Perihal Exco dan seluar dalam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perihal Exco dan seluar dalam

* SEJAK hari penamaan calon, dan sepanjang tempoh berkempen, rata-rata orang bersetuju bahawa kedua calon utama untuk Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor adalah sama kuat.

Dari segi peratusan peluang untuk menang ramai bersetuju calon BN Mat Razi Mat Ail, dan calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim, sama baik, sama disukai rakyat. Pendek kata masing-masing ada peluang 50:50.

Bagaimanapun undi pemilih membuktikan Mat Razi lebih di hati rakyat. Beliau menang dengan majoriti 2,635, lebih tinggi dari majoriti PRU13, iaitu 1,736. Calon BN itu menerima 9,961, Wan Rosdi 7,326. Calon Bebas Izat Bukhary dapat juga undi: 38.

Ada yang kata Pas tewas sebab rakan-rakannya dalam PR – DAP dan PKR – tidak memberi kerjasama. Ada yang kata ini adalah padah daripada tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang menghentam PKR pada muktamar parti itu di Johor.

‘Gocoh’ dan kecoh dalam PR mengenai kemelut Menteri Besar Selangor juga menyebabkan keyakinan orang Pengkalan Kubor terhadap PR amnya, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim khasnya, semakin merudum.

Bagi BN, khasnya Umno, kemenangan semula di Pengkalan Kubur, amat bermakna. Tetapi kemenangan ini lebih bermakna buat Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyambut hari lahirnya ke-64.

*Pas ditimpa dua kehampaan sekali gus. Sudahlah kecewa di Pengkalan Kubor Kelantan, perkembangan di Shah Alam Selangor pun tidak melegakan parti pimpinan Hadi.

Dulu parti Islam itu dapat empat orang Exco dalam Dun, sekarang tinggal tiga. Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengekalkan dua Exco lama Pas, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi, dan menambah satu muka baharu Mohd Zaidy Abdul Talib.

Kedudukan Exco sebelum ini ialah 4 Pas, 3 PKR, 3 DAP. Kini PKR 4, rakan-rakan lain dapat 3. Maka ada yang menuduh PKR curi kerusi Pas. Bagaimanapun kali ini Pas diberi kerusi Timbalan Speaker.

Semua telah mengangkat sumpah, jadi tidak perlu lagi diungkit siapa curi siapa, siapa ‘cilok’ siapa, siapa makan siapa, siapa main siapa, siapa tikam siapa.

Apa yang penting sekarang Azmin kena pastikan pentadbiran berjalan baik, jangan kecoh sesama sendiri. Rakyat Selangor sudah muak melihat percakaran sesama pemimpin.

*AWAS! Ada virus baharu yang kini mula menyerang ganas di tempat kita, khasnya di Lembah Klang. Bukan E-bola yang setakat ini telah membunuh lebih 2,000 orang di seluruh dunia, tetapi virus siber yang dikenali sebagai Zues Trojan.

Seperti yang dilaporkan media, hanya dengan menekan satu klik pada pautan yang dihantar ke telefon pintar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatApps, kesemua wang di dalam akaun bank anda mungkin akan lesap dalam tempoh tidak sampai seminit.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Hamza Taib ini adalah taktik terbaharu sindiket penipuan internet yang dikesan menghantar virus berkenaan ke telefon pintar.

Virus berkenaan akan mewujudkan satu program baharu, sekali gus berfungsi sebagai ‘pencuri’ maklumat bank ketika mangsa melakukan perbankan internet. Setakat ini mangsa – kebanyakannya di Lembah Klang – telah kerugian kira-kira RM60,000.

Pendek kata, urusan perbankan menerusi kecanggihan siber, semakin tidak selamat. Sebelum ini jenayah siber telah menyebabkan kerugian berjuta-juta RM kepada pelanggan juga pihak bank.

Sebab itu ada orang lebih suka menyimpan duit di bawah bantal sebab mereka yakin kaedah kuno itu lebih selamat.

*AKHIR kalam, nampaknya ada cara terkini yang terbukti berkesan untuk menutup muka ketika berhadapan dengan jurugambar media, iaitu menggunakan seluar dalam.

Ini dilakukan oleh beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dibawa ke mahkamah, Rabu lalu, untuk dilanjutkan tempoh reman bagi membantu siasatan kes rasuah kerana melepaskan arak dan rokok yang tidak diisytiharkan cukai.

Selama ini hanya Superman yang berani menunjukkan seluar dalam kepada umum. Ternyata hero orang putih itu dikalahkan oleh warga 1Malaysia yang memakai seluar dalam di kepala!

Tidak dapat dipastikan adakah yang menutup kepala dan wajah itu seluar dalam baharu beli atau yang telah dipakai. Apa yang jelas jenama seluar dalam itu terpampang pada setiap wajah. Mungkin ini satu gimik promosi.

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Perihal Exco dan seluar dalam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ