*RABU lalu 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), termasuk seorang berpangkat pengarah negeri, ditahan kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok dan arak yang nilai cukainya berbilion RM.

Berikutan terbongkarnya sindiket tersebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun semua pegawai terlibat dengan jumlah simpanan RM4 juta. Turut dibekukan ialah akaun milik 12 individu lain – bukan kastam – yang turut terlibat dalam sindiket berkenaan, dengan jumlah simpanan RM2 juta.

Selain akaun dibekukan, SPRM juga telah menyita 10 kenderaan mewah, sebuah lori yang penuh dengan muatan arak, sebuah lot rumah kedai dan wang tunai berjumlah hampir RM3 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti ini.

Sesetengah orang mungkin terkejut dengan penglibatan pegawai tinggi kastam dalam jenayah yang mengaibkan itu. Tetapi bagi sesetengah orang pula, apa yang terjadi itu bukan mengejutkan, malah sepatutnya telah dilakukan lama dulu.

Harap-harap selepas ini SPRM tangkap ramai lagi jerung laut dalam, buaya tembaga, dan ‘naga Tasik Cini’ yang pagi petang siang malam tidak ada kerja lain kecuali sakau dan sapu duit rakyat, macamlah negara ini opah dia yang punya.

Senang sahaja orang menggunakan kedudukan dan kuasa yang diamanahkan untuk songlap duit RM juta-juta, pakai pula kereta mewah, tinggal rumah besar, makan angin luar negara, hidup senang-lenang. Dan buat muka selamba macam tidak ada dosa apa-apa. Cehhh!

*KITA ada banyak kaki busuk, termasuk dalam kalangan pihak berkuasa. Ada tukang songlap, kaki kapur, kaki belit, kaki putar alam. Sikap busuk mereka menyebabkan negara – dan rakyat – hilang berbilion RM setiap tahun.

Seperti yang dilaporkan media sikap rakus dan korup – memberi dan menerima rasuah – menyebabkan negara kehilangan pendapatan kira-kira RM4 bilion daripada duti dan cukai yang sepatutnya diterima sejak 2011 daripada kemasukan arak serta rokok di Zon Perdagangan Bebas Cukai, Pelabuhan Klang (PKFZ), Selangor.

Kalau hendak tahu RM4 bilion berapa nilainya, kerajaan boleh menggunakan wang tersebut untuk membina tidak kurang 50 buah sekolah yang boleh menampung 900 pelajar serta lengkap dengan kemudahan asrama.

Dalam kes terbaharu, sindiket dipercayai menggunakan cara membawa masuk rokok dan arak bermutu tinggi dari Scotland, Sweden, Kemboja, India, Thailand dan Indonesia yang bernilai RM1.67 bilion dengan nilai cukainya 300 peratus daripada nilai barangan tersebut untuk disimpan di PKFZ.

Bagaimanapun, sindiket dengan bantuan pegawai JKDM membawa keluar barangan berkenaan untuk dipasarkan ke dalam negara dengan membuat pengisytiharan palsu yang hanya berjumlah RM420 juta. Demikianlah si kaki busuk merosakkan negara. Apakah kita boleh memaafkan mereka?

*KHAMIS lalu, siri Wacana Sinar Harian berlangsung di Johor Bahru. Setelah tiga tahun menjadi acara bulanan pencetus minda rakyat, inilah pertama kali – siri ke-30 – diadakan di luar Lembah Klang.

Acara yang diadakan di Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamad Rahmat Tampoi itu, mengemukakan tajuk setempat yang sesuai dengan orang Johor iaitu ‘VEP: Apa Tunggu Lagi?’
Panel wacana kali ini ialah Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim; Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat; Pengarah Polisi DAP Johor, Wong Shu Qi dan Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Di luar jangkaan, sambutan amat menggalakkan. Dewan padat, di luar dewan pun beratus-ratus mengikuti perdebatan menerusi CCTV. Jumlah semua yang hadir kira-kira 1,500 orang. Tentu sekali hangat dan gamat, apabila audiens – sesetengahnya amat beremosi – mengemukakan soalan kepada panelis, menjerit dan mengeluarkan kata-kata tidak manis. Mujur moderator Dr Maszlee Malik yang berpengalaman itu berjaya mengawal keadaan. Tidak ada kerusi terbang.

Melihat kejayaan di JB, ada kemungkinan Wacana Sinar akan diadakan di negeri-negeri lain untuk membincangkan isu setempat. Memang menjadi matlamat wacana untuk membuka minda masyarakat. Memang ada yang emosi, tetapi ini adalah satu cara mematangkan warga komuniti.

*AKHIR kalam, lima hari lagi penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor, Kelantan. Semua dalam debar. Parti mana lawan parti mana? Siapa yang akan menjadi ayam sabung. Siapa yang akan bersorak? Siapa yang akan berpencak? Siapa yang akan terberak? Tungguuu...