KEWUJUDAN butik berkonsepkan vendor amat membantu kami yang berniaga atas talian (online) untuk memasarkan produk."

Demikian antara luahan dan pandangan peniaga online yang turut menjadi vendor kepada butik yang ditemui Sinar Harian.

Memulakan perniagaan online secara separuh masa pada 2006, Nor Azibita Zahar mengambil keputusan berhenti kerja kerana minat berniaga.

Dia yang bekerja sebagai setiausaha sebelum ini, telah mempunyai jenama sendiri bagi pakaian wanita dikenali sebagai Kerlips.

Menurutnya di awal perniagaan,  dia hanya menjual barang perhiasan wanita yang sudah siap dan diambil melalui pembekal.

“Kemudian saya ambil keputusan keluarkan produk sendiri iaitu pakaian wanita seperti baju kurung kedah, kebaya, seluar dan pelbagai lagi,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan butik vendor Nor Azibita berkata, ia amat membantu peniaga online memasarkan produk mereka selain meluaskan pasaran.

“Bila kita letak produk dekat butik vendor akan ada ramai peniaga lain, jadi kita akan mula mengenali antara satu sama lain dan berkongsi idea serta pandangan.

“Kita turut berkongsi pandangan dan mempromosi produk vendor lain dalam Instagram kita untuk menarik ramai pelanggan datang ke butik,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya butik vendor ia sedikit sebanyak membantu pembeli online melihat sendiri pakaian dan mencubanya sendiri.

“Butik vendor ini bagus, kerana peniaga online macam kami belum mampu untuk membuka kedai sendiri memandangkan sewa dan pelaburannya sedikit tinggi.

“Pelanggan juga dapat melihat dan membeli pelbagai barang dalam satu kedai tanpa perlu bersusah payah mencari kedai lain hanya untuk membeli tudung misalnya,”
katanya.

Menurut Nor Azibita pakaian jenama Kerlips boleh didapati pada harga serendah RM35 dan berada di Butik La Niar Shah Alam buat masa ini.

“Saya belum merancang menjadi vendor di butik lain memandangkan saya dalam perancangan mengeluarkan koleksi pakaian terbaru Kerlips,’ katanya.


Alternatif pasarkan produk

Sementara itu, Ibrahim Mohd Zakal pemilik produk kecantikan De’ Daun Cantik (De’ Daun) berkata kos untuk membuka butik yang tinggi menyebabkan dia lebih selesa memilih butik vendor dalam memasarkan produknya.

“Saya memulakan perniagaan dengan membuka kedai jamu di Taman Medan Petaling Jaya untuk mengumpul modal serta mempelajari selok-belok perniagaan sebelum mengeluarkan produk sendiri.

“Kemudian pada Oktober 2013 produk kecantikan De’ Daun telah dikeluarkan, tetapi terpaksa menunggu sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Menurut Ibrahim produk kecantikannya yang berasaskan rumpai laut mula dipasarkan dalam pasaran tempatan pada Januari lalu.

“Buat masa ini saya lebih memberi tumpuan untuk memasarkan produk saya melalui satu butik sahaja iaitu La Niar di Shah Alam memandangkan saya mempunyai kedai sendiri.

“Lagi pun mengikut tinjauan saya, Shah Alam merupakan lokasi  strategik serta mempunyai kuasa beli tinggi dan kerana itu kami memilih kaedah pemasaran melalui butik vendor La Niar,” katanya.

Ibrahim berkata, persaingan bagi produk kecantikan dilihat sengit dengan kewujudan produk baharu, namun sebagai peniaga mereka perlu kreatif.

“Oleh itu memasarkan produk kecantikan melalui butik vendor merupakan sesuatu yang berbaloi kerana akan peroleh variasi pelanggan,” katanya.

Produk kecantikan De’ Daun berasaskan rumpai laut terdiri daripada gel pembersih, krim Booster CC Cream SPF 35, krim siang dan masker malam pada harga RM55 bagi pek perjalanan serta RM126 untuk pek eksklusif.

Situasi menang - menang antara peniaga dan pemilik butik

Bagi Siti Murni Mat Zain peniaga online separuh masa, butik vendor dilihat sebagai ‘situasi menang menang’ antara pemilik butik dan peniaga online.

Dia yang turut menjual pakaian kasual wanita bagi sebarang majlis menggunakan nama Tizara sebagai jenamanya dalam perniagaan.

“Ini kerana peniaga online perlukan kaedah lain untuk menambah jualan mereka selain dapat melangkaui pelanggan dari pelbagai kategori umur.

“Kebanyakan orang apabila membeli belah mereka lebih gemar merasa dan mencuba sendiri barang yang dibeli dan itu dapat dilakukan dengan wujudnya butik vendor,” katanya.

Di awal perniagaannya Siti Murni telah menjadi vendor kepada butik di Petaling Jaya tetapi terpaksa menarik diri selepas butik tersebut berpindah ke Damansara.

“Saya terpaksa cari butik lain untuk letak produk pakaian saya sebab sedikit sukar kerana saya bekerja untuk ulang alik dari Shah Alam ke Damansara.

“Oleh itu saya pilih butik vendor sekitar Shah Alam kerana memudahkan saya menumpukan kepada satu butik memandangkan saya ada kerja tetap,” katanya.