Pengalaman berbeza ke Siem Reap - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengalaman berbeza ke Siem Reap

PENGALAMAN pertama melancong secara bersendirian memang sangat berbeza dengan pengalaman melancong berkumpulan atau pakej. Segala-galanya telah disediakan. Berbeza bersendirian, seawal 3 bulan saya membeli tiket penerbangan.

Tempahan penginapan juga saya buat melalui online Agoda.com dan amat bernasib baik kerana berkenalan dengan seorang pemandu pelancong tour, Kemboja melalui facebook, Abdul Aziz.

Beliau banyak membantu dalam urusan saya di sana nanti. Saya memilih untuk melancong ke Siem Reap kerana ingin melihat keunikan senibina Angkor Wat. Setelah sampai di Siem Reap Airport saya disambut pemandu tut-tut, Rozali.

Rozali membawa saya berjumpa Abdul Aziz. Kebetulan beliau berada di lapangan terbang kerana baru selesai membawa pelancong dari Indonesia. Belum sempat saya menaiki tut-tut ke tempat penginapan, hujan turun dengan lebatnya berserta angin kencang.

Hampir setengah jam baru hujan berhenti. Sepanjang perjalanan ke tempat penginapan, saya dapat lihat suasana dan keadaan bandar Siem Reap. Tiada bangunan tinggi-tinggi di sini. Keadaan bandar juga biasa menyamai beberapa kawasan daerah di Malaysia. Banyak jalan-jalan raya yang bertakung air kerana hujan.
Setelah 25 minit perjalanan saya tiba di tempat penginapan. Penginapan di Tropical Breeze Guesthouse amatlah berbaloi, bilik luas dan cantik dan harga cuma AS$17.98 (RM58.22) untuk tiga hari.
Rasanya harga dan bilik seperti ini tidak dapat di Malaysia memandangan hotel di tempat kita begitu mahal.

Selepas mandi dan berehat, saya kemudiannya dibawa ke restoran Muslim Family Kitchen untuk makan malam. Makanan di sini berharga AS$3.50(RM11.03) hingga AS$5.50(RM17.33) Masakannya pun kena dengan selera saya.
Selesai makan saya dibawa ke night market untuk membeli-belah. Keesokkannya, seawal pagi saya dibawa menuju ke tempat yang popular di Siem Reap iaitu Angkor Wat. Bayaran masuk, AS$20 (RM63) untuk sehari lawatan. Angkor Wat adalah destinasi wajib dilawati.

Angkor Wat adalah kuil hindu yang dibina Raja Suryavarman ll pada pertengahan abad ke 12 dan muncul bangunan keagamaan terbesar di dunia. Dengan reputasinya ia juga diiktiraf salah satu keajaiban dunia. Alangkah terujanya saya melihat keunikan Angkor Wat.

Kagum dengan ukiran Kannon  

Sukar untuk membayangkan pada abad itu, masyarakat khmer boleh membina sebuah tempat yang kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia hingga diiktiraf oleh pertubuhan warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

Sepanjang meninjau tempat itu, saya kagum melihat ukiran di dinding bangunan yang menggambarkan kehidupan masyarakat pada abad berkenaan. Sebuah lagi tempat yang memikat hati ialah Bayon yang mempunyai ukiran wajah Kannon memenuhi bangunan berkenaan.

Ia dibina sekitar 1181-1219 untuk mendewakan agama budhha. Selain itu saya juga tertarik melihat Ta Prom yang dilingkari akar pokok besar seperti sotong kurita. Tumbuhan yang menjalar di sekeliling tempat ini menyebabkan banyak runtuhan berlaku.

Menariknya di sini saya berpeluang melihat lokasi penggambaran filem Hollywood iaitu Lara Croft : Tom Raider lakonan Angelina Jolie. Dan kerana itulah tempat ini paling popular dengan ramai pelancong yang datang. Apa pun kunjungan saya ke Angkor Wat sungguh berbaloi.
Angkor Wat menjadikan Siem Reap terkenal seluruh dunia. Tanpa Angkor Wat apalah ada pada Siem Reap. Hari berikutnya saya menghabiskan masa dengan membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Semua jual beli di sini menggunakan matawang ASD, walaupun gerai di tepi jalan. Pengalaman melancong secara solo yang amat menarik dan satu permulaan untuk saya melancong secara solo di tempat-tempat lain pada masa akan datang.

Sebelum ini saya pernah melancong di tempat seperti Bali, Singapore, Ho Chi Minh, Phuket, Krabi, Bangkok, Chiang Mai, Chiang Rai, Beijing, Hongkong, Shenzen, Guangzhou, Korea dah Perth, Australia. Impian untuk mengelilingi seluruh dunia akan saya teruskan hingga ke akhir hayat.
0 Komentar untuk " Pengalaman berbeza ke Siem Reap "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ