PADA Hari Malaysia 16 September lalu, Akademi Belia dan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) melancarkan siri perundingan 'Masa Depan Malaysia' (MDM).

Ia proses perundingan bersama pemegang-pemegang berkepentingan, khususnya badan-badan masyarakat sivil (CSO), persatuan perniagaan dan tokoh-tokoh masyarakat.

Matlamatnya ialah melahirkan sebuah dokumen rakyat tentang garis-garis besar haluan MDM yang akan disampaikan kepada kerajaan sebagai input bagi dasar dan program negara.

Rasional MDM ialah, pertama, kita memerlukan hala tuju baru sebagai kesinambungan Wawasan 2020 dan kedua, rakyat berhak, bertanggungjawab dan berkemampuan untuk berperanan secara proaktif dan konstruktif dalam memikir dan merancang masa depan negara yang lebih baik.

Kami akan menganjurkan pelbagai jenis perundingan (diskusi, temu bual) di seluruh negara sehingga hujung tahun ini.

Pelancarannya diadakan dalam bentuk diskusi. 30 buah CSO hadir, termasuk gerakan mahasiswa/belia bentuk-baru, contohnya, Universiti Terbuka Anak Muda, Buku Jalanan, Sekolah Undang-undang Rakyat, Sudut Kiri, Mahasiswa Progresif, Youths Today, Think Lab, Yakin Malaysia, Dapur Jalanan, Ramadhan Aid, English jer dan Kelab Orator Prisma Jordan.

Kami juga mengundang memorandum, iaitu seperti yang dihantar oleh Majlis Aids Malaysia.

Pihak-pihak berkepentingan digalakkan menganjurkan perundingan masing-masing dan menghantar cadangan-cadangannya kepada kami.

Kami juga mengumpul resolusi seminar dan persidangan. Contohnya, deklarasi 'Suara Kesederhanaan' anjuran GMM, The Star, Akademi Belia dan Universiti Taylor’s pada 11 September 2014 dan idea-idea dari Persidangan Kolej Yayasan UEM (KYUEM) pada 20 September 2014.

Di samping itu, kami menyediakan ruang perbincangan dalam talian, iaitu Facebook: www.facebook.com/MasaDepanMalaysia dan twitter: #MasaDepanMalaysia.

Kandungan MDM bergantung kepada proses perundingannya. Setakat ini, antara yang dicadangkan ialah:

Membuat penilaian (kuantitatif dan kualitatif) yang tulus tentang kedudukan negara. Dalam aspek tertentu, kejayaan semalam lebih baik. Hari ini sepatutnya lebih baik. Cabaran esok semakin canggih.

Menanyakan soalan-soalan susah dan membuat keputusan-keputusan sukar. Mulakan 'perbualan baharu' yang tulen, yang hanya akan berlaku apabila kita meluaskan 'ruang khalayak' (Habermas) dan menamatkan 'budaya menakut-nakutkan' (Furedi) serta menegakkan kebebasan bersuara dan akademik. Akta Hasutan mesti dimansuh.

Menentukan matlamat sebenar, contohnya, 'masyarakat baik' yang berdasarkan kebahagiaan, berteraskan keimanan, nilai-nilai dikongsi bersama, budaya ilmu, ketamadunan, perpaduan, keadilan sosial, prinsip-prinsip demokrasi, meritokrasi dan peluang, serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, kontrak sosial, sejarah dan budaya.
Menentukan keutamaan bidang-bidang pembangunan. Contohnya, pendidikan adalah premium, manakala dasar luar semakin penting.

Meneruskan proses pendemokrasian, iaitu keberhasilan positif daripada pertembungan 'transformasi' lwn 'reformasi' dan 'harapan pembangunan' lwn 'harapan demokratik', dinamika pengundi yang semakin rabun warna dan amalan Politik Baru (integriti, kerangka governans baru, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif).

Membangunkan Kerangka Governans Baru, iaitu melibatkan semua pemegang berkepentingan (kerajaan, perniagaan dan belia/wanita/masyarakat sivil) dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Fokus kepada pembangunan inklusif, contohnya, migrasi dari 'dasar berasaskan-kaum' kepada 'dasar berasaskan-keperluan' dan melancarkan-semula prinsip keterangkuman Model Baru Ekonomi (MBE).

Menggunakan pendekatan 'kesederhanaan'. Majoriti rakyat adalah golongan sederhana. Kita semua perlu bersuara untuk menenggelamkan suara ekstremis.

Transformasi peringkat lebih tinggi, iaitu transformasi institusi-institusi. Program transformasi sedia adalah komprehensif. Tetapi, institusi-institusi secara keseluruhannya masih belum ditransformasi. Bakat, kepemimpinan dan program adalah penting. Tetapi, semua itu memerlukan kerangka institusional untuk merubah dan mengoptimumkannya menjadi kekuatan positif dan berkesinambungan. Justeru, perlu berlaku transformasi institusi-institusi politik, ekonomi dan sosial.

Akhirnya, MDM bukannya soal angka-angka, ranking dan rating. Ia soal rakyat, noktah.

#Saifuddin Abdullah (twitter: @saifuddinabd) ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).