KUALA LUMPUR - Malaysia mempunyai keupayaan untuk membantu melatih banyak negara dalam produk perbankan Islam berdasarkan kedudukan negara ini sebagai antara penggiat utama kewangan Islam, menurut satu laporan.
  
Laporan bertajuk 'Malaysia, Gerbang Laluan ke Asean' yang diterbitkan oleh PMC Ltd berpangkalan di UK, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dipetik sebagai berkata sektor itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan, mengukuhkan lagi industri itu di peringkat global.
  
"Ramai orang tidak biasa dengan dana patuh Syariah. Oleh itu, banyak negara menghantar pegawai mereka ke Malaysia untuk mendapat latihan dalam produk perbankan Islam," katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.
  
Laporan itu juga menyebut bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), cabang pendidikan kewangan Islam negara, telah memain peranannya dalam menambah pengetahuan dan memastikan industri itu sentiasa berkembang.
  
"UIAM mempromosi pertukaran global pelajar melalui jaringannya dengan Persekutuan Universiti-universiti Dunia Islam, dianggotai 300 universiti.
  
"UIAM juga menawarkan program dalam talian untuk pelajar antarabangsa dan bekerjasama dengan IRTI, cabang penyelidikan Bank Pembangunan Islam," kata laporan itu.
  
Rektor UIAM Datuk Seri Zaleha Kamaruddin, yang juga dipetik dalam laporan itu, berkata universiti itu menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat latihan global bagi hab halal, dengan mengeksport program pendidikan antarabangsa melalui perkongsian baharu.
  
Buat masa ini, beliau menganggap United Kingdom sebagai tempat terbaik untuk menawarkan program seperti itu kerana minatnya yang semakin meningkat dalam kewangan Islam.
  
"Trend global dalam pendidikan kini adalah dengan meneroka batasan baharu dan mewujudkan produk baharu. (Matlamatnya adalah untuk menjadi) pembuka ruang kepada dunia Barat," katanya dalam laporan itu.
  
UIAM membantu meluaskan ruang pendidikan, melaksanakan tugasnya dalam melahirkan kumpulan individu berbakat yang sesuai dengan keperluan industri berkenaan, kata laporan itu. - Bernama