MEMULAKAN perniagaan menjual keropok lekor goreng secara kecil-kecilan di bawah pokok, syarikat Industri Keropok Dunia kini sudah 10 tahun bertapak di tanah air menggunakan jenama Noba.

Pengurusnya, Saddri Noordin berkata, keropok lekor sejuk beku Noba sudah menembusi pasaran luar seperti Singapura dan Brunei buat masa ini.

“Manakala pasaran dalam negara kami berjaya memasuki pasar raya Giant, Mydin, Lembah Klang (menggunakan kios bergerak) serta Sabah dan Sarawak melalui pengedar di sana.

“Kami juga sedang dalam perancangan untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan China dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui semasa Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2014, baru-baru ini.

Menurutnya lagi selain keropok lekor syarikatnya turut mengeluarkan makanan sejuk beku lain seperti popia otak-otak, samosa dan roti prata yang dihasilkan di dua buah kilang miliknya di Ipoh, Perak dan Kampung Melayu Subang, Selangor.

“Pendapatan jualan tahunan kami hampir RM3.2 juta setahun dan 50 peratus daripadanya disumbangkan melalui jualan keropok lekor Noba,” katanya.

Ditanya mengenai kelainan keropok lekor Noba dengan keropok lekor lain, Saddri berkata, keropok lekornya lebih lembut dan mempunyai rasa ikan yang padat.

“Ini kerana kami ingin memberi kelainan dan kepuasan kepada pelanggan yang membeli keropok lekor kami supaya mereka akan membelinya lagi di masa akan datang.

“Selain itu, harga keropok lekor kami masih sama di awal perniagaan hingga ke hari ini melalui penjimatan kos semasa proses penyediaannya,” katanya.

Bagi sekilogram keropok lekor sejuk beku dan popia otak-otak Noba hanya berharga RM8.