur karnival itu, mereka peka mengenai perkara berkaitan halal haram dan sudah sediakan makanan lain seperti daging ayam, lembu dan ikan untuk pengunjung Islam.
Persoalannya di sini, setelah demikian telitinya perancangan dibuat sebelum sesuatu program diadakan, suasana tidak tersusun serta kontroversi masih boleh berlaku.\

Maka, apa yang boleh berlaku dalam sesuatu program, tambahan pula yang sensitif dan kontroversi, perlu menjadi pengajaran kepada pihak yang terlibat dengan apa sahaja bentuk program di masa depan berhati-hati supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan.

Kita tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan, menangguk di air keruh, sementara setengah pihak menuding jari atau mengabaikan tanggungjawab.

Sudah banyak isu kontroversi dan mencabar berlaku dalam masa yang singkat ini, termasuk isu orang Islam sentuh anjing dan didakwa makan daging biawak. Entah apa pula isu timbul lepas ini!

Susah mahu bayangkan bilakah negara kita ini akan bebas daripada isu-isu sensitif dan kontroversi.

Yang penting adalah apa sahaja yang dilakukan mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa sahaja.