JIKA muda-mudi tidak bersikap progresif dan liberal, dia berlainan, tidak kontemporari. Kalau berusia - lazimnya  selepas 40 tahun - dia tidak cenderung konservatif, tersirat atau melalui aksinya, dia juga terkecuali.

Saya kira ramai angkatan 57 atau kelas 57 juga 59 telah mengalami metamorfosis! Mereka berpengaruh dalam politik, perkhidmatan awam, diplomasi, bisnes dan kewangan. Jumlah yang sudah pulang ke rahmatullah pun ramai. Apa pun tiga antaranya nyaris-nyaris jadi perdana menteri.

Beberapa orang pula potential prime ministers yakni berpotensi jadi perdana menteri kalau tidak kerana witchhunt - or as Speaking says, “because of allegations and investigations characterised by excessive hysteria looking for enemies, communists and pro -communists under every bed” oleh puak ultras dan boneka tertentu.

Witchhunt adalah satu kempen fitnah, kempen tuduhan yang berniat memburukkan nama baik dan reputasi; satu taktik memburuk-burukkan lawan apabila mereka tidak mampu berdepan, memberi dalil sahih dan berdebat secara rasional berkesudahan pemimpin tertentu kerajaan dan parti telah menyalahgunakan kuasa terutama melalui Internal Security Act (ISA) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Negara kita minggu lepas memasuki usia 58 tahun merdeka, di tangga ke-20 Indeks Daya Saing Global mengikut Forum Ekonomi  Dunia; naik dari nombor 24 dari jumlah 148 negara, kita mendahului  Australia, Perancis, Korea Selatan, Thailand dan China.

Dijangka kita akan ke tangga lebih tinggi lagi pada tahun akan datang sekiranya kerajaan dan rakyat terus bekerjasama dan keadaan politik terus stabil walaupun cabaran terhadap institusi status quo dan peruntukan dalam Perlembagaan terus wujud dan mungkin akan membawa  pendekatan baharu yang akan menggugat kemakmuran, muhibah dan keharmonian.

Kita adalah ekonomi ketiga terbesar di Asean - Indonesia, Thailand. Indonesia dan Thailand mempunyai masalah yang belum kita tempuhi lagi. Presiden baharu, Jokowi mulai Oktober dan Thailand kini di bawah pemerintahan tentera dan pemberontakan di Selatan Thailand yang tidak berkesudahan dan menjadikan masyarakat Thai tegang dan polarised.

Kerajaan kita harus eksploitasi situasi yang agak favourable kini. Semua pihak - nampaknya - bersungguh-sungguh ingin melahirkan generasi terdidik tinggi dalam dwi bahasa (Melayu dan Inggeris); orang Cina dalam tiga bahasa (Cina, Inggeris dan Melayu), India Tamil, Inggeris dan Melayu dan Malaysians terdiri daripada elit semua bangsa di sekolah antarabangsa dalam tiga, empat dan lima bahasa - Inggeris, bahasa ibunda pelajar, Mandarin, Arab, Perancis, Jerman dan Sepanyol dan lain-lain lagi.

Di Singapura, mengikut satu kajian, “babies exposed to two languages may have better memory than their mono lingual peers, can also process information faster.” Bayi yang terdedah kepada dua bahasa mempunyai ingatan/memori lebih baik dari bayi mono lingual yakni satu bahasa.

Apa pun di republik itu, pendidikan dalam dwi bahasa amat popular terutama pendidikan Inggeris dan Mandarin serentak - lessons in two languages simultaneuosly yang dipelopori Dulwich  College (dekat London) yang baru membuka kampusnya di Singapura setelah melakukannya dengan jaya  di Suzhou, Beijing, Shanghai dan Seoul Korea Selatan.
Anak dan cucu anda boleh mendapat pendidikan berkenaan di Temasek kerana Dulwich College belum ada lagi kampus di Malaysia. Kolej ini berusia 395 tahun. Seorang sahabat karib isteri saya telah menghantar kedua anaknya ke main kolej di London dan kedua mereka sekarang, seorang doktor pakar dan kakaknya graduan pengajian perniagaan bermastautin di Amerika Syarikat.

Tempat di kolej Dulwich di Singapura yurannya antara  Sing Dolar 25-31,000 satu tahun atau RM63,750 - 79,050. Begitu popular pendidikan dwi bahasa serentak seramai 1,500 pelajar memohon kemasukan.

Kerajaan kepimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak dibantu Muhyiddin Yassin ingin anak bangsa Malaysia ditransformasikan  menjadikan mereka terdidik tinggi dalam dwi bahasa untuk bertugas dan hidup senang-lenang dalam negara pendapatan tinggi kelas dua atau kalau tidak pun kelas pertama - satu ambisi yang baik dan boleh dicapai kalau kita gigih dan serius melaksanakan dasar pendidikan dan ekonomi kita tanpa takut dan segan.

Ramai guru bahasa Inggeris tidak layak dan tidak kompeten berdasarkan acceptable standards kalau tidak masakan standard bahasa Inggeris dalam kalangan graduan begitu mundur dan buruk?

Good English starts in kindergarden and primary schools. Adakah kita cukup guru dan kemudahan di peringkat ini? Niat kerajaan memang baik bahkan terpuji tetapi jangan pula hanya kita terburu-buru dan sebab expediency bak kata mat salih kita "put the cart before the horse”  yakni menterbalikan susunan logik!

Najib dan Muhyiddin antara pemimpin kita yang bilingual walaupun darjah kepetahan mereka tidak sama. Bahasa Melayu Najib pada awalnya tidak baik. Kini saya kagum kepetahannya berdasarkan latar belakang sosialnya.

Seperti Lee Kuan Yew menguasai bahasa Mandarin kerana keperluan politik begitulah Najib dengan bahasa ibundanya. Bahasa Melayu Muyiddin lebih cemerlang daripada bahasa  Inggerisnya. Saya secara jujur ingin bertanya kenapa Muhyiddin tidak belajar ataupun memperbaiki bahasa Arabnya begitu juga Zahid Hamidi?

Demi keadilan, saya mesti membuat catatan ini, iaitu peranan Tunku Abdul Rahman Putra dan Tan Sri Khir Johari. Kedua tokoh ini waktu itu dalam 1960/70-an tidak senang dengan saya dan saya tidak sebulu dengan mereka tetapi sebelum keduanya meninggal dunia kami merupakan kawan. Situasi itu rahsia terbuka pada insiders dalam politik Umno dan kerajaan.

Tunku dan Khir mahu dan ingin "bahasa Inggeris, bahasa elit Melayu, Cina dan India dikekalkan statusnya sebagai bahasa ulung alongside that of bahasa Melayu” tetapi sayang pendapat mereka diketepikan oleh kombinasi golongan elit dan nasionalis bahasa dan oleh kerana keadaan memihak nasionalis bahasa, maka bahasa Inggeris lama-kelamaan terhakis sendiri bermula pada akhir 1970-an dan bertambah buruk selepas itu.

Sekarang pendidikan bahasa Inggeris di sekolah kerajaan kecuali di sesetengah sekolah terpilih atau kerana lokasi mereka strategik dan elit seperti hidup segan mati tak mahu! Arahan Perdana Menteri Tun Razak (1970- 1976) dan dasar rasmi kerajaan bahawa bahasa Melayu dijunjung dan bahasa Inggeris dikelek dipinggirkan selepas dia kembali ke rahmatullah.

Andainya dia hidup lama, saya percaya, pendidikan kita lebih balanced, lebih berimbangan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris: berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Bangsa Melayu tidak akan menghadapi inferiority complex atau perasaan rendah diri yang nyata ubiquitous atau sentiasa wujud dalam kalangan bangsa kita kini.

Kalau kita menguasai dwi bahasa saya fikir kita berkeadaan menang-menang. Apa pun andainya keperluan mendesak, saya akan kembali belajar bahasa Arab dan Mandarin bersungguh-sungguh. Usaha meningkatkan ilmu dan pendidikan bahasa Inggeris amat bagus, saya bersetuju 100 peratus.

Saya konsisten dengan pendapat ini - mahu pendidikan bahasa Inggeris diwajibkan - dari awal hingga kini, tanpa pula menjadi bahasa ibunda dan kebangsaan mangsa atau kelas dua! Saya bersetuju mencari ilmu mustahak dalam apa medium pun - Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Sepanyol, Jerman, Perancis hatta Portugis pun. Mewajibkan lulus bahasa Inggeris di peringkat universiti satu langkah terbaik walaupun agak terlewat, terlambat, tetapi kata mat salih, it is better late than never.
Persoalannya - secara ikhlas dan serius - dari mana datangnya guru bahasa Inggeris yang berkelayakan? Seperti ditegaskan oleh the Malaysian English Teaching Association, "some basic issues need to be ironed out first before the new policy of making English a compulsory pass in university is implemented”.

Saya tahu dari pengalaman sebagai timbalan menteri dan wakil rakyat dalam tahun 70-an dan kemudian sebagai wakil rakyat biasa dalam 80-an pun ada guru bahasa Inggeris yang tidak layak mengajar bahasa itu. Mereka tidak kompeten tetapi seperti kata pepatah Melayu tak ada  rotan akar pun jadilah.

Inilah akibatnya yang kita tanggung - kita tidak lagi kompetitif di luar perkhidmatan awam. Sudah sampai masa kita mengkaji kegunaan bahasa Inggeris pada keseluruhannya bukan setakat kebolehan lisan atau berkomunikasi sahaja, juga penulisan dan kefahaman lebih penting.

Pada satu ketika hingga awal 1970-an, orang bisnes Malaysia, diplomat, guru, profesor, pegawai kerajaan hatta orang biasa pun bisa berbicara bahasa Inggeris dengan betul dan dianggap terbaik di timur Terusan Suez. Tidak mudah mengembalikan apa yang telah hilang.

Apa pun tidak mustahil jika iltizam kita untuk melaksanakan pengajian bahasa Inggeris berani dan menggugurkan dasar yang tidak berpandangan jauh (miopik) dan menggantinya dengan dasar yang berpandangan jauh dan realis.