SEORANG penulis Arab terkenal, Edward Said, dalam karyanya yang terbit pada 1978 menyatakan bahawa satu generasi sarjana Orientalis telah mencipta dan menyebarkan mitos kemunduran negara-negara Arab sebagai alasan kepada kuasa Barat untuk campur tangan di rantau itu.

Namun, mulai 1950an, semangat nasionalisme dan kemunculan pemimpin hebat seperti Gamal Nasser berjaya mengubah persepsi ini.

Untuk seketika, benua Arab dilihat mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada kesejahteraan serantau dan sedunia.

Malangnya, perbalahan antara negara-negara Arab, kekalahan perang dengan Israel serta kerosakan yang dilakukan ramai pemimpin diktator, boros dan lemah telah menjadikan benua Arab dan dunia Islam di rantau itu gagal mencapai potensi sebenarnya.

Sejak kejatuhan Saddam Hussein dan penaklukan Iraq oleh tentera kuasa Barat kira-kira 20 tahun lalu, tiada kesejahteraan lagi di negara itu.

Walaupun janji kuasa penakluk ketika itu ialah untuk mengembalikan keamanan, ia tidak berlaku. Malah, yang sebaliknya pula terjadi.

Serangan daripada rejim Zionis-Israel dan perang saudara antara kumpulan yang bertelagah menyebabkan ekonomi runtuh, infrastruktur dan kemudahan asas jahanam serta kesengsaraan yang berterusan. Perbalahan antara puak Syiah dan Sunni memburukkan keadaan.

Menurut ramai pemerhati politik, kegagalan revolusi Arab adalah antara punca utama lahirnya kumpulan seperti negara Islam atau Daulah Islamiyah (IS).

Perubahan rejim yang dijangka berlaku di beberapa buah negara Arab yang mengalami protes dan demonstrasi besar-besaran tidak berlaku seperti diharapkan.

Di Iraq, misalnya, kerajaan pimpinan Nouri al-Maliki, perdana menteri bermazhab Syiah, tidak mampu menyatupadu malah memecahbelahkan lagi pelbagai puak di negara itu.

Ini mendorong ramai belia dan golongan muda menjadi radikal dan mudah terpengaruh dengan perjuangan militan.

Di Syria pula, apa yang bermula sebagai penentangan terhadap pentadbiran Presiden Bashir al-Assad pada 2011 dengan cepat bertukar menjadi perang saudara apabila para penentang yang ditahan, dipenjara dan ditembak oleh tentera serta penyokong mereka menyerang balik setelah dibekal senjata dan peralatan militari oleh negara Barat dan Israel.

Anggota IS terdiri daripada mereka yang hidup susah dan tersisih daripada pembangunan arus perdana, justeru tidak berasa kehilangan apa-apa jika mati berjuang menentang rejim yang kejam.

Hakikat bahawa IS berkembang cepat, menarik sokongan puluh ribuan orang muda tempatan dan asing serta menjadi satu kuasa yang mampu menggugat kerajaan di Iraq dan Syria adalah manifestasi kegagalan kuasa Barat dan pemimpin Arab sekutu mereka dalam pembinaan semula negara seperti diharapkan.

Setakat ini, dipercayai 20 rakyat Malaysia yang menyertai IS, termasuk beberapa wanita yang termakan dakyah untuk memberi khidmat ‘seks jihad’. Menurut pihak berkuasa, antara anggota IS yang terbunuh adalah tiga rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan IS untuk berperang di Iraq atau Syria mempunyai sebab-sebab tersendiri.

Namun begitu, pada pandangan beberapa mufti, kematian mereka tidak boleh dianggap syahid kerana IS tidak tergolong dalam kategori pejuang Islam, malah berselindung di sebalik perjuangan ‘jihad’.

Ini kerana mereka melakukan pembunuhan yang kejam ke atas sesama Islam, dan ke atas ribuan rakyat  tidak berdosa selain terbabit dengan kegiatan yang merosakkan imej Islam.

Cara mereka membunuh tiga warga asing termasuk wartawan dengan mengelar leher dan merakam video untuk ditayangkan kepada dunia dianggap keterlaluan.

Inilah yang mendorong Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengisytiharkan serangan tentera beberapa negara Barat ke atas IS bermula minggu ini.

Keputusan ini menyaksikan penerusan pengeboman udara dan serangan ke atas rakyat di Iraq. Dijangka ratusan malah ribuan lagi akan mati, justeru memanjangkan tempoh kesengsaraan di negara yang pernah menjadi pusat tamadun Islam.

Negara Iraq kini hancur lebur, ekonomi lemah, rakyat miskin dan politik bergolak.

Ratusan ribu rakyatnya terbunuh, dan jutaan yang  meninggalkan negara. Banyak kekayaan negara musnah, selain khazanah yang dicuri dan diseludup oleh tentera dan pegawai daripada negara-negara penceroboh.

Kata tokoh akademik Farish A. Noor, kumpulan seperti IS bukan saja menjadi ancaman kepada keadaan semasa, malah mengancam warisan tamadun Islam.

“IS has stolen headlines worldwide and given the impression that Arabs today can only turn to the gun whenever they are faced by challenges in the modern world. But we should never, ever, forget the Arab world’s vast contribution to modernity, and the intellectual legacy of of thinkers like Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Sina, Ibn Rush, al-Biruni and others. The chaos of today has dealth a sad blow to the Arabs of today and marks a sad betrayal of the noble efforts of so many great Arab-Muslim thinkers of the past.”