Paradigma tentang masa depan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Paradigma tentang masa depan

SAYA kagum dengan mahasiswa kita yang belajar di luar negara apabila pulang bercuti menganjurkan pelbagai program, contohnya, seminar, persidangan dan bakti masyarakat.

Satu daripadanya ialah Seminar Fiqh Malaysia anjuran Kelab Orator Prisma dengan kerjasama Sekolah Pemikiran Asy-Syaitibi dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Shah Alam, Selangor, pada 23-24 Ogos lalu. Ia dirasmikan Exco Pendidikan dan Modal Insan Selangor Dr Hajjah Halimah Ali.

Menurut Pengarah Seminar Ashraf Ahmad Hadi, Kelab Orator Prisma dianggotai mahasiswa kita di Jordan. Tetapi, seminar itu turut dihadiri mahasiswa kita di negara lain dan di universiti tempatan.

Saya berterima kasih kerana diikutsertakan dalam forum bertajuk 'Paradigma wawasan negara' bersama Dr Dzulkifli Ahmad, Ustaz Anhar Opir dan moderatornya Jufitri Joha.

Saya memulakan forum dengan berkongsi tiga perkara. Pertama, bahawa Malaysia telah mencapai satu tahap kejayaan. Terdapat beberapa buah negara meniru sesetengah daripada dasar dan program kita.

Tetapi, kita tidak boleh berpuas hati. Dalam aspek tertentu, kejayaan kita semalam adalah lebih baik. Hari ini sepatutnya adalah lebih baik lagi. Dan esok, kita berhadapan cabaran semakin canggih.

Kejayaan ini perlu diukur dengan kriteria yang telus dan seimbang. Contohnya, tidak cukup dengan data kuantitatif semata-mata. Ia perlu melibatkan penilaian secara kualitatif, iaitu impak sebenar sesuatu dasar dan program itu kepada rakyat terbanyak.

Kedua, untuk masa depan, kita mesti berbuat lebih giat. Perlu melakukan pemikiran-semula, pelengkapan-semula dan rekonstruksi supaya dapat sampai pada satu garis besar haluan dan pengisian yang bersepadu dan lebih baik.

Kita mesti berani menanyakan soalan-soalan yang berat (termasuk yang dianggap sensitif), membuat keputusan-keputusan yang sukar dan melakukan tindakan-tindakan yang benar-benar berimpak.

Ketiga, mesti membangunkan Kerangka Governans Baru, iaitu melibatkan semua pemegang taruh (kerajaan, perniagaan dan belia/masyarakat sivil) dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam semua bidang dan di semua peringkat.

Ketika menggulung, saya menyimpulkan tiga perkara. Pertama, kita perlu menerjemah ilmu yang dituntut menjadi pendapat, dasar dan program yang spesifik. Ilmu punya kekuatannya. Ia datang daripada pelbagai sumber. Ilmu wahyu datang daripada al-Quran dan Sunnah.

Manakala ilmu kemanusiaan datang daripada ilmuwan pelbagai latar belakang, contohnya, dari tradisi Islam dan Barat, dan dari pelbagai aliran pemikiran.

Ilmu yang dituntut tidak boleh diaplikasi secara bulat-bulat. Ia perlu diterjemah dengan bijaksana, iaitu sesuai dengan realiti setempat, sejagat dan semasa.

Bagi Malaysia, dari segi setempatnya, ialah teras-teras utama negara, seperti Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial, sejarah dan budaya.

Manakala dari segi sifat sejagat dan semasanya, ialah Realiti Baru hari ini, iaitu ICT/media sosial, kesedaran/gerakan baru sosial, demokrasi tahap ketiga, rakyat semakin berpendidikan, urbanisasi dan kelas menengah yang membesar.

Kedua, kita perlu melakukan penterjemahan itu dengan akhlak yang baik. Kalau sebagai seorang Muslim, kita mesti menghayati akhlak Islam. Contohnya, pendapat dan perlakuan kita perlu mengikut teladan Rasulullah, iaitu, dari segi pendekatan, kebijaksanaan dan kesederhanaannya.

Dan ketiga, kita perlu berbuat. Contohnya, dengan berdiskusi, menerbitkan penulisan dan mencadangkan atau membuat sesuatu dasar dan program. Sambil berbuat, kita mendapatkan maklum balas, menilai dan memperbaikinya. Barulah ada kemajuan dan peningkatan.

Hakikat bahawa kita masih mahasiswa bukan alasan untuk tidak melakukan ketiga-tiga perkara ini. Ini kerana sejarah membuktikan bahawa terdapat sebaris dasar dan program negara hari ini berasal daripada idea dan cadangan mahasiswa. Contohnya, Dasar Pembangunan Belia Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Bank Islam.
0 Komentar untuk " Paradigma tentang masa depan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ