MULA - mula satu, kemudian dua, akhirnya menjadi empat. Maaf, saya tidak bercakap mengenai suami yang suka berpoligami. Tidak juga saya hendak mengulas Madu Tiga, filem klasik P. Ramlee yang sentiasa mala segar itu.

Saya bercakap mengenai insiden terkini kebocoran soalan peperiksaan. Sama seperti filem-filem seniman agung itu yang sudah berpuluh kali diulang tayang, soalan bocor pun adalah drama yang berkali-kali dimainkan semula.

Seingat saya ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih empat dekad lalu, sudah timbul isu soalan bocor. Beberapa guru memberitahu murid-murid mengenai soalan subjek tertentu yang akan keluar.
Tepat seperti yang diberitahu, pada hari peperiksaan soalan-soalan berkenaan betul-betul keluar, sebiji-sebiji. Selepas selesai peperiksaan murid-murid berkumpul di kantin dan bersorak riang: “Soalan bocor! Soalan bocor!” Tidak ada apa-apa tindakan pun.

Tahun demi tahun setiap kali ada peperiksaan penting – Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) – ada sahaja cerita soalan bocor.
Sesetengahnya diakui oleh pihak kementerian tetapi banyak juga yang dibiarkan begitu sahaja. Pendek kata, kebocoran bukan lagi satu berita, malah sudah menjadi seperti budaya dan sebahagian ciri dalam sistem pendidikan kita.

Cuma sehari dua ini kebocoran menjadi isu besar negara. Mula-mula dikesan bocor hanyalah subjek Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2. Kemudian kementerian mengesahkan subjek Sains 018, 028 dan 038 juga bocor. Murid-murid diminta menduduki peperiksaan ulangan dua subjek ini pada 30 September ini.

Dari dua menjadi empat, apabila subjek Matematik 015/1, 025/1 dan 035/1, juga subjek Bahasa Tamil 036, 037 disahkan bocor. Peperiksaan untuk dua subjek tersebut akan diulang pada 9 Oktober ini.

Kebocoran kali ini mendapat perhatian semua pihak, daripada pemimpin kecil hingga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Dua pegawai tertinggi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) digantung tugas, 14 orang – termasuk beberapa guru – ditahan untuk membantu siasatan.

Heboh ‘satu Malaya’, pada hal yang bocor itu bukan soalan peperiksaan penting untuk memasuki universiti, tetapi hanya peperiksaan untuk murid sekolah rendah yang baru berusia 12 tahun.
Kecoh ‘1Malaysia’, pada hal Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanyalah peperiksaan biasa yang tidak ada apa-apa kesan sama ada murid mendapat 27 A atau 27 E. Gagal atau lulus, pelajar boleh diterima masuk ke sekolah menengah.
Kebocoran kali ini tentu sekali mengecewakan ibu bapa. Anak mereka yang baru awal belasan tahun menghadapi tekanan mental yang amat teruk kerana terpaksa menduduki semua peperiksaan.

Tidak menghairankan sekiranya ada ibu bapa mempertikai kewajaran mengulangi semula peperiksaan berkenaan. Seorang ibu di Petaling Jaya memberitahu, seperti yang dilaporkan media: “Lulus cemerlang atau gagal, mereka boleh masuk ke sekolah menengah, jadi apa perlunya peperiksaan ulangan? Hanya menghabiskan masa dan duit.”

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, langkah melaksanakan semula ujian tersebut adalah bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR.

Secara peribadi saya sama sekali menentang kebocoran seperti ini. Sudah jelas dan nyata bahawa ada yang tidak amanah dalam kes ini, boleh jadi pegawai dan kakitangan LPM, boleh jadi guru, malah bukan tidak mungkin pihak pengurusan sekolah.

Kenapa baru sekarang kita bercakap mengenai SOP, sedangkan perkara seperti ini sudah berulang kali terjadi sejak berpuluh tahun dulu. Selama ini semua orang tahu soalan bocor setiap kali peperiksaan. Ini bukan rahsia lagi. Nyata sekali selama ini SOP yang ada tidak dipatuhi.
Jadikan insiden UPSR 2014 ini sebagai permulaan untuk kita memperbetul dan mematuhi SOP. Tidak kira siapa, mereka yang terlibat dalam kebocoran kali ini mesti dihukum di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Sepatah kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya akan mencari penjenayah bocor ini hingga ke lubang cacing. Semoga kali ini betul-betul dapat cacing, bukan tahi cacing.